Rumah Kecil Tiang Seribu
usah merinjis awan dalam renyai yang merintik... usah menginai gelap malam dengan ungu warna pelangi





TANAH ANDRIYANA (2002) diterbitkan oleh CESB



Sebahagian dari cerita-cerita leluhur mereka Raden Andriyana - Ahmad Fitri diungkap semula pabila Aliya, terserempak semula secara tidak sengaja dengan saudara pupunya, Fitri Hadi... dalam suasana penuh dendam, curiga dan benci. Setelah berpuluh tahun berlalu, kenapa persengketaan keluarga ini tidak pernah luak?
Mungkinkah sejarah sedih bisa berulang ataupun cinta sebenarnya seindah pelangi yang terpamer selepas hujan



GURINDAM JIWA: HATI ANDRIYANA (2007) diterbitkan oleh Jemari Seni Publishing



Tetamu
ke



Rumah Kecil Tiang Seribu
sejak 18 Mei 2004

NYANYIANMU


<< September 2008 >>
Sun Mon Tue Wed Thu Fri Sat
 01 02 03 04 05 06
07 08 09 10 11 12 13
14 15 16 17 18 19 20
21 22 23 24 25 26 27
28 29 30

E-Novel
NYANYIAN TANJUNG SEPI (2005)

Oleh: Noor Suraya


NYANYIAN TANJUNG SEPI (2006) diterbitkan oleh CESB



Dang Bersaudara
[Amai][Anis][Ayang][Inoi][Jijah][Kalas][Sari][Nila]


Tukang Ulas Novel
antubuku
novelcintamelayu
perca
seribu satu malam
ANTOLOGI CERPEN
Buat Menyapu si Ayer Mata


E-Novel


KERANAMU AIN... (2001) diterbitkan oleh CESB


"Bagaimana aku nak berkahwin dengan orang yang aku tidak cintai, Ain? Fahamilah aku, Ain, jika mencintaimu membawa hukuman mati... aku sudah lama mati."
[Nik Ahmad Adam]




BIRU UNGU CINTA (2003) diterbitkan oleh CESB



"Seandainya terus mencintai Seera adalah suatu dosa... ampunilah keterlanjuranku itu, Tuhan. Sekiranya tak dapat mengasihani Dayang itu suatu kesalahan... ampunilah ketidakupayaanku itu, Tuhan."
[Abdul Fattah]


RINDUNYA KIAN MEMBARA (2004) diterbitkan oleh CESB



"Pabila berkata tentang cinta,
angin pun seakan-akan lupa melepaskan dinginnya; mentari seolah-olah cuba menyembunyikan pijarnya; bulan pula jadi malu-malu untuk mengintai bintang-bintang; angin silir jadi berhenti mendesir; dan kita?
Kita... bagaikan tidak teringin jadi dewasa...."
[Dr Farhana Haji Abu Bakar]



If you want to be updated on this weblog Enter your email here:






 
Wednesday, August 06, 2008
Biar Lambat Asalkan Selamat?


Selasa, 5 Ogos 2008

Catatan:
Inilah abstrak kepada disertasi yang kaksu pertaruhkan untuk ijazah sarjana linguistik.


PERUBAHAN BAHASA DALAM WARKAH DIRAJA MELAYU:

SUATU KAJIAN MENGENAI SURAT-SURAT KEPADA GABENOR DALAM TAHUN 1786-1794 DAN 1886-1894

 

ABSTRAK
Kajian ini bertujuan untuk melihat pola perubahan bahasa penulisan diraja Melayu di Malaysia dalam aspek perbendaharaan kata. Tempoh masa yang diambil sebagai perbandingan dalam kajian ini ialah seratus tahun. Sehubungan itu, kajian ini akan membandingkan koleksi surat-surat simpanan Sir Francis Light dengan koleksi surat-surat daripada Sultan Abdul Hamid Halim Shah. Kesemua 12 surat yang dipilih daripada koleksi kumpulan surat 1786-1794 dan 1886-1894 adalah ditulis oleh Raja-Raja Melayu kepada Gabenor Inggeris dan Siam. Data-data dalam kajian kualitatif ini telah ditransliterasikan ke aksara Rumi daripada tulisan Jawi. Kajian ini secara tidak langsung akan membandingkan perubahan perbendaharaan kata dalam bahasa penulisan diraja pada penghujung abad ke-18 dengan abad ke-19. Kesamaan bentuk atau bahasa atau gaya penulisan surat-surat raja antara Negeri-Negeri Melayu pada tahun-tahun tersebut disatukan di bawah panduan menulis surat diraja yang dikenali sebagai 'kitab terasul' sebagai rujukan kepada jurutulis diraja. Kajian ini akan membuktikan bahawa perubahan bahasa pada surat-surat diraja bergerak dengan kadar yang perlahan kerana sultan atau raja akan mengekalkan keperkasaan bahasa dan kedaulatan baginda melalui bahasa penulisannya. Selain itu, wujudnya pertukaran kod (code-switching) dan percampuran kod (code-mixing) dalam bahasa penulisan diraja apabila wujudnya tekanan politik. Bagaimanapun perubahan ini bersifat sementara sahaja kerana raja akan menulis dalam 'bahasanya' semula mengikut hierarki kedaulatan baginda dalam 'takhtanya' apabila baginda menulis kepada rakan sejawat yang lebih 'akrab' dan yang lebih disenanginya tanpa tekanan. Kajian ini akan melihat perubahan perbendaharaan kata melalui tiga struktur iaitu dalam 'pembuka surat', 'isi surat' dan 'penutup surat'. 


Nota: Dari 16 orang tu, nama kaksu di no. 7....
_________
Anekdot:

1. Inilah jubah untuk Fakulti Bahasa dan Linguistik, UM. Tapi apabila kaksu pakai jadi tak shantek :(


2. Terima kasih kepada yang sudi datang memeriahkan 'hari kaksu'. Terima kasih untuk teman-teman yang mengirim ucap selamat lewat SMS, menelefon, kad dan juga e-mel. Juga kiriman tanda mata, jambangan bunga (dan ruang depan rumah kaksu sudah jadi kebun bunga Putri Dahlia dah). Tak sangka ya, yang kaksu ni disayangi sebegitu, terharunya.

3. Kaksu belum ada ruang untuk update lagi, tunggu ya


Kak Yah, Wan dan Wabbit tadinya sedang 'racun' kaksu supaya buat PhD, dengan alasan yang paling tidak munasabah: "Nak pakai beret yang shomel tu." 
Yang membelakangkan kamera, Dinda Nawwir & Dinda Notei... dan Inche housemate kaksu. Di belakang kaksu, Mak Su Ti yang sentiasa sahaja support kaksu sejak dulu.

Dan jurukamera waktu ini, Kakak. Gambar-gambar diculik dari tempat Wan dan Wabbit :)

Posted at 01:21 am by noorsuraya
Comments (24)  

 
Friday, July 25, 2008
Kedai Buku Terpakai di Palasari

Macam mana hati tidak terpaut, tatkala bermeter-meter (atau berpuluh? meter) panjangnya Jalan Palasari ini dipenuhi dengan buku-buku terpakai, antik dan unik.


Bunga dengan kaksu... (yang terpaksa disembunyikan) 

Jangan cemburu, apabila kaksu dapat membeli buku idaman ini, (padahal niat sebenar hendak beli buku yang lain):

1. Puisi Lama
Sekumpulan puisi yang dikumpulkan oleh S.Takdir Alisjahbana dalam tahun 1948. Buku ini dterbitkan pada tahun 1952. Untuk membaca buku yang ketika itu masih lagi terpengaruh dengan bahasa dan fonetik Belanda, nampaknya kaksu perlu tutor khas yang pakar dari Brunei Darussalam, tak begitu, KakMon?

PENDAHULUAN TJETAKAN KEDUA
... Karena banjak karangan2 lain jang mesti didahulukan... edjaan Semenandjung. Untuk memudahkan membatja kata2 jang... terima kasih saja utjapkan...


- itulah pentinganya persepakatan bahasa tahun 1972, antara Indonesia - Malaysia, kan? Uwaaaa, kalau tak sukarnya membaca Andre Hirata, Pram, Kurnia Effendi... dan banyak lagi.

2. Habis Gelap Terbitlah Terang 
Buku ini tulisan R.A. Kartini, terbitan PN Balai Pustaka. Buku yang diterjemahkan oleh Armijn Pane ini, asalnya dicetak dalam tahun 1938 lagi. Bagaimanapun buku yang kaksu dapat beli ni, hasil cetakan ke-10 (1983).
Oh ya, Armijn Pane ni adalah datuk kepada penulis kesukaan Wan dan PinkJambu iaitu, Andrea Aksana. Ibu Andrea Aksana ni juga penulis tau, ingat tak Nina Pane (oppss bukan Nina Suria ya, Nina Suria tu pembuat kuih terulung di rantau Asean. Dia juga memiliki buku masakan, Bagas Tangan Bu Apsah.)

Buku R.A (baca, Raden Ajeng) Kartini, rasanya ditulis dalam bahasa Jawa (sebab itu diterjemahkan). Kemudian Pramoedya Ananta Toer juga menulis biografi tentang Raden Adjeng Kartini iaitu, Panggil Aku Kartini Saja... maknanya, Kartini mungkin tidak senang mengunakan title nigratnya, Raden Adjeng. Pak Pram mengagumi Kartini.

Dan cetusan dari itulah, (hasil jalan-jalan ke Bandung ini) novel baharu kaksu mendapat judulnya dan akan diseru dengan tajuk: Panggil Aku Dahlia.


Insya-Allah,
ini sampul novel akan datang kaksu :)


Ya lah, di Jemari Seni Publishing, kita tidak menggalakkan penulis menggunakan tajuk besar yang ada kata: cinta, kasih, sayang, kekasih... opss, apa lagi satu ya? Bagaimanapun untuk tajuk-tajuk bagi setiap bab bebas.

Yang jelasnya, judul asal Panggil Aku Dahlia ini ialah Kalimah Cinta. Mulanya hendak guna judul Namanya Dahlia. Kemudian teringat Syud juga menggunakan judul, Namanya Teja Aulia... untuk e-novelnya. Eh, kalau Syud ingin menjadikannya sebagai novel bagaimana? (Syud, kaksu ni ala-ala nak suruh siapkan Namanya Teja Aulia aje kan?)

3. Atheis
Penulisnya Achdiat K. Mihardja. Buku ini diterbitkan dalam tahun 1949, tetapi kaksu dapat membeli yang cetakan ke-11 (1990) sahaja. Sudah lama hendak ulang baca novel ini, kaksu baca novel ini pada usia yang sangat muda. Buku ini dulunya kalau tak salah milik bapa-bapa saudara @ ibu-ibu saudara kaksu yang belajar tingkatan enam. Membaca waktu itu, dengan fikiran yang tidak matang, tentulah berbeza sekiranya membaca pada waktu yang sudah sore ini.

Buku Habis Gelap Terbitlah Terang dan Atheis tu ada diskaun sedikit sahaja, tetapi Puisi Lama tu telah dianggap buku antik dan dijual agak mahal sedikit. Betullah antik, nak buka helaiannya pun tertakut-takut sebab kertasnya dah rapuh sikit.

Buku-buku lain, yang dibeli taklah seantik ini... :)
(Catatan: Yah, lomba baca buku kita sudah masuk pusingan ke berapa, ya? Nampaknya Wan masuk pusingan akhir juga ke? Nacha dan Wabbit bagaimana?)


Pemotret: Wabbit
Untuk mengindahkan latar, ada subjek yang terpaksa disembunyikan sekali lagi!

Terima kasih Bunga dan Wabbit yang sudi temankan. Terima kasih Wabbit dan Lia yang telah merasuk kita orang untuk singgah di sini sejak semalamnya. Terima kasih Imgar yang beri arah jalan, dan terima kasih A'a Tian yang jumpa jalan ini.

Sampai sekarang, masih teringat nak pergi ke Jalan Palasari. Ada banyak buku lama hendak dibeli, hari itu rupiahnya sudah hampir habis. Sesiapa yang ingin ke Bandung, jangan lupa catatkan Palasari sebagai destinasi membeli buku yang 'wajib'.

Kaksu jadi teringat kepada Penang suatu waktu dulu. Abang kaksu akan ke Jalan MacAlister untuk membeli buku-buku terpakai (sama ada buku teks atau buku rujukan), setiap kali tahun baru dibuka, untuk dia dan kaksu.

Dulu-dulu, Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) tidak begitu adil. Kaksu ingat lagi, kaksu dan abang dan adik-adik kaksu kena beli buku teks kerana gaji abah waktu itu melebihi 1*** ringgit. Padahal, kita orang ada sepuluh beradik. Kenapa ya, purata ke nisbah agihan pendapatan itu tidak diambik kira, ya?

_____
NOTA:
1. Ada tak sesiapa yang telah cemburu dengan tiga buah buku kaksu ini? Kata housemate kaksu, tak ada siapa yang akan cemburu pun :( Betulkah begitu?
2. Kami ke Palasari hendak cari buku Ike Soepomo, Kabut Sutra Ungu. Dan kaksu ada dua tiga buah buku lagi yang hendak dicari, dan sebuahnya tentulah kiriman heroine kita Cik Notei (yang nak cerita tentang Angreani, iaitu novel Cintaku Bersemi di Asrama Putri - dulu-dulu cerita ni pernah jadi novel bersiri dalam
Utusan Malaysia.)
3. Bila la cerita fasal Indonesia ni nak habis? Orang pergi ke angkasa pun cool aja, kita yang pergi dekat tu tak habis-habis bercerita. Malu kan? Tetapi kaksu masih ada selusin cerita. Macam mana ni?

Posted at 01:11 am by noorsuraya
Comments (16)  

 
Friday, July 18, 2008
Jalan-Jalan ke Pesta Buku

                        

 

Kata Endah beberapa hari sebelum kaksu (kami) berangkat lewat YM, "Kirimi foto, aku kan tidak kenal wajah kamu." Lebih kurang begitulah. Hihi, sampai sudah kaksu tak kirim. Walaupun kami sudah kenal beberapa tahun lewat maya, tapi kaksu tidak pernah kirim gambar.

 

Kaksu balas YM dia dengan memberi tip:  Endah, aku gemuk sekali... seperti paus biru!

 

Tapi kaksu sudah hafal wajah Endah sejak dulu lagi. Dia ala-ala Wabbit, walaupun tidak serupa. Lalu melalui telefon semalam kaksu sudah kata, aku pakai baju ungu. "Kamu pakai kerudung kan, Noor?" tanya dia lagi.

"Ya, tudung aku ungu juga!!!

 

Jakarta 2 Julai 2008

Sejak malam lagi, setelah sampai di apartmen, dan kemudian mandi serta solat, kaksu dah telefon Endah; dan janji temu kami ialah sebaik sahaja Pesta Buku dibuka, kita akan jumpa Endah di booth 'Mizan'. Melihat senarai yang hendak dibeli, kaksu rasa kaksu mesti bawa beg beroda. Kebanyakan buku-buku yang hendak dibeli hanyalah kiriman 'housemate' dan, yang lebih membahagiakan sebahagian besar kiriman dia itu menjadi bahan bacaan yang dapat kami kongsi bersama, terutamanya kalau buku-buku itu karya Pak Pram. Kami menyukai Pramoedya Ananta Toer.

 

Sementara untuk diri sendiri, kaksu tetap ingin mencari, Kabut Sutra UnguDoktor Haslinda (Rivai Marlaut) dan Surat Bersampul Kelabu (Maria A. Sardjono). Selain itu sebuah buku terjemahan, Snowflower. Buku terjemahan daripada bahasa Cina ini, kaksu baca resensinya di tempat www.perca.blogdrive.com. Endah memang pandai aja menggoda kaksu dengan buku-buku terjemahan, daripada pelbagai bahasa.

 

Em juga sudah ada senarai panjang, 'kiriman' diri sendiri dan kiriman teman-teman yang ditinggalkan tu. Selain itu, kita juga rancang nak belikan buku sebagai token untuk penulis JS (khususnya, oleh-oleh cum hadiah hari jadi). Wah, tak sabarnya menunggu esok, nak jumpa Endah dan nak lihat serta beli buku. Khususnya, buku-buku lama yang sukar dicari di Malaysia.

 

Jakarta tak pernah tidur kata Bunga, lalu bilamana kami ke Jakarta pun, kami tak dapat tidur. Hotel (apartmen, sebenarnya) yang ditempah Bunga ternyata sangat selesa. Dan sepatutnya kami dapat tidur dengan nyenyak... apatah lagi perjalanan jauh yang bermula sejak jam tujuh siang tadi, sudah tentu kami sepatutnya dilesukan habis-habisan. Tapi kami tidak boleh tidur. Gembirakah atau rindukah? Wan, jaga aja hati tidak menelefon Asya, takut anaknya nangis. Nyonya Nacha sudah pun telefon cakap dengan Melur dan Pekan di rumah. KakNoor, Em dan Kaksu dah tinggal mesej... kata sudah selamat tiba. Syud? Tak tau lah kat orang muda tu. Ahaks. Dia jadi budak nakal asyik usik kami aja, menjenguk dan juri tak bertauliah Lomba Baca Buku Cerita antara bilik sahaja.

 

Tapi waktu yang berubah membuat kami jadi macam tak tentu hala. Apabila malam, kaksu dan KakNoor asyik kawad aja dalam apartmen dua bilik tu, sebab tak reti nak tidur nak mula macam mana. Apatah lagi kebiasaan kaksu yang memang tidur lewat ini.

 

Tengoklah jadual solat ni:

Subuh - 4:40 am, Syuruk - 6:58 am, Zuhur - 11:53 am, Asar - 3:15 pm, Maghrib – 5:45 pm, Isyak – 6:58 pm

 

(Dan jangan lupa ya, waktu Indonesia ini awal sejam dari Malaysia)  

 

Lalu masa yang terluang, seperti yang kaksu katakan tadi, kami habiskan dengan Lomba Baca Buku Cerita tak mengira waktu, dan pada sehingga waktu pulang ke Malaysia, kaksu cuma sempat habiskan dua buah buku penulis kesukaan kaksu (waktu zaman universiti la), Maria A. Sardjono. Buku-buku tu, Em dan Wan beli di Pesta Buku Jakarta. Manakala Manikam Kalbu, yang kaksu bawa dari Malaysia kaksu simpan kembali ke dalam tas. Kami memilih membaca buku-buku Indon, supaya dapat merasai suasananya sendiri. Hah, dan apa yang kaksu baca tu, memanglah bacaan ringan... dengan plot yang tidak kompleks. Sengaja kaksu memilih bacaan begitu, agar dalam masa yang sama kita dapat menghayati Indonesia semahunya. Kerana karyanya tidak perlu berfikir banyak, walaupun sarat dengan emosi.

 

Yang membuat kaksu menyenangi karangan Maria A. Sardjono ialah kemampuannya memasukan unsur-unsur budaya bahasa dalam karyanya. Segala ada dalam tulisannya, terutamanya peribahasa dan bahasa-bahasa indah. Dan sesekali dia akan menonjolkan keakrabannya dengan budaya Sunda, Jawa, Solo serta dengan latar cerita di Jogja yang memikat kaksu. Dan kaksu pernah juga mengakui ketika wawancara dengan Berita Harian, beberapa tahun dahulu, kaksu sangat dipengaruhi oleh kedua-dua penulis - Maria & Marga - ini, sewaktu mula-mula menulis secara serius.

Hihihi, kemudian kaksu juga berjaya racun Em, Nacha dan juga Wan untuk saling membaca. Em sudah mula membaca Maria A. Sardjono, sejak dari Malaysia lagi. Pernah kaksu beritahu Endah, selain Pram, kaksu suka membaca karya Maria dan Marga T.

 

Tetapi Endah pernah berkata, "Noor, Maria A. Sardjono dan Marga T., sudah aku tinggalkan sewaktu bangku sekolah lagi." Hahaha, aku tidak kira Endah, aku jenis baca apa sahaja yang aku suka. Dan tatkala aku sedang diracun oleh Endah, untuk membeli Ayu Utami (ada tawaran istimewa), kaksu cepat-cepat berkata, "tidak". Kenapa tidak, Endah tidak pernah lelah untuk menghasut sehingga waktu kami membeli buku berakhir. Malah diceritakan keengganan kaksu membeli Ayu Utami pada Pak Kris (CEO Bentang). Ya, kalau kaksu suka baca apa sahaja, kenapa tidak Ayu Utami.

 

Ayu Utami, alahai... walaupun kaksu membaca apa sahaja yang kaksu suka, tetapi tidak Ayu Utami, penulis kontroversi itu! Kata Endah, kalau sudah kahwin tak apa-apakan membacanya. Endah!!!

 

Dan, Endah cuba menghasut Em untuk membelinya. Mujurlah kaksu sudah update Em, bagaimana buku Ayu Utami itu, melalui resensi buku yang pernah kaksu baca. Dan semasa karya kaksu Nyanyian Tanjung Sepi dibedah di Universiti Sains Malaysia, pada tahun 2006. seorang pensyarah bahasa Inggeris mencadangkan kaksu menulis seperti Ayu Utami. Kerana itulah, kaksu tahu bagaimananya karya penulis yang juga pelakon terkenal itu.

 

"Penulisannya... Indonesia bentuk baru, Noor." Pujuk Endah lagi, kalau kau ingin tahu bagaimana pemikiran baru penulisan, kau harus baca. Lebih kurang begitulah. Ceritanya, sarat dengan mistik, erot*** dan macam-macam ada. Pendekatan baru. Malah dengan bantuan Rita, dia menghasut kaksu lagi. Kaksu tahu, Endah sekadar mengusik. Apa-apa pun, terima kasih Endah kerana begitu banyak buku yang kau bantu aku pilih. Ya, sudah lama ingin membaca Ahmad Tohari. Sudah lama kepingin membaca cerita Roro Mendut, walaupun harganya kompilasi tiga buah buku itu hampir 90,000 rupiah, kaksu beli juga. Tapi ya la kalau sup bontot (sup ekor) 52000 rupiah di Kampung Daun, tentulah lebih murahnya harga novel latar Mataram/Majapahit tu kan?

 

Beratnya mak datuk... 21 buah buku, tidak termasuk kiriman orang. Itu tidak termasuk buku-buku hadiah daripada Kurnia Effendi dan Pak Kris. Itu tidak termasuk buku-buku yang dibeli di Palasari. Buku terpakai kawasan yang sangat popular di Bandung itu yang membuat kaksu ingin ke Bandung sekali lagi. Dan tidak hairan la, kaksu kemudiannya diberi tanggungjawab sebagai 'duta' minta dikurangkan cukai eksais di depan kaunter pemeriksaan tu. Puas dah tunjuk muka lima sen, sepuluh sen, dua puluh sen, lima puluh sen apalagi seringgit. Mas Tri tak layan. Tidak boleh dikurangi, biarpun serupiah, Ibu. Tegasnya: "Ibu, satu juta tiga ratus sembilan puluh lima ribu! (1395000 rupiah)."

 

Adusss. Sudah jatuh ditimpa tangga, masa membeli bukannya tak ingat dunia. Kerana kaksu memang sudah ukur baju di badan sendiri. Tetapi kaksu tahu, kaksu boleh aja tahan hati membeli belah di tempat lain nantinya. Syukur, kaksu tidak jadi rambang mata tatkala di Tanah Abang (Jakarta), apatah lagi di Pasar Baru (Bandung), tetapi kaksu tetap jadi rambang mata di Pesta Buku Jakarta itu. Mana tidaknya, buku Pram yang kat Malaysia (Kompleks Wilayah) menjangkau sampai 60-70 ringgit, hanya dijual dengan harga +-RM25, sahaja. Mana kaksu tidak borong, tujuh lapan buku Pak Pram. Apatah lagi sewaktu datang itu, kami singgah ke Pesta Buku dahulu. Waktu itu, duit puluh-puluh ribu-ribu rupiah masih keras bau bank berikat dengan getah gelang lagi....

 

 

 

- kaksu dalam gaya penat pilih buku -

____

Nota:

Kalau ada umur, dan rezeki rasanya hendak ke Palasari cari buku-buku antik 

Posted at 12:36 pm by noorsuraya
Comments (14)  

 
Sunday, July 13, 2008
Cerita dari Jakarta

Ini pagi-pagi sebelum kita berangkat ke Bandung
(Lihat Syud comel macam ikan dalam gambar)

 

Posted at 09:20 pm by noorsuraya
Comments (9)  

 
Friday, July 11, 2008
Berkereta Api ke Jakarta

Dari lapangan terbang, kami berenam menaiki Kijang (ala-ala Toyota Unser) ke Stesen Kereta Api Bandung, ingin berebut untuk ke Jakarta sebelum sore tiba. Sayangnya, kereta api jam 2.30 petang sudah penuh. Di sini orang menggunakan waktu selepas 12 tengah hari sebagai pukul 13, 14, 15... untuk pukul 1, 2, 3... ah, ala-ala waktu tentera la pula. Kaksu kira ini pengaruh pemerintahan Sukarno dan Suharto, barangkali. Mujurlah kita di Malaysia guna waktu separuh-separuh sahaja. Dan kaksu senang lagi menggambarkan pukul dua pagi, atau dua petang... dalam penulisan novel, daripada pukul dua dan pukul 14:00.

 

Waktu dibawa Mas Tomi melalui bandar Bandung, tiba-tiba mata tertancap pada iklan kedai makan di sisi kaksu. Kepiting[1] Rebus dan Sup Kodok[2]. Ha, hati kaksu sudah waswas sepenuhnya untuk makan di sini. Kata Mas Tomi, ya kodok ada yang boleh dimakan dan ada yang tidak. Kita orang sudah menjerit. Walaupun bagaimana cara ternakan katak, yang cuba menghalalkan cara... katak sejenis amfibia yang tidak boleh dimakan, titik! Kami sudah geli-geleman, dan mengambil sikap harus berhati-hati dengan segala jenis makanan yang akan 'diproses' menjadi darah daging. Rasa ini menempel lagi, ketika lewat tanah tinggi beberapa hari kemudiannya, kaksu juga ternampak iklan menjual susu keldai. Kalau daging keldai, tak boleh dimakan... susunya pun samalah. Wallahualam.   

 

Oh ya, kereta api orang Indon, panggilnya sebagai kereta, bagaimanapun dalam bahasa standard yang cuba diperkenalkan lewat iklan-iklan di kaca TV dalam Kereta Api Agro Gede[3] itu tertulis: kereta api. Kenderaan di sini namanya pelik-pelik, tetapi fungsinya unik.

 

Ojek – motosikal yang mengambil upah membonceng penumpang

Becak – beca la

Tut-tut @ bajaj – beca yang beroda dan menggunakan enjin

Angkot (akronim untuk: angkutan kota) – van yang berfungsi sebagai 'bas mini' – muat untuk 12 penumpang, ala-ala koboi dengan pintu terbuka, dan boleh aja angkut orang di mana-mana – tetapi destinasinya jelas

Cipaganti @ Travel – ini ala-ala van yang besar untuk antara daerah-daerah, lebih selesa siap dengan penyaman udara. Konsepnya, cukup 12 orang cipaganti ini jalan

 

Itu yang membezakan kenderaan di negara ini dengan di negara kita. Syud asyik diusik agar cuba menaiki tut-tut tu.

 

Perjalanan ke Bandung yang mengasyikkan, lewat jam 16.15 petang itu, kami selesa dalam ruang kelas eksekutif (Rp45,000 bersamaan RM16.20) dengan berbekalkan sajian ringan. Cadangnya, nak makan di Jakarta. Jadi mata hanya melihat makanan-makanan yang dipesan dari kafe kereta api, yang bertali arus melewati kami ke koc belakang. Hmm, sedapnya, tetapi teringat hal sup kodok tu, membuat kaksu harus sabar aja. Berebut ramai-ramai makan roti Gardenia Kak Noor dengan serunding (Em dan Nacha bawa) sewaktu beristirahat sebentar dalam lounge kelas eksekutif tadi – sebelum kereta api datang – rasanya sudah cukup sebagai alas perut. Air mineral yang sejuk telah membasahi tekak.

 

Pemandangannya Subhanallah, sawah-sawah padi yang bertingkat menghijau cantik. Melihat gunung-ganang yang terpasak di Tanah Jawa, langitnya yang menyembunyikan awan, membiru cerah, serta rumah-rumah penghuninya yang pelbagai, serta penduduknya dari segenap usia yang berdiri tidak jauh dari jalan rel, tanpa rasa gerun pada kereta api yang bergerak, membuat kaksu sedar, perjalanan kami sudah jauh, jauh meninggalkan tanah air.

 

Kami mengisi rasa mengantuk dengan lomba baca buku cerita dalam kereta api, selain dari yang memiliki kemera bergantian merakam suasana di luar kaca jendela. Tidak ada sesiapa yang berani terlelap, kerana kami harus memasang niat jamak takhir maghrib, pada jam 5:55 petang. Seawal itu, waktu maghrib sudah masuk di Tanah Jawa. Setelah memasang niat, hari semakin gelap, dan ada yang sudah terlelap. Kaksu tidak sabar menunggu dan menunggu... saat Jakarta merangkul kami. 

 

Perjalanan yang sepatutnya 3 jam 3 minit, berlarutan menjadi 3 jam 20 minit (walaupun kereta api bertolak tepat waktunya dari Bandung tadi) sehingga kami menempuh Stesen Gambir Jakarta à pada matlamat utama, Pesta Buku Jakarta 2008. Hah, Jakarta... ulat buku enam bersaudara sudah datang! 

 

Tiba di stesen, kami sudah dikerumuni dek pak-pak porter yang ingin mengusung koper. Mereka memakai pakaian khusus. Yang membuat kami (khususnya, Nacha)... ketawa hampir jatuh tangga Stesen Kereta Api Gambir Jakarta itu ialah pabila pak porter berkata: Ibu, tak ape-ape... kite boleh bawe beg ibu ke baweh (ala-ala loghat KL yang tidak menjadi).

 

Rupa-rupanya seperti kita yang ingin berbahasa Indon apabila berdepan dengan mereka, mereka juga senang untuk berbahasa Malaysia (baca Melayu) kan! Teringat kata-kata Em, kita guna bahasa kita! Takut dicubit Em, kaksu cuba tidak menggunakan bahasa Indon, kecuali pada mereka yang tidak memahami. Tambah lagi, Kaksu dan Em, berjanji ke Stadium Senayan (tempat pesta buku berlangsung) dengan berbaju kurung. Nak tunjuk identiti Malaysia pada siapa, ekh? Tidak siapa-siapa, kami kan datang sebagai 'duta'. Ahaks

 

Sebagai orang yang sangat menyukai kepelbagaian bahasa rumpun Melayu, kaksu menggunakan kesempatan ini untuk belajar sedikit-sedikit bahasa mereka. Penting buat kaksu gunakan tatkala menterjemah karya mereka ke bahasa kita, walaupun sebenarnya kaksu lebih senang membaca karya Indonesia dalam naskhah bahasa asalnya.

 

Untuk itu, terima kasih pada Bu Guru (Bunga) dan Pak Guru (A'a'a Tian), yang menjawab banyak persoalan kaksu mengenai peristilahan sepanjang perjalanan dari Jakarta ke Bandung, serta sewaktu kami pusing-pusing[4] Bandung.

 

Kayanya bahasa rumpun Nusantara kita... kan!

 

p/s: Esok, kaksu akan bercerita fasal tempat-tempat yang kami singgah untuk solat, dan cerita di sebaliknya... di Masjid Istiqlal (depan gereja lama) tu, misalnya, ada sorang perempuan ni yang asyik dok kontrol jemaah ala-ala tok siak(wati).



[1] ketam

[2] katak

[3] besar

[4] orang Indon kata 'keliling' atau 'putar-putar'… pusing, maknanya pening

Posted at 12:25 pm by noorsuraya
Comments (10)  

 
Thursday, July 10, 2008
Orang Jakarta Orang Bandung

Orang Jakarta cakapnya cepat-cepat (terkecuali Bunga, yalah teman kami Bunga, asalnya orang Jogja yang terkenal sangat berbudaya... keturunan ningrat-ningrat, bahasanya aduh... tertib dan lembut)

Orang Bandung lisannya halus, kata-katanya cermat...

Tetapi kedua-dua masyarakat Bandung dan Jakarta santunnya dengan tetamu terpuji.

Adakah kata-kata kaksu terlalu berlebihan sewaktu memuji dan berkata tentang orang luar?

 

Cerita Orang-Orang...

Sewaktu kami tiba di Bandung, matahari sudah lama tegak tetapi cuacanya panas dingin. Terasa bagaikan kita kembali ke Tapah (Perak) suatu waktu dulu. Nostalgik... !

Waktu Bandung lewat satu jam dari Kuala Lumpur, tetapi 'suasananya' terasa cepat dua jam... huh, macam masuk ke terowong waktu kan!

 

Pada saat Bandara[1] Husein Sastranegara Bandung kami lepas pergi, terasa kami terperangkap dalam budaya Jawa dan Belanda serentak. Rumah-rumahnya bagaikan orang memakai kopiah tiga segi yang menutupi seluruh dahi. Berbumbung genting merah dan batu kawi, mobil[2] boleh masuk sehingga di sebelah rumah dan bersembunyi dalam garaj bertutup. Itu cerita rumah orang-orang pertengahan di Bandung. Rumah golongan atasan, janganlah dikiralah, cantiknya dan agamnya. Terletak di atas tanah agak tinggi. Ramai Pak-Pak Menteri dari Jakarta membina rumah persinggahan mereka di Bandung ini. Cuacanya dingin... sekali. Rumah Barry Prima[3] siap dengan parabola yang membuat NASA pun jadi cemburu itu, tersergam indah di pinggir tanah tinggi Cihedung.

 

Namun, bagi golongan yang marhaen... mereka masih aja sejuk bermalam dalam rumah kotak, pada lorong-lorong jalan. Hatiku terikat tak terucap!

 

Hmm, alhamdulillah... sampai juga kami ke Bandung. Kami meninggalkan buku cerita yang khusyuk diulang kaji tadi (kaksu memilih membaca Manikam Kalbu) dalam pesawat[4] dan menatap langitnya yang cerah. Hati berdebar seribu rasa, perut sudah mulai berkeroncong irama  Bengawan Solo... tetapi, otak tetap menyajikan dan mengarah pada keindahan alam yang memukau. Apatah lagi lemak-lemak dalam badan sudah cukup, memecahkan molekul-molekul protein untuk menggantikan tenaga yang hilang. Itulah lebihnya orang gemuk, kan? Huh, alasan yang paling tidak munasabah!

 

Orang-orang Bandung ramah, tetapi setiap keramahan itu dibayar dengan rupiah, tentu sahaja pada jumlah yang kita sudi hulurkan. Wan, terpaksa SMS Bunga, untuk mengetahui jumlah tip yang perlu dibayar pada si pengangkat koper: Ya, Rp 10000-15000 sudah lumayan.

Membaca angkanya, sudah buat jantung kita berdebar... namun setelah dirujuk pada sifir[5] yang direka bentuk oleh Wan: huh, baru antara RM3.60 sehingga RM5.40 sahaja. Untuk koper-koper sebesar anak gajah yang baru lahir itu, wah, harganya murah sangat. Jumlah yang sebegitu sahaja, terasa tidak padan untuk koper kami berenam, apatah lagi mereka berkongsi pula dengan beberapa orang porter. Kaksu juga bawa buku yang berlebih untuk kenalan di sana: selain memperkenalkan produk Jemari Seni Publishing kepada teman-teman kaksu di sana, terutamanya pada Si Endah. Hmm, 8 kilogram lebih hanya untuk buku-buku...? Berbaloi kah?

 

Namun sewaktu pulang, kaksu dapati rupa-rupanya harga untuk porter (dicatatkan, sebagai perkolli: untuk seorang kuli???), cuma Rp 4000(RM1.44) sahaja. Murahnya tulang empat kerat mereka. Sedangkan duit sebanyak itu, dibuang percuma beberapa saat untuk anak-anak muda Malaysia berbual kosong lewat SMS sekadar untuk bertanya, "Pekabor." Melihat warga marhaen berusaha seperak demi seperak untuk mengumpul wang demi sesuap nasi, membuat kami berenam menghargai apa yang kita ada. Syukurnya dengan rezeki Allah berikan. Apatah lagi bagi kaksu, yang selama bertahun-tahun ini diberi rezeki sampai jadi gemuk sebesar paus biru, aduh melampaunya kaksu... oh tidak, bukannya di Malaysia fakir miskin itu sudah pupus, sayang... tetapi di Bandung ini orang miskinnya terlalu ramai.  

 

Orang-orang yang ngamen[6] ada di mana-mana, sang peria dan kanak-kanak menjual segala mak nenek melintasi jalan yang macet[7] dan sibuk untuk mengisi perut bagi meneruskan hidup. Aduhai... aduhai.... Pernah sekali, kami ternampak 'lelaki metalik' ala-ala X-Men berdiri dengan gaya yang menyedihkan di tengah-tengah bulatan jalan hanya untuk ngamen.  Di jalan-jalan terhulur jaring ala-ala orang menjaring ikan, para si peminta sedekah meminta sedikit rupiah untuk hidup. Aduhai, aduhai....

 

Kenalan kaksu, Endah, Pak Kris (CEO Bentang), Kurnia Effendi (Penulis), Hermawan Aksan (Wartawan di Bandung), Tanzil (ada laman resensi buku dan filem) ini, kenalan dari grup milis Buku Bentang. Beberapa tahun dahulu, kaksu pernah diajak untuk masuk kelab ulat ini (orang Indonesia panggil, kutu) buku ini oleh Endah: Klub Sastra Bentang. Tidak lama kemudiannya, kaksu sudah tidak lagi berkicau dengan mereka, malulah... bacaan kaksu tidak pernah seluas mereka. Buku-buku pelbagai bahasa di Indonesia diterjemahkan dengan cepat dan segala kutu-kutu buku ini, menikmati bacaan mereka dengan mudah. Sedangkan di sini, industri terjemahan buku tidak sepesat mereka. Buku-buku import mahalnya bukan main.

Di sini kaksu melihat sendiri Bandung dengan mata kepala, membuat kaksu lebih memahami novel-novel yang kaksu terjemahkan untuk PTS seperti Syahadat Cinta dan Musafir Cinta.  Dan kini kaksu dalam proses untuk menterjemah Makrifat Cinta, dalam siri trilogi itu, dan ya... setelah ke Bandung, kaksu mula memahami sedikit lagi budaya mereka. Kaksu mula memahami sistem pengangkutannya dengan lebih mendalam. Opsss... berbalik pada cerita grup milis ini semula ya....

 

Dengan kesibukan masa, akhirnya kaksu sudah tidak lagi berkawan dengan grup mereka. Namun satu-satunya yang kekal menjadi teman kaksu sampai kini, tentu sahaja Endah si pemilik resensi buku itu. Malah sewaktu kaksu menulis Nyanyian Tanjung Sepi, Bab 72 – Mahadewi, Mbak Endah yang tolong edit bahasa Indonesia kaksu untuk watak Mbak Asih itu, dan kaksu juga abadikan nama Endah Sulewesi di dalamnya.  Malah kami pernah bercadang dengan Antubuku (Brunei) secara bertiga, untuk menulis e-novel sama-sama, secara bergilir-gilir. Tapi seperti biasa, waktu itu masa kaksulah yang banyak disita, dan rancangan itu tidak tersimpul pun. Apatah lagi Si Antubuku pula seakan malu-malu pula. 

 

Setelah sekian lama berkenalan dengan Endah, sebaik sahaja dia pasti yang kaksu (dan geng) akan datang, dia cepat-cepat sahaja... menghubungi empat bapak-bapak itu untuk turut bergabung. Dia juga meminta Mbak Rita (wartawan majalah Gatra) untuk turun, sayangnya Mbak Rita harus ke Belitung membuat liputan behind the scene, penggambaran filem Laskar Pelangi daripada adaptasi karya Andrea Hirata. Bagaimanapun pada saat akhir, Mbak Rita tidak jadi ke Belitung. Okey berhenti dulu bahagian ini. Nanti-nanti sambung lagi.

 

Selain tu, kaksu dan Em juga bawa sedikit-sedikit bawa buku untuk Nurul dan Bunga. Waktu pihak kastam sana panggil kaksu untuk membuka koper buku itu, kaksu dah tahu... aduh pasti aja kena cukai. Mulut dah mula membaca doa minta lembutkan hati Pak Kastam dan Ibu Kastam. Kemudian Em terpaksa pecah rahsia yang kaksu seorang penulis, dan kami membawa buku ini untuk kenalan-kenalan di sini (Indonesia), dan kami dalam perjalanan ke Jakarta untuk Pesta Buku Jakarta 2008. Alhamdulillah, terus mereka benarkan kami berlalu tanpa apa-apa pertanyaan lagi. Terima kasih ya.... dan mereka juga bilang, mereka faham bahasa Melayu. Ya Bu Haryani, kita kan serumpun.

 

Aduhai perjalanan kaksu belum pun sampai ke kereta api untuk ke Jakarta tengah hari, sudah panjang sebegini. Beginilah kalau nak lihat perjalanan cerita ini dengan detail, sila ke Wan Amalyn

 

Nota:

Esok kaksu sambung lagi, Berkereta Api ke Jakarta



[1] lapangan terbang

[2] kereta

[3] bintang filem zaman 80-an, yang tak pernah sekalipun kaksu jatuh hati berbanding Benjamin S

[4] kapal terbang

[5] wan membuat panduan sifir Rp1000 – Rp2,800,000, dengan tukaran satu ribu rupiah = 0.36 ringgit Malaysia.

[6] Meminta sedekah dengan menyanyi atau meminta-minta atau buat apa sahaja untuk menarik perhatian orang

[7] Sesak/ jammed  

Posted at 01:11 am by noorsuraya
Comments (11)  

 
Wednesday, July 09, 2008
Setelah Sekian Waktu Hatiku Tertambak

Sehari sebelum kaksu bertolak ke Bandung (khususnya, ke Jakarta untuk ke Pesta Buku Jakarta 2008), si gebu kelinci kaksu, Nurin telefon. Anak saudara kaksu yang akan genap umur 5 tahun, Ogos nanti itu bertanya, "Kenapa Bude' nak pergi Indonesia, Bude'?"

 

Opps, betul tu... kenapa hendak ke Indonesia.

 

Sudah lama kaksu bernyanyi nak ke Indonesia khususnya, Bandung dan Jogjakarta. Sewaktu kaksu merangka manuskrip Tanah Andriyana (novel kaksu yang kedua) beberapa tahun yang lalu, hasrat itu sudah tersimpan kemas. Apatah lagi, sewaktu melayari laman-laman web tentang sejarah Indonesia sewaktu penjajahan Belanda, hati kaksu sudah tertambat untuk melihatnya sendiri. Kaksu ingin sekali memandang sendiri bagaimana rupanya Keraton milik keluarga 'Andriyana' yang ceritanya kaksu lakar dalam novel itu. Novel yang membuat kaksu mengenali teman-teman di maya yang kemudiannya menjadi saudara akrab itu.

 

Kemudian apabila kaksu berura-ura menyiapkan naskhah  Tanya Sama Angin, keinginan kaksu untuk ke Bandung melonjak lagi: nak ke sana! Kaksu mesti ke sana, itulah alasannya kenapa tujuan kaksu menukar latar Padang ke Bandung. Kaksu sudah teruja waktu itu, apatah lagi Bandung itu dijolok sebagai, Kota Kembang dan Kota Buku. Apatah lagi sewaktu di universiti hampir 20 tahun dulu, buku-buku cerita daripada penulis kesukaan kaksu mengambil latar Bandung sebagai tempat yang terindah untuk liburan.

 

Mujurlah, teman sekerja kaksu, Toh Puan Em mendukung cita-cita untuk ke sana juga,  dan untuk memeriahkan lagi, kaksu mencadangkan agar kita pergi sewaktu Pesta Buku Jakarta. Jadiiii... bolehlah jadi bisnes trip ahaks merangkap cuti panjang, lalu bolehlah kami meninggalkan waktu ofis untuk seminggu tanpa rasa bersalah.

 

Lalu tabuh dipalu, rebana dipukul, anglung digetarkan... mengajak anak negeri ulat buku untuk turut serta... aduhai, kalau tiga hari mana cukup untuk menyusuri Jakarta sehingga Bandung, kan?

 

"Kita pergi lama la Kak Sue, mana cukup... rugi bayar tambang mahal-mahal, pergi sat chet saja." Kata PinkJambu. Maka ramai yang bersetuju, pergi lama-lama.

 

Lalu Si Wan mengatur acara, Em 'melamar' pesawat... oh, jadi... siapa yang ikut, ya?

 

Nacha awal-awal sudah kata "yes" sebelum bertanya pada Tuankunya.

Kaksu dan Em, pergi dengan urusan "Jemari Seni Publishing" jadi urusan kantor kan, tentulah "bos-bos" di rumah tidak menghalanginya.

 

Man, yang saling memahami tentu sahaja setuju sedia melepaskan isterinya tu berangkat bersama-sama kakak-kakak aja.

 

Bonda pula, sudah diizinkan pergi oleh ayahanda... jadi yang akhirnya cuma 5 orang? Geng ulat buku tinggal lima, mana asyik nak pergi cuma lima orang? Namanya, rombongan ke pesta buku ni.

 

Lalu akhirnya, kami berjaya menghasut dan meracun Syud untuk ikut juga. Yang lain-lain, tetap ada urusan yang lebih afdal, tentunya.

 

Mana Sang PinkJambu, dia kan yang beria-ia nak pergi sampai lama?

Si Bonda Puteri itu rupanya sedang akan berputera lagi...

 

Notei pula sudah terbang ke Sydney untuk kursus waktu itu.... Ulat-ulat buku yang lain pula kerja waktu itu... (dan nanti kaksu ceritakan apa kejutan yang tidak tersangka berlaku selepas itu).... Oh, jantungku bagaikan akan copot mengenangkannya.

 

Jadi walaupun kain rentang tidak sempat ditegangkan... kami bertolak pada:

2 Julai 2008 yang ditunggu-tunggu;

dengan pesawat Air Asia 10:55 pagi (yang kemudiannya, seperti sinonimnya @ slogannya, Air Asia Pasti Lewat...), bertukar pada waktu yang lebih lewat;

destinasi Kuala Lumpur – Bandung mengambil masa 2 jam 10 minit, kata pramugarinya lewat pembesar suara... dalam bahasa yang mereka agungkan!!!

 

Jom la ikut kaksu, Em, kaknoor, Nacha, Wan dan Syud ke Indonesia.... 


_____________
Nota:
1.  sedihnya sebab sebelum pergi tidak sempat tata si keding sang kancilku, Deena :(

2. untuk yang masih sudi mengunjungi kaksu walaupun sudah sekian waktu blog ni bagaikan kena sita, ampun ya sebab tidak sempat saling menukar  salam di laman ni. Kaksu dilanda virus malas menulis, tahap gaban :(

3. Apa yang kaksu tulis ini adalah pandangan peribadi kaksu ya

Posted at 02:53 pm by noorsuraya
Comments (6)  

Next Page