Entry: [iii] Dari Anjung Makcik Raja Tuesday, July 08, 2014



 

 Jam 6 petang: hari yang sama 

MAKANAN sudah terhidang atas meja. Kak Long Huda sejak tiba tadi tersenyum riang melihat gulai itik dalam mangkuk besar. Emak dan abah memang sayang kepadanya. Sebut sahaja hendak makan apa, pasti disediakan. Cuma Nuha sahaja tak ada. Kata emak dia balik ke rumahnya tiba-tiba kerana berasa tidak sihat. Emak sudah bekalkan lauk berbuka untuknya. Kata emak lagi, nanti lepas tarawih Nuha akan datang semula; Nuha bimbang peningnya itu membawa dia tidak dapat solat tarawih. Begitu Makcik Raja bercerita pada anak sulungnya yang menjadi guru di Pendang tu.

Azan maghrib lambat lagi. Jam bagai tidak bergerak pun. Tapi Kak Long Huda sudah meninjau meja makan. Macam kastam sahaja memeriksa masakan Raja Kamariah satu per satu. Alang belum balik dari membeli ais. Biasalah tu, tentu jumpa kawan dia yang mana-mana. Alasan membeli ais adalah alasan melepak sekejap sebelum waktu berbuka. Sudah jadi suami orang pun perangai tidak seriusnya itu macam itulah juga. Tapi Huda gembira melihat adiknya bahagia dengan Nuha yang sungguh sporting. Kalau dengan perempuan lain, tentu sudah berperang besar dengan perangai dia yang kadang-kadang kuat mengusik tu. Alang tu budak-budak turun bendang cari ikan dia ikut, orang main layang-layang dia layan juga. Pakcik-pakcik tua buka rokok daun tepi dangau, dia melangut sama walaupun dia tu tidak merokok. Dia suka dengar orang bercerita.

Betulkah Nuha bahagia di samping Alang?

"Emak, Huda nak pergi tengok Nuha sekejap la emak. Kasihan pula" Kata Huda, sambil pandangannya sudah terbang ke rumah kecil Alang tidak jauh dari rumah ibu itu. Depan rumah yang menghadap ke bendang itu sudah ada taman kecil. Alang suka menanam macam-macam juga, dia seperti emak. Tangan sejuk, tanam apa pun Alhamdulillah menjadi. Kalau Huda yang menanam, pokok kaktus pun boleh mati.

"Biarlah Huda, kasihan dekat dia... Huda nak pergi ganggu pula." Makcik Raja memberi alasan Nuha sakit untuk membiarkan menantunya itu tidak diganggu. Dia sudah maklum kenapa Nuha tiba-tiba jadi begitu. Sejak lepas zuhur tadi Nuha sudah tidak seceria awal pagi tadi. Bukan Makcik Raja tidak nampak air matanya yang menakung itu.  

"Kenapa?"

"Duduk masak kat luar dengan dapur kayu sepanjang hari, tu yang buat dia panas sampai ke dalam badan, Huda." Balas Makcik Raja. Dia sedang mendengar Majidah mengaji. Kecil dan nyaring sahaja suara cucunya sulungnya itu. Alahai, kecil lagi sudah lancar menghafal Muqaddam. Subhanallah. Moga-moga jadi anak yang solehah. Dia teringat pada Nuha yang tekun mengaji sehingga fasih membaca al-Quran tu. Kalau sesiapa kata susah nak baca al-Quran, dia selalu tunjukkan Nuha sebagai contoh yang paling baik. Sayangnya pada anak didiknya itu sehinggakan dia sering doakan Nuha menjadi menantunya. Syukurlah, Allah tulis jodoh Alang-Nuha. Cuma Alang ni yang melampau, kadang-kadang berperangai pelik tak sudah-sudah.

* * *

 

"Mana Nuha emak, dah dekat nak berbuka ni dia tak datang lagi?" kata Alang sambil mengetuk bongkah kecil ais dengan lesung batu. Dia sengaja pergi beli ais dekat tempat orang simpan ikan di  Tikam Batu sebab hendak belikan tembikai kuning untuk Nuha. Semalam Nuha kata dia teringin hendak makan tembikai tu.

"Dia berbuka di rumah, tak sihat." Jawab Hajah Raja Kamariah mendatar.

"Eh, kenapa emak tak cakap. Sekejap Alang pergi tengok dia." Ada ke isteri sakit, dia senang-senang berbuka di sini dengan gembiranya. Alang sudah tidak sedap hati. Sudahlah dia beli tembikai kuning sampai dua biji, kalau Nuha tak makan siapa nak habiskan. Emak dan abah sah-sahlah tak mahu makan tembikai, takut sakit urat!

Alang memasukkan ais dalam plas dan memberi isyarat pada abang iparnya pula untuk menyambung siapkan buat air syarbat selasih.

Haji Yatim tersenyum senang. Suka dia lihat Alang yang sangat sayangkan isterinya. Kalau datang bab sakit demam, dia memang lebihkan Nuha dalam semua perkara. Penuh tanggungjawab. Pernah sekali tu Nuha demam campak, dialah jaga Nuha sampai budak tu nak keluar rumah pun tak boleh sebab bimbang parut campak tu tercetak di muka kalau-kalau kena hujan. Sibuk cari daun mambu sekampung, nak suruh Nuha mandi serta rajin pula dia buat sup ayam bagi isterinya tu makan.

"Telefon sajalah. Tanya khabar. Amboi dah banyak tahun pun, macam pengantin baharu." Usik abang iparnya.

"Mana boleh. Kena jenguk Nuha ni. Kalau Alang tak datang balik, semua orang buka dulu ya. Jangan tunggu." Kata Alang sambil berlari ke rumahnya.

Di tengah perjalanan dia nampak Nuha sedang berjalan perlahan-lahan. Di tangannya ada sedulang pinggan berisi kuih cara.

"Sakit-sakit pun buat kuih lagi?" Alang menegur. Sudahlah tadi penat masak dapur kayu, lepas tu buat kuih cara pula. Berdiri lama-lama tu la punca sakit tu.

"Bila pula Nuha sakit. Nuha sakit hati saja." Balas Nuha, sambil menyembunyikan rasa bahagia melihat Alang mencarinya. Suami mithali Alang ni, walaupun dia bukannya seperti 'suami' dalam TV yang romantis. Sesekali dia tonton TV di ruang depan klinik desa dengan misi-misi lain, sementara menunggu pesakit lain datang. Alang selalu marah kalau dia tonton drama mengarut tak ada faedah begitu.

"Sakit hati ke siapa. Alang? Nak derhaka la tu?"

Alang mengambil dulang di tangan Nuha, dan berjalan beriringan dengan isterinya ke rumah Makcik Raja. Suara Majidah menjerit memenuhi dapur sebab suka melihat Mak Lang Nuha.

Sebaik saja melihat wajah Haji Yatim, Nuha cuba melarikan pandang. Dia betul-betul rasa hati dengan sikap ayah mertuanya itu. Sudah puas dia menangis sejak zuhur tu sampai suaranya hampir serak.

"Jom duduk semua." Kata suami Kak Huda, yang seharian penat memandu. Dia sedang mengacau syarbat yang sudah di isi selasih. Walaupun Pendang tu tidak jauh mana, tetapi dengan sesak trafik di Bedong, Sungai Petani, buat dia penat. Ini gara-gara isterinya hendak membeli-belah dulu sebelum balik ke Kota Kuala Muda ni. Lampu isyarat di Sungai Petani yang terlampau banyak dan tidak bersahabat itu memanglah membuat dia rasa marah. Mujurlah di bulan puasa. Dia cuba bersabar.

Masing-masing duduk di kerusi. Memandang makanan di meja. Abah dan emak biasanya akan makan buah kurma, minum dan solat dahulu, baru makan nasi. Tapi hari ini abah dan emak raikan anak menantu yang jauh, jadi mereka akan makan terus macam anak-anaknya.

Selepas saja berdoa dan makan kurma serta air, Alang terus mencedok gulai kerisik itik ke pinggannya. Dia pilih isi di bahagian dada. Alang berpadu tenaga dengan Kak Long Huda mencedok gulai. Berselera sahaja mereka meratah.

Nuha hanya memandang. Yang dia boleh telan saat ini hanyalah air dan tembikai kuning sahaja. Dia pura-pura bermuka manis hanya hendak jaga maruah suami. Nanti orang kata Alang dapat isteri yang antisosial. Adik-beradik balik ramai-ramai dia tidak layan. Sejak dia ke tepi kolam mengambil daun pandan untuk dibuat kuih cara tadi... hatinya betul-betul terusik.

"Abah, ada pula itik musim-musim begini?" kata Alang tiba-tiba. Sebab sudah seminggu dia dan abah ke sana-sini mencari itik untuk Kak Long Huda.

Makcik Raja memandang suaminya. Sejak Nuha balik tadi, hatin Makcik Raja sudah dilanda sedih tidak menentu. Agaknya inilah sebabnya kenapa hatinya berdebar sejak sian tadi. Sebaik sahaja Nuha kata itik-itik di kolam tidak ada, dia sudah syak suaminya sembelih 'siapa'?

Emak, abah rupanya sembelih Suria dan Suci. Suara penuh emosi Nuha tadi menerpa lagi di minda Makcik Raja.  

"Abah sembelih itik kita la, yang sepasang tua dalam kolam tu?" kata Haji Yatim tanpa rasa bersalah. Sudah berhari dia cari itik untuk penuhi keinginan anak perempuan kesayangannya yang sedang mengandung tu. Pagi tadi itu sahaja pilihan yang dia ada, dia suruh budak-budak itu tangkap dan bawa ke rumah Abang Lah Teksi. Tidak sampai hatinya untuk suruh isterinya buang bulu itik-itik tu, dan mana hendak layur lagi. Jadi dia upah anak perempuan Abang Lah Teksi la.

"Suria dan Suci?" Suara Alang jadi parau. Daging itik di dalam kerongkong rasa bagaikan berduri sahaja.

Nuha sudah suspens apa yang akan terjadi dalam episod seterusnya. Dia sudah habis menangis untuk Alang tadi. Sekarang saatnya dia menonton drama pula. Nuha sudah berdoa panjang, janganlah abah dan Alang berperang kerana sepasang itik tua, walaupun dia akan sebelahkan Alang 100%. Kalau emak hendak sebelahkan Haji Yatim, ikut emaklah... itu suami dia. Ya, emak akan sebelah siapa? Itu yang dia tertanya-tanya sewaktu mengaji lepas asar tadi.

Alang bangun, membuka pintu dapur dan berlari ke tanah. Nuha mengikutnya dari belakang. Alang muntah di tepi rumpun serai. Nuha mengurut-urut di belakang suaminya. Dia menangis tiba-tiba. Tangisannya jadi mendayu pula. Sedih sungguh!

"Alang itu yang Nuha nak cakap tadi, tetapi Alang terus tuduh Nuha nak derhaka." Tiba-tiba Nuha bersuara selepas habis menangis.

"Ehhh, kenapa nangis?"

"Kasihan dekat Alang, sedih untuk Suci dan Suria."

Mata mereka saling berpandangan.

"Tapi Alang jangan gaduh dengan abah lagi ye. Kalau tidak masak pun, itik-itik tu akan mati juga apabila sampai masanya. Abah hanya menjadi penyebab untuk mempercepatkan proses mati 'mereka' sahaja." Dia cuba memujuk. Alang selalu sahaja terpujuk saja dengan pujukan dia.

"Suci dan Suria yang asal dah lama mati. Ini anak cucunya yang entah generasi mana. Cuba Nuha kira berapa tahun kita dah kahwin? Takkan hayat itik selama itu!" balas Alang sambil tersenyum, dan matanya mencerlang nakal.

"Habis yang Alang berlari muntah di sini?"

"Ohhh, Alang terlekat tulang ikan keli. Kalau muntah dalam bilik air, nanti orang lain dengar tak lalu makan pula."

Grrrr... begitu ceritanya. Hesy, yang kita menangis sepetang sehingga tak cukup air mata tu, buat penat sajalah!

Mereka sama-sama ketawa. Makcik Raja sedih ke tak dengan klon Suci dan Suria yang mati tu, ek?

"Nuha, Alang sayang Nuha! Terima kasih kerana selalu sabar dengan perangai Alang."

Nuha mengangguk.

"Selalunya, Alang tak makan haiwan peliharaan sendiri?"

"Ini fasal Kak Long Huda, dan Alang sedang belajar faham hati seorang ayah!"

Alang ni kadang-kadang penuh emosi la juga. Benci! Kata Nuha dalam hati.

"Jom sambung makan, nanti Kak Long Huda habiskan itik sorang-sorang, Nuha yang tolong masak tak sempat merasa."

Maaflah Alang, Nuha sudah tidak lalu makan itik sejak siang tadi lagi. Rasanya sekarang pun macam sudah tidak lalu lagi.

"Alang beli tembikai kuning untuk Nuha."

Nuha tersenyum. Dia tahu, Alang betul-betul sayang dia!

______
Catatan:
Sudah habis cerita fasal Alang-Nuha dan Makcik Raja. Terima kasih pada semua yang mendoakan folder kaksu selamat :D Alhamdulillah, mujurlah selamat. Kaksu dah boleh bernafas dengan tenang sekarang. Ke mana kita esok, Langkawi atau Baling, atau Yan?

   16 comments

Sucisuria
October 2, 2014   03:01 PM PDT
 
Thank so much kak Sue..terubat sikit windu kat Alang & Nuha...tp masih tak puas laaa....huhuhuu
ros nasira
September 1, 2014   03:48 PM PDT
 
assalam kaksu..please buat dan buku kan sambungan alang-nuha & jaja-din..2 novel terbaik terpahat di hati
ana
August 17, 2014   03:51 PM PDT
 
assalamualaikum..., kak su, saya nak jumpa din dan jaja lagi.please....rindu nak tau kisah depa.
amalina
July 24, 2014   12:48 AM PDT
 
Baru dua tiga hari mengulang novel ni. Baru beli online. Betul rindu dgn mereka ni. Mana ku chik? Berdua pun sweet je dorang.
siti hasmah
July 11, 2014   02:08 PM PDT
 
assalamualaikum...kak su....alhamdulillah..tq ya kak su..terubat rindu pada Nuha Alang n Ku Chik....
ps; kak su......(seru dgn suara mendayu....heee) blh x nk special request....nk tau khabar Jaja n Din selepas Din balik dari jihad...blh ya kak su...
* sy teringat pada Vahein-Suatu Cerita..tambahan sekarang ni apabila Gaza sdg bergolak...T_T
Khai_Nisa
July 9, 2014   12:44 PM PDT
 
Romantiknya Alang-Nuha ;-)....Kalau Kak Su yg tulis, mana2 pun blh ...
Ibrahim Noh
July 9, 2014   08:04 AM PDT
 
yan!
Spectacularwave
July 9, 2014   03:07 AM PDT
 
Terima kasih Kaksu untuk lintas langsung 3 entri SUUN ni... terubat rindu dengan keluarga Mak Cik Raja :)

tapi sedih juga la sebab Haji Yatim sembelih itik peliharaannya :(


moNonuby
July 8, 2014   09:10 PM PDT
 
Alahai alang.. Nuha pun.. Kak su nanti ada masa buat lagi yer kisah mereka ! Tq kak su :)
Xenia Zidane
July 8, 2014   04:59 PM PDT
 
Alang!Oh, Alang. Dia memang sengal tapi ada "sweet"nya juga tu :)
yong
July 8, 2014   04:34 PM PDT
 
Awat dah abis dah ka? Nak byk lg... Windu alang ngan nuha
farah
July 8, 2014   04:14 PM PDT
 
Errr....rambang mata nk pilih pegi mana la kaksu. Semua nak kalau boleh.
diyana
July 8, 2014   03:58 PM PDT
 
adui mula-mula sedih.. lepas tu x jadi sedih pula.. nuha2...
nawwir
July 8, 2014   03:23 PM PDT
 
Saya nak tiket ke Baling boleh Makcik Raja
zeehan
July 8, 2014   03:22 PM PDT
 
syarbat selasih...tak tahan sungguh...
nawwir
July 8, 2014   02:53 PM PDT
 
Yehaaaaaaaaaaaaa orang pertama,
memang Alang nie sengal laaa

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments