Sebahagian dari cerita-cerita leluhur mereka Raden Andriyana - Ahmad Fitri diungkap semula pabila Aliya, terserempak semula secara tidak sengaja dengan saudara pupunya, Fitri Hadi... dalam suasana penuh dendam, curiga dan benci. Setelah berpuluh tahun berlalu, kenapa persengketaan keluarga ini tidak pernah luak? Mungkinkah sejarah sedih bisa berulang ataupun cinta sebenarnya seindah pelangi yang terpamer selepas hujan
E-Novel KERANAMU AIN... (2001) diterbitkan oleh CESB
"Bagaimana aku nak berkahwin dengan orang yang aku tidak cintai, Ain? Fahamilah aku, Ain, jika mencintaimu membawa hukuman mati... aku sudah lama mati." [Nik Ahmad Adam]
"Seandainya terus mencintai Seera adalah suatu dosa... ampunilah keterlanjuranku itu, Tuhan. Sekiranya tak dapat mengasihani Dayang itu suatu kesalahan... ampunilah ketidakupayaanku itu, Tuhan." [Abdul Fattah] RINDUNYA KIAN MEMBARA (2004) diterbitkan oleh CESB
"Pabila berkata tentang cinta, angin pun seakan-akan lupa melepaskan dinginnya; mentari seolah-olah cuba menyembunyikan pijarnya; bulan pula jadi malu-malu untuk mengintai bintang-bintang; angin silir jadi berhenti mendesir; dan kita? Kita... bagaikan tidak teringin jadi dewasa...." [Dr Farhana Haji Abu Bakar]
Kelmarin (Isnin)... kaksu ke CESB beli buku yang orang pesan... hihihi cuba teka kaksu jumpa siapa dalam perjalanan dekat-dekat CESB?
Mujurlah yang nampak itu ialah si mata elang em... sebab kaksu biarpun ber-sepek mata atau tidak, bermata kanta pelekap pelekat ka atau tidak... tetap tak perasan. Sebab kaksu jenis yang tidak berapa perasan orang... sebab mata kaksu di depan, tetapi fikiran kaksu selalu ke utara selatan, timur barat.
Dia sedang beli goreng pisang di seberang jalan dengan sorang teman. Dan kita orang pula dalam teksi waktu itu (sebab kak em tinggalkan kereta dia di Hentian Putra, malas terhimpit dalam sesak dan sukarnya pula kalau nak cari tempat parkir di Bangsar ni). Teksi kita orang tu memang akan berhenti setakat tu aja... dekat CESB tu la.
Kaksu pun dengan langkah laju menaiki tangga ke CESB, ala-ala Michael Jordan + Marina Chin... ting tong ting tong... huh, lega... Meg ada dalam tu. Ada misi ni J
"Meg, I ambik dulu... sat lagi I mai balik, bayar na." Terus capai Nyanyian Tanjung Sepi di rak showroom tu.... Pastu kaksu jalan cepat-cepat diiringi kak em... ala-ala perarakan hari kebangsaan yang di timpa hujan J dan kaksu masih tercari-cari mana dia.
"Yah, betul ka?" tanya kaksu.
"Betul... dekat-dekat gerai goreng pisang." Akhirnya kaksu nampak dia... TAPI dia dah menyeberang sebelah sana pula. Mungkin nak pi pekena teh tarik kat restoran depan tu, berbekalkan goreng pisang di tangan. Mujurlah jalan (lorong) tu kecil... tak perlu kaksu buat lompat kijang pula untuk ke seberang.
"Kaksu panggil dia la!" kata em.
"Nak panggil apa?"
"Panggil Encik ***** la."
Uwaaa, macam mana nak panggil dah segan ni. Tak panggil entah bila ada ruang nak jumpa dan 'lunaskan' hutang yang membebankan ni.
Dah lama rasanya, rasa bersalah ni mengekori kaksu...
Akhirnya, kaksu pun membuka suara emas kaksu... ala-ala pengacara di Istana Budaya... tatkala pentaskan cerita Sultan Mahmud Mangkat Dijulang.
"Encik *****, Encik *****." Dia beralih, leganya... betullah dia. Sah. Wajah itu! Muka dia ala-ala Pak Chaq kaksu, sebenarnya... tapi tentunya Pak Chaq kaksu lebih handsome... sebab Pak Chaq kaksu Gujerati mari ahaks.
Kaksu segerakan serahkan novel NTS yang masih berbalut plastik yang 'diculik' daripada Meg sebentar tadi ahaks.
Tapi suara kaksu tidak jadi macam pengacara di Istana Budaya pula, sebaliknya... dah bertukar ala-ala itik nila aja L
Dan tiba-tiba teringat cerita Seniman Bujang Lapok – part Saloma panggil pula. Uwaaaa... tak suka!
"&%+%%####yZT..." Kaksu cakap seket-seket dan angkat dua telapak tangan menepuk kedua-duanya ala-ala minta ampun ala-ala 'sodikap' tu pramugari Thai Airlines...
"%%%===####." Balas dia. Apabila ditranslate secara mudahsebagai "tak apa-apa."
Lepas tu kaksu rasa sudah terbasmi semua hutang sejak Nyanyian Tanjung Sepi tersiar. Alhamdulillah.
Lepas tu telefon Abang Rosdi, cerita fasal tu. Abang Rosdi ketawa-ketawa.
Tanya orang, buku apa yang hendak dibaca, ya? Saya nak sesuatu yang baru dan ada kelainan... idea yang 'fresh'...
opsss, karya kaksu tak segar ke? *tanya dalam hati*
bukan... kaksu dah lama tak menulis, kaksu cadangkan lah... *opss, boleh baca hati kaksu ke?*
kalau tanya mendadak begini... kaksu cuma ada 5 buah untuk berkongsi... DUA tentunya dari Jemari Seni Publishing :) (hisyh... sudah gaharu cendana pula)
1. Kopi SusuSepatu Biru karya Ruby Hazri
2. aA+bB karya Hlovate
Tahniah! Syabas!... untuk Saudariku Ruby Hazri dan Saudariku Hlovate
Dan TIGA lagi terbitan PTS, buku terjemahan dari seberang? Karya seorang ilmuwan - Andrea Hirata...
1. Laskar Pelangi
catatan: buku ini kaksu diberi peluang menulis kata-kata pujian di belakangnya :D
2. Sang Pemimpi
catatan: buku ini kaksu diminta untuk membaca pruf :) sebelum dicetak
3. Edensor
catatan: buku ini terjemahan dari bahasa Indonesia ke bahasa Melayu, oleh: Noor Suraya :)
kaksu sekarang menunggu buku keempat beliau dari koleksi LASKAR PELANGI ini...
Bacalah kelima-lima buku ini, insya-Allah tidak menghampakan.
Andai kau tahu ini Ramadan terakhir tentu siangnya engkau sibuk berzikir tentu engkau tak akan jemu melagukan syair rindu mendayu.. merayu... kepada-NYA Tuhan yang satu andai kau tahu ini Ramadan terakhir tentu solatmu kau kerjakan di awal waktu solat yang dikerjakan...sungguh khusyuk lagi tawaduk tubuh dan kalbu... bersatu memperhamba diri menghadap Rabbuljalil... menangisi kecurangan janji innasolati wanusuki wamahyaya wamamati lillahirabbil 'alamin [sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku... kuserahkan hanya kepada Allah Tuhan seru sekalian alam]
Andai kau tahu ini Ramadan terakhir tidak akan kau sia-siakan walau sesaat yang berlalu setiap masa tak akan dibiarkan begitu saja di setiap kesempatan juga masa yang terluang alunan Al-Quran bakal kau dendang... bakal kau syairkan
Andai kau tahu ini Ramadan terakhir tentu malammu engkau sibukkan dengan bertarawih... berqiamullail... bertahajud... mengadu... merintih... meminta belas kasih sesungguhnya aku tidak layak untuk ke syurga-Mu tapi... aku juga tidak sanggup untuk ke neraka-Mu
Andai kau tahu ini Ramadan terakhir tentu dirimu tak akan melupakan mereka yang tersayang mari kita meriahkan Ramadan kita buru... kita cari... suatu malam idaman yang lebih baik dari seribu bulan
Andai kau tahu ini Ramadan terakhir tentu engkau bakal menyediakan batin dan zahir mempersiapkan diri... rohani dan jasmani menanti-nanti jemputan Izrail di kiri dan kanan ... lorong-lorong reda Ar-Rahman
Duhai Ilahi.... andai ini Ramadan terakhir buat kami jadikanlah ia Ramadan paling bererti... paling berseri... menerangi kegelapan hati kami menyeru ke jalan menuju reda serta kasih sayang-Mu Ya Ilahi semoga bakal mewarnai kehidupan kami di sana nanti
Namun teman... tak akan ada manusia yang bakal mengetahui apakah Ramadan ini merupakan yang terakhir kali bagi dirinya yang mampu bagi seorang hamba itu hanyalah berusaha... bersedia... meminta belas-Nya
andai benar ini Ramadan terakhir buat kita: MAAFKAN SEMUA KESALAHAN YANG PERNAH AKU LAKUKAN..."MARHABAN YAA RAMADHAN "
_______________ Catatan: Puisi ini, memang pernah kaksu baca di mana entah, tidak beberapa lama dulu. Sudah pun pernah menyentuh rasa palong dalam. Tapi apabila tiba-tiba dikirimkan pula oleh seseorang; terasa pula nak lekatkan kat sini juga. Pengirimnya, pelajar kaksu semasa di Sibu (Sarawak) dulu... sekarang dia sudah pun menjadi saudara seislam kita, alhamdulillah
NOVEL TERBAIK 2006 1. Nyanyian Tanjung Sepi ~ Noor Suraya 2. Biarkan Aku Sendiri ~ Siti Rozilah 3. Mencari Kekasih ~ Zaharah Muhammad 4. Andai Kumiliki Semalam ~ Syamimi Aminolah 5. Antara Dua Hati ~ Fatinilamsari Ahmad
NOVEL CETAKAN PERTAMA PALING LARIS 1. Nyanyian Tanjung Sepi 2. Lelaki Terakhir 3. Hadirnya Cinta 4. Setelah Kau Pergi 5. I Love You
PENULISPALING PROLIFIK 1. Nass Alina Noah 2. Syamimi Aminolah 3. Siti Rozilah 4. Abdul Rahim Awang 5. Siti Zabehah Ibrahim
NOVEL ULANG CETAK PALING LARIS 1. Permata Asmara 2. Hadirnya Cinta 3. Lelaki Terakhir 4. Jibam 5. Untuk Kau dan Aku
NOVEL PALING BANYAK ULANG CETAK 1. Hanya Kerana Mimpi 2. Dan... Mimpi Pun Berguguran 3. Lamaran Kedua 4. Emosi 5. Tangisan Bulan Madu
___________ Catatan:
ARKIB NOOR SURAYA (2001 ~ 2006)
2001 Novel Cetakan Pertama Paling Laris ~ Keranamu Ain...
2002 Novel Terbaik 2002 ~ Tanah Andriyana (selepas Bukan Puteri Lindungan Bulan) Novel Ulang Cetak Paling Laris ~ Keranamu Ain... (selepas, Mahligai, Tangisan Bulan Madu, Kompilasi Yoyo, Pesanan Terakhir Seorang Lelaki) Penulis Paling Prolifik ~ Noor Suraya (selepas Noorhayati Ibrahim)
2004 Novel Terbaik 2004 ~ Rindunya Kian Membara
2006 Novel Terbaik 2006 ~ Nyanyian Tanjung Sepi
2007
1. Terima kasih daun keladi, kerana sudi membaca tulisan kaksu sejak 2001 2. Sudah lama kaksu tidak menulis novel baru, dan tahun 2007 terus berlari hampir ke penghujung garisan :O
Sisipan cerita-cerita ini, disemai dalam KEBUN MIMPI
Bertunang sekadar berjanji untuk kahwin... telefon pun kadang-kadang 'bertunang' (engage) tetapi kadang-kadang tidak juga kita dapat bercakap dengan orang yang kita cuba hubungi tu.
Maksud kaksu? Tak ada lah... sekadar nak bercerita fasal majlis bertunang aja. Kaksu ada sepuluh beradik (dah berapa kali nak cerita nih)... 5 daripadanya perempuan. Kaksu, Laili, Min, Aqmar dan Eida. Minggu lalu kaksu pulang seminggu ke kampung, dan Sabtu kelmarin majlis bertunang Eida berlangsung.
Rupa-rupanya masa sudah betul-betul berubah. Budaya dari luar sudah menular ke tradisi keluarga kaksu Si Orang Kedah ni. Majlisnya siap ada hantaran, seperti kebiasaan orang Perak yang kaya dengan adat. Dulu semasa kawan baik kaksu, Kak Yati (sama-sama belajar di USM) bertunang, kaksu pun jadi hairan (1989?) melihat hantaran majlis bertunang seperti majlis kahwin, dan siap juga dengan duit hantaran (separuh?). Menurut Kak Yati, kalau majlis perkahwinan tak jadi... semuanya kira hangus untuk sebelah perempuan... ooo begitu!
Sabtu semalam, pihak lelaki memberi lima bekas, dan kita membalas sembilan bekas.... Sepatutnya, tujuh sahaja... dan biasanya, orang memang guna nombor-nombor ganjil... tapi kata orang tua-tua, tujuh tu tabo... la, pulak dah. Jadi kita adik-beradik menambah biskut 'tunjuk-tunjuk' saja untuk menjadikannya, sembilan bekas. Lucunya.... alamak, hutang beli biskut kaksu tak bayar lagi pada adik ipar kaksu, Si Fizah... mesti segera sms nih.
17 Ogos
Dari Bangi ke Sungai Petani
Dua hari sebelum tu, abah kaksu masuk hospital. Tetapi abang kaksu kata, tak ada apa, monthly check-up sahaja dan kebetulan doktor tahan untuk semalaman untuk pemerhatian penuh. Hati dah berdebar, nak balik segera masih ada kerja yang tak beres... Dari awal pelannya memang nak balik Jumaat tu.
Hari Khamis pula, sudah janji nak jumpa Cik Bunga dari Indonesia... dengan anim, shema dan em, sambil makan sate kat Kajang. Abang kaksu kata, okey... tak ada apa. Tak payah nak kalam kabut balik. Dan adik kaksu Min (di Melaka), nak tumpang kaksu balik juga Jumaat (atau kalau kaksu balik lebih awal)... sebab dia rasa tak sedap hati fasal abah... walaupun abah kaksu dah keluar hospital, keesokannya harinya. Dia masih nak ikut kita orang balik.
TAPI kaksu dah syak wasangka, dia memang nak balik awal ke kampung... sebab suaminya hanya akan balik sehari sebelum majlis tunang Eida. Jadi dia ambil kesempatan la tu, untuk balik awal dengan kaksu. Teruknya kaksu ni... tapi betul ke, Min... firasat kak nih?
Jadi perjalanan pulang bermula apabila Min dan anak-anaknya, Nurin dan Nabil sampailah. Suaminya, hantar kat Bangi... dan kita orang breakfast kali kedua pagi itu untuk menemani mereka. Mujurlah tak panas sangat perjalanan hari tu, sebab kereta kaksu yang kodi tu... penghawa dinginnya, memang suka buat hal. Mujurlah budak-budak dua orang tu baik aja, tak kompelin apa-apa fasal kereta tu.
Kakak Nurin pula, asyik menyanyi sahaja lagu patriotik sepanjang jalan sampai ibu dia marah, sebab bising. Tapi dia bagi tahu, "Bude' yang suruh." Betullah tu, kaksu suruh sekali sahaja... yang dia menyanyi sepanjang jalan tu... bukannya kaksu yang suruh. Tapi okeylah... paman driver jadi tak mengantuk mendengar sebutan dia yang masih amatur serta lucu tu... membuat kita tergelak-gelak.
18 Ogos
Ke Georgetown
Sepatutnya kaksu ada kelas khas (mengajar) 9 – 12 tengah hari, dan 2 – 5 petang. Tapi kelas pagi batal... jadi kaksu duduk aja dalam opis orang. Petang baru ada kelas. Dah lama tak mengajar, satu lecture hall 90 pelajar lebih. Hmmm, rasanya... kaksu lebih seronok kerja dari rumah. Dan malam-malam ada meeting baju kelawar dengan kak em.Macam dah betul-betul tak ada hati nak mengajar kembali. Namun, bila dah ada tanggungjawab... kaksu mengajar betul-betul aja tiga jam tu....
19 Ogos - 21 Ogos
Urusan Seri Paduka Baginda
Kaksu dah janji nak hantar bacaan pruf, hari Selasa. Jadi dok pulun baca saja. Sesekali Si Kecil Nabil, mengganggu... mengharapkan orang main-main dengan dia. Nurin dan Deena asyik, nak suruh bercerita. Mujurlah sepupu mereka Kak Hajar (8 tahun) datang tolong main-main juga.
Kaksu tak tolong apa-apa pun di rumah. Adik-adik kaksu yang kemaskan rumah untuk majlis bertunang tu. Kononnya kaksu ni sibuk sangat dengan kerja 'opis'... sukanya jadi kakak ni... kita boleh jadi baginda ratu sahaja di rumah. Dan mereka sangat mengerti... kakak mereka kan 'karier woman' kononnya ahaks. Tapi kaksu janji nak bawa anak Min, Si Nurin dan Deena (anak adik kaksu, Boy) pi mini zoo hari Rabu. Budak-budak tu sudah menghitung hari.
Selepas kurier 'urusan seri paduka baginda' tu... kaksu terus ke Penang. Kaksu ada lunch date dengan Selina dan Bui Bui. Kawan kaksu yang dua lagi Ewen (bos kaksu dulu) dan Jasmine... tak dapat tumpang sekaki, sebabnya... big bos dari KL turun ke Penang. Kita bertiga makan-makan, sambil gosip-gosip. Bincang fasal master lah dan Phd. lah.... Dan Selina kata dia dah tired nak sambung buat Phd... dia jadi kesian pada anak-anak dia yang menjadi mangsa... dia mengejar cita-cita. Uwaaaaa, kaksu baru nak ambil semangat dia nak sambung buat Phd. dan Kak Em dan housemate dah dok beri semangat... pun. Sekarang kaksu baru dok merancang nak buat bidang apa sahaja... uwaaaa.
22 Ogos
Melawat Taman Jubli Perak a.k.a Zoo Bude'
Deena pagi lagi dah bangun, dia memang suka sangat tengok binatang-binatang. Dari rumah adik kaksu (Boy), kita pergi makan roti canai dulu. Hari tu masa datang ke Bangi... Deena dah kompelin: kuah roti canai kat Bangi tak sedap macam di Sungai Petani. Amboih, budak lima tahun tu bukan main. Padanlah dia kurus kering melidi; memilih makan. Katanya, dia takut jadi gemuk... sebab nanti 'meletup'...
Pergi ambil Nurin dan Hajar (anak adik kaksu, Laili). Adik Nabil tak jadi pergi sebab dah selesema. Mujurlah adik kaksu Si Art pun nak ikut. Selain tu, Eida nak tumpang ke pasar raya... beli barang-barang bertunang dia la. Leganya, ada dua pemerhati kepada ketiga-tiga sepupu yang nakal tu.
Sampai di sana sebab tak ada sayur-sayuran... kita beri rusa makan kek permaisuri, yang kaksu bawa bekal... jika Si Nurin yang tembam tu kelaparan.
Balik dari zoo, singgah di SP Plaza... budak-budak tu nak main, permainan di pasar raya... tu. Teringat dekat wan tiba-tiba ahaks. Yalah, mana lah seronoknya main kuda kayu lah, motor lah... kapal angkasa lah... yang berputar-putar di tempat yang sama.
23 Ogos
Buat Capati Kononnya
Kononnya nak buat capati untuk tahlil... last minute, jamu roti gardenia sahaja.... Laili, adik kaksu datang dengan sekendi besar teh tariknya yang terkenal... malangnya, untuk pertama kali semua orang jadi waswas nak minum sebab... teh tariknya warna carrot susu... teh yang dibelinya ada pewarna...
24 Ogos
Majlis bertunang
Sebelah malamnya, geng lelaki suku sakat kaksu pergi main futsal... Gen1 vs Gen2... dan esoknya, semuanya sakit badan, sebab lama tak main. Cerita fasal futsal berulang-ulang untuk sehari dua ni, dan tiba-tiba... mereka nak jadikan acara keluarga setiap kali ada perjumpaan.
25 Ogos
Maraton
Hari ni kaksu ada kelas di KDU sekali lagi, kelas yang batal hari tu diganti pada hari ini juga. Kelas mula jam 8 – 2 petang, untuk subjek yang sama. Lepas tu 2 – 5 petang lagi. Sembilan jam kelas...
Balik dari Penang, singgah rumah mak su ti di Kuala Kangsar, makan malam yang sedap. Pukul sepuluh lebih, dah bertolak balik.
Home Sweet Home....uwaaa kerja menambun menunggu.
_____________________
Anekdot:
Malam ni, Nisfu Syaaban... dan... sejak Maghrib 15 Syaaban, enam tahun yang lalu... sudah enam tahun emak pergi... Al-Fatihah.
Kaksu masih ingat lagi, pertama kali abah beli TV- hitam putih. Semasa itu, TV tu bukannya jenis terbuka macam ni. Dia ada pintu. Pintu dua, mahal sikit dan saiznya 24 inci kot. Abah beli jenis kecil sikit, pintunya satu... apabila kita buka... pintu itu akan tersimpan di belakang, macam kita buka sliding door la, tapi tak nampak. Tapi... beberapa belas tahun kemudiannya kaksu lihat TV pintu dua macam tu orang jadikan akuarium pula. Sementara TV jenis satu pintu jarang dijumpai lagi.
Pada waktu tu semua acara TV mestilah kita tonton.Dari iklan sehinggalah tayangan larut malam. Kecualilah kalau cerita tu, abah atau emak pantau tak bagus (tak ada nilai), barulah TV ditutup. Tapi cerita-cerita zaman dulu, kaksu rasa RTM jaga 'adab' nya bukannya, macam sekarang ni. Kaksu rasa, cerita yang selamat ditonton sekarang ni hanyalah National Geographic dan Discovery Channel kot?
Waktu keluarga kaksu mula memiliki TV, tahun tu 1971 kalau tak salah. Rancangannya mula pukul berapa tak tau, tetapi petang lah. Sebelum rancangan bermula, ada dulu:
semut lawan (tu pun melangut)
lepas tu ada bunyi yang tuuuuun sahaja (tu pun tengok)
kemudian ada lagu-lagu sikit (ini maknanya tak lama lagi lah... tv nak mula)
kemudian adanya Negaraku, ada susunan rancangan (ada perempuan yang baca inti sari rancangan tu...)
Tapi ketika tu, ada rancangan yang tiada nilai murni kita tonton beramai-ramai dengan alasan ni ialah 'teka matematik'...
Rancangannya Cabutan TOTO (Tipu Orang Tak Ada Otak)...
Ada perempuan yang kerjanya pusing-pusing satu rangka ala-ala orang buat ais kacang. Dalam tu ada nombor. Nombor-nombor tu disimpan dalam bola sebesar bola ping pong sahaja. Lepas tu dia akan umumkan nombor-nombor. Dan kita kat luar TV mulalah meneka nombor...
Nombor tu, sebenarnya keputusan nombor ekor untuk minggu tu. Punyalah melangut dalam jahil masa tu. Astaghfirullah.
Iklan-Iklan
Banyak iklan yang syok-syok juga walaupun tak ada sentuhan warna. Apatah lagi, dengan teknik yang mencabar minda. Ketika tu, menonton iklan yang berulang bukannya benda yang membosankan. Semuanya asyik sahaja.
Ada tiga empat iklan yang melekat di hati, tetapi kaksu hanya teringat dua pada saat ini. Satunya iklan sabun serbuk pencuci DRIVE. Warnanya kotak sabun basuh tu kuning dan biru. Emak kaksu beli jenis lain. Kaksu selalu suruh emak beli jenis tu, sebab dalam iklan kata... dalam kotak tu ada 'kartun berbentukeyang pakai sepek hitam, tolong basuh kekotoran pada kain basuhan. Suspensnya. Rasanya emak pakai FAB ke Breeze entahlah. Iklan tu dia akhiri dengan 'binatang' pencuci warna eni duduk berderet di atas ampaian baju... dengan bangganya. Sebab sudah membasuh baju-baju dengan sukses. Suatu hari emak beli juga, kaksu cari 'binatang' tu dalam kotak sabun. Uwaaaaa... awang kenit bersepek itam tu tak dak pun.
Iklan kedua ialah susu cap junjung... kaksu suka lagu dia, cerita betapa ayah budak perempuan nih, akhir sekali membawa anaknya yang terlena di ruang tamu ke atas, pada waktu malam. Penyayangnya ayah dia... dan lagu budak tu semasa minum susu tu ialah:
Lekas lah besar
Anak ku sayang
Minumlah susu Cap Junjung....
Padahal, pada ketika tu tak terfikir pun susu pekat manis tidak sesuai untuk kanak-kanak pun. Ah, iklan.
Kemudian susu cap itu juga membuat susu pekat manis berperis macam-macam buah-buahan: oren, pisang, anggur... apa lagi lah. Dan kita boleh gigit sikit di hujung kertas bujur tu dan hisap macam tu sahaja. Manis dan sedap. Kaksu juga suka iklan tu sebab, pelakon-pelakon kanak-kanak dia serupa macam anak-anak pengurus FELDA sebelah rumah kaksu sahaja: Kak Yong, Kak Gie, Kak Ann. Adik lelaki dia, Bujang tu... sekolah sama kaksu di Methodist. Mereka ada adik kecil nama Salwa. Kaksu selalu berharap dapat jumpa kakak-kakak yang baik ni suatu waktu nanti.
Cerita Cowboy
Adik nombor lima kaksu (Boy)... bapa Deena (sang kancil kaksu), satu-satunya anak emak yang lahir di luar negeri Kedah. Dia lahir di rumah, Sungai Behrang. Dia lahir awal sehari daripada tarikh hari lahir (tahun tak sama la) Tunku Abdul Rahman (Bapa Kemerdekaan). Boy lahir di rumah pada subuh 7.2.72... comelnya tarikh lahir dia. Boy ni kebanggaan abah, sebab dia unik. Kami nyaris-nyaris sahaja kehilangannya sebab dia sakit teruk semasa bayi. Boy kena sawan... dan apabila dibawa ke Hospital Tanjung Malim, dia dah hanya tinggal nadi sahaja: jantung sudah berhenti bendenyut.
Walaupun masih baby, doktor sudah ambil air tulang belakang Boy. Sedihnya masa tu. Sebab doktor kata, ada impak sekiranya diambil air tulang belakang. Syukurlah Boy sihat dan nakal juga... dan kini ramalan kecacatan tu tak benar, sebab Boy bekerja sebagai peguam. Dan dia gemuk-gemuk sahaja, sehingga Deena berbisik pada kaksu, "bapa tu tak cantik sebab suka pakai baju hitam putih dan gemuk." Kononnya dia berkonspirasi rahsia dengan kaksu lah.
Opsss, cerita Boy pula. Kaksu cuma nak cakap kenapa adik kaksu ni kita panggil Boy, bukannya nama sebenar... kerana pada malam emak nak lahirkan dia... emak tengok cerita cowboy sampai tengah malam... jadi kita adik kaksu ni nickname dia Boy ahaks. Dan tok selalu marah sebab panggil Boy dengan nama macam tu: macam orang putih! Apabila dia masuk asrama, rupa-rupanya ramainya kawan-kawan dia yang diberi nama Boy. Bila kita bercakap nak address kawan dia... kita akan tambah apa-apa Boy kan belakang tu lagi.
Gambar Melayu
Malam Sabtu (Hari Jumaat) adalah hari yang ditunggu-tunggu sebab ada gambar Melayu. Dulu-dulu bukannya senang nak lihat cerita P. Ramlee yang diulang sebulan beberapa kali, atau di saluran yang mana-mana. RTM 1 menyelang-nyeli dengan gambar Indonesia juga (selang seminggu... ada cerita Benjamin S pun). Filem ni, akan berhenti sekejap untuk saluran berita. Uwaaaa... mengantuknya, nak tunggu sambungannya.
Kalau malam ada gambar Melayu, biasanya... peneroka Felda yang duduk di rumah bawah akan datang ke rumah kita. Mak Lang akan datang dengan anak-anaknya. Anak dia yang sorang tu macam semipro seket, tapi kaksu suka sangat dekat dia... dia baik sangat (kita selalu aja panggil dia 'kak' Ein... nama lelaki dia tak tau... Rahim kot). Mak Lang tu ada anak yang sebaya dengan kaksu tetapi, dia sekolah di dalam Felda tu. Lagaknya, dulu tu... kita-kita geng anak-anak pegawai mesti studi di Tanjung Malim: kononnya, sistem pendidikan di Methodist School lebih baik. Kononlah tu.
Di bawah 'kak' Ein, ada anak-anak yang lain ('kak' Ein, bukannya anak sulung dia ada abang dan kakak-kakak pun). Anaknya yang sorang tu, nama Hasan (macam cerita Sarjan Hassan, Anakku Sazali... P. Ramlee sahaja). Abang kaksu, suka usik kaksu dengan Chan tu (Hassan). Masa tu walaupun kaksu pun hitam legam sabar panas, tapi... amboi kalau kena gu dan kena acan dengan budak hitam legam uwaaa mesti menangis punya. Geram sungguh.
Setiap malam Sabtu, kaksu mesti kena ejek... kadang-kadang abang kaksu akan menyanyi lagu Portugis apa tak tau... Can Mali Can... sebagai bahan untuk mengusik. Kaksu ntak suka dekat Chan. Masa tu, cewah... terasa macam cerita antara dua darjat... lah, tetapi bukannya kerana abah kaksu staf mereka peneroka... tetapi sebab dasar aparteid. Huh, kalau main permainan kampung kaksu malasnya nak sepasukan dengan budak ni: dan abang kaksu setiap hari suka mengejek. Kalau ejek dengan Bujang anak pengurus di sebelah rumah, tak ada lah air mata kaksu menderu sangat kot!
'Kak' Ein, Chan dan adik kecil mereka, Pak Ya (ada ke budak nama macam ni?)... akan datang berselubung dengan kain pelekat ('kak' Ein, kain batik lah, sesekali Chan dan Pak Ya pun sesat pakai kain batik juga)... jadi kalau cerita hantu mereka akan bersembunyi dalam kain tu la. Kalau mengantuk mereka tidur sekejap dalam kain tu... kalau hujan mereka selubung macam tu la (masa datang dan balik menonton TV).
Mak Lang dan Mak Bibi yang baik sentiasa dalam kenangan kaksu. Mak Bibi tu pengasuh Boy, semasa kecil Boy dijaga di rumah waktu siang sehinggalah satu hari Mak Bibi kata dia tak dapat jaga Boy lagi, sebab Boy 'buas'... Boy suka giling cabai, kalau Mak Bibi giling cabai juga... takut jadi apa-apa.
Semasa kaksu ditugaskan mengundang perkahwinan Boydulu, kaksu ke Felda Sungai Behrang juga. Itulah pertama kali kaksu jumpa Mak Bibi, selepas tiga dekad waktu, kaksu tak lupa wajahnya yang ala-ala Toh Puan Rahah (isteri Allahyarham Tun Abdul Razak). Tapi dia tak cam kaksu dah... kaksu sudah bertukar menjadi ikan paus biru yang comel kan? Tapi bila sebut Boy, mata dia sayu juga... dan gembira sahaja. Mak Lang tak ada pula masa tu, dia ke KL.
Ah, banyaknya kenangan suatu waktu itu.... kaksu dah menceceh banyak sangat.