|
AIS KETUL Selamat melangkah ke bulan penuh berkat. Semoga amalan kita pada tahun ini lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya, amin. Melangkah ke bulan Ramadan membuat kaksu teringat pada rumah nenek: 376 – Kampung Raja, Sungai Petani. Berpuasa dan berbuka puasa di rumah yang sebegitu ramai penghuninya tentulah tidak sama dengan berpuasa di rumah kaksu sekarang: kaksu dan Enche Housemate. Makan berdua dengan menu yang sedikit – tidak melebihi tiga jenis – supaya tidak ada makanan yang terbazir. Untuk itu, sempena bulan puasa, kaksu mulakan siri baharu – Anjung Mak Cik Raja ahaks: Berpuasa pada tahun-tahun tujuh puluhan manakan sama dengan zaman ketika peti ais (boleh dikatakan) ada pada setiap rumah kan? Waktu-waktu petang begini, Abang (abang kaksu, Amir – selamat ulang tahun, 21 Ogos semalam) dan Mamak (bapa saudara kaksu, Harith)... sudah pun lama bertolak ke tempat orang menjual ais batu (orang Kedah panggil, ais ketul sebutan yang sebenarnya, 'aih ketoi'). Kalau terlewat ke sana, maknanya kemungkinan kita berbuka tanpa air ais. Bayangkan kawasan terbuka seluas bilik kecil di rumah kita itu, penuh dengan timbunan ais yang tersembunyi dalam habuk kayu gergaji itu harus menampung bekalan ais untuk seluruh kampung nenek kaksu tu. Si penjualnya ala-ala adventerous la pula kena 'meraba' cari ais yang tersembunyi di bawah serbuk kayu gergaji tu. Seperti yang kaksu nyatakan tadi, ais yang dipotong persegi itu, dikambus dalam habuk mesin kayu... untuk mengelaknya daripada cair. Apabila kita beli ais tu, si penjual akan membiarkan sedikit habuk-habuk kayu tu untuk menutupi keseluruhan badan ais ketul, kemudian membungkusnya dalam kertas coklat dan mengikatnya dengan tali. Tali tu pun unik ala-ala mengkuang tak mengkuang. Jadi Mamak atau Abang akan membawa ais tu balik, di belakang basikal mereka. Tempat menjual ais tu sebenarnya dekat aja dengan rumah nenek kaksu, boleh pergi jalan kaki pun... terletak lepas Masjid Kampung Raja – sekarang tempatnya antara kedai minyak, BP dan Petronas tu. Tetapi siapa nak bawa ais jalan kaki, panas-panas petang yang masih muda, bisa membuat ais itu cair. Aduhai nostalgianya. Kalau sampai di rumah, ais ketul tu dibersihkan... buang habuk kayu tu, kemudian dimasukkan dalam pelas yang warna petak-petak (oren-merah-hitam) ala-ala skirt (kilt) orang Scotland . Pelas tu orang-orang sebelah utara beli dari Padang Besar (Perlis) la gamaknya. Setiap rumah mesti ada. Sebuah untuk diisi dengan ais, sebuah untuk diisi dengan nasi panas. Jadi pelas ini tidak boleh bercampur, nanti tahap suhunya akan berkurangan... tidak power lagi. Kalau dah awal diisi dengan nasi, jangan pandai-pandai nak isi dengan ais ketul pula. Jadi nantinya, Cik Yah, Mak Su Ti (emak saudara kaksu) atau Mamak (selepas Pak Lang berkahwin dan tidak tinggal sekali lagi) akan buat air apa-apa yang sedap untuk berbuka puasa. Biasanya Nenek Lat (nenek saudara lelaki, Abdul Manaf – kita sepatutnya panggil arwah Nenek Nap, tetapi kita panggil dia Nenek Lat sebab dia suka beli cicit-cicit saudaranya, coklat) suka beli aiskrim soda untuk menambah perisa dalam air jus tu. Jadi kita selalu sahaja menikmati jus, tembikai, cucumber, cincau yang ditambah aiskrim soda. Waktu itu belimbing besi masih belum ada harganya. Belimbing depan rumah nenek kaksu tu, kita buat basuh ikan -- untuk buang hanyir ikan, atau biar sapi-sapi yang sesat makan sahaja. Aiskrim soda? Orang utara panggil air menet aja. Perkataan menet tu asalnya daripada lemoned mengikut kajian kaksu la. Jangan pertikai kaksu ya, sebab kaksu ni... ada sarjana dalam bidang linguistik ahaks. Tahu tak, air menet masih dijual di Kedah dan Kelantan... kalau balik kampung kaksu atau kampung Enche Housemate, selalu sahaja 'kita' membelinya, tanpa membuang kenyataan yang air menet mengandungi gula sakarin. Ahaks. Tiba-tiba teringat kuih lopes arwah tok la. Tiba-tiba teringat bergedel ikan arwah emak yang sedap. Tiba-tiba hati jadi sebak mengingatkan mereka yang telah pergi dahulu. Al-Fatihah.
|
| kuzee September 18, 2009 11:53 PM PDT wah... nostalgiknya... teringat zaman kecik-kecik dulu... | ||
| kLavu August 24, 2009 07:16 PM PDT *duduk tongkat dagu dengan senyum ke telinga* wah syahdu nye zaman kaksu dolu2 kan (hahaha tamo sebut apa2 takut orang tau umur kLavu baya siapa) hahaha | ||
| kaksu August 24, 2009 01:47 PM PDT kak ee, dekat belh Sg Limau, Kedah pun ada... kaksu penah beli. nacha, bestnya kalau benda yang kita 'share' ada orang tahu juga, apakah ini bermakna... umurmu tidak sebegitu jauh dengan kaksu *perasan awet muda* kakmon, wah, pelas scotish tu seantero Nusantara bergeraknya. kakmon... good idea boleh je cuba buat biskut sarang semut kakmon, ada kita tangkap gambar tu - cik ajah tangkap, tapi kita malu nak tunjuk - teruk sangat jadinya ahaks... sentuhan kecundang... :D | ||
| kakmOn August 24, 2009 01:36 PM PDT lupa lak, awat tak tangkap kapkek siti muslihat tu.. musti dah jd kapkek Musmuliayadi kan?? :D | ||
| kakmOn August 24, 2009 01:34 PM PDT wah banyaknya kosa kata baru cikgu Soraya.. Pelas warna skirt scotland tu memang nostalgik gilos *gelak2 guling2" kakmOn pong ada memori lucu, pecahkan pelas nenek scotish itu.. tengah pk nenek Lat kaksu.. buat punch mengalahkan jamie oliver.. pasti dia lebih gedeban kan??? skang tingat lak semekut sarang semut arwah mak yg dicampur soda, sungguh sedap ringan dan cair dilidah (~;~) | ||
| nacha August 24, 2009 08:24 AM PDT kaksu wat saya rindu pada kenangan lalu. dolu2 sy pun pernah beli air batu yg ada serbuk kayu tu. hehehe... smlm baru mkn kuih lopes tu. tu kuih fevret Irfan sebenarnya. :) | ||
| kak ee August 23, 2009 08:28 AM PDT nak air lemened...betul la kak su, kat kelantan ada lagi air ni... | ||
| Mak Cik Raja August 22, 2009 05:40 PM PDT Kak Ajah, Bukan main kan orang kampung kita buat kajian fasal teori penghabluran/pencairan... takat beku segala bagai kan? R&D ada di mana-mana ahaks. | ||
| Kak Ajah August 22, 2009 04:54 PM PDT Tahun lepas kita dah tak boleh beli dah ais ketul (kita panggil air batu) yang bersalut habuk kayu masa raya. Dah tak ada org jual. Sedihnya. Selamat menjalani ibadah puasa. | ||
| Leave a Comment: |