Rumah Kecil Tiang Seribu
usah merinjis awan dalam renyai yang merintik... usah menginai gelap malam dengan ungu warna pelangi





TANAH ANDRIYANA (2002) diterbitkan oleh CESB



Sebahagian dari cerita-cerita leluhur mereka Raden Andriyana - Ahmad Fitri diungkap semula pabila Aliya, terserempak semula secara tidak sengaja dengan saudara pupunya, Fitri Hadi... dalam suasana penuh dendam, curiga dan benci. Setelah berpuluh tahun berlalu, kenapa persengketaan keluarga ini tidak pernah luak?
Mungkinkah sejarah sedih bisa berulang ataupun cinta sebenarnya seindah pelangi yang terpamer selepas hujan



GURINDAM JIWA: HATI ANDRIYANA (2007) diterbitkan oleh Jemari Seni Publishing



Tetamu
ke



Rumah Kecil Tiang Seribu
sejak 18 Mei 2004



   

<< April 2017 >>
Sun Mon Tue Wed Thu Fri Sat
 01
02 03 04 05 06 07 08
09 10 11 12 13 14 15
16 17 18 19 20 21 22
23 24 25 26 27 28 29
30

E-Novel
NYANYIAN TANJUNG SEPI (2005)

Oleh: Noor Suraya


NYANYIAN TANJUNG SEPI (2006) diterbitkan oleh CESB



Dang Bersaudara
[Amai][Anis][Ayang][Inoi][Jijah][Kalas][Sari][Nila]


Tukang Ulas Novel
antubuku
novelcintamelayu
perca
seribu satu malam
ANTOLOGI CERPEN
Buat Menyapu si Ayer Mata


SURAT UNGU UNTUK NUHA (2007) diterbitkan oleh JEMARI SENI




"Nuha, benarkah tidak semua ombak akan menemui pantai?

KERANAMU AIN... (2001) diterbitkan oleh CESB


"Bagaimana aku nak berkahwin dengan orang yang aku tidak cintai, Ain? Fahamilah aku, Ain, jika mencintaimu membawa hukuman mati... aku sudah lama mati."
[Nik Ahmad Adam]




BIRU UNGU CINTA (2003) diterbitkan oleh CESB



"Seandainya terus mencintai Seera adalah suatu dosa... ampunilah keterlanjuranku itu, Tuhan. Sekiranya tak dapat mengasihani Dayang itu suatu kesalahan... ampunilah ketidakupayaanku itu, Tuhan."
[Abdul Fattah]


RINDUNYA KIAN MEMBARA (2004) diterbitkan oleh CESB



"Pabila berkata tentang cinta,
angin pun seakan-akan lupa melepaskan dinginnya; mentari seolah-olah cuba menyembunyikan pijarnya; bulan pula jadi malu-malu untuk mengintai bintang-bintang; angin silir jadi berhenti mendesir; dan kita?
Kita... bagaikan tidak teringin jadi dewasa...."
[Dr Farhana Haji Abu Bakar]



If you want to be updated on this weblog Enter your email here:



rss feed



 
Friday, June 06, 2014
Cadangan -- untuk Anjung Makcik Raja

Assalamualaikum,

Lagi 22 hari nak puasa, terasa sayu sangat. Setiap kali bulan puasa datang, kaksu selalu teringat pada yang telah pergi. Betapa seronoknya berpuasa waktu dulu-dulu. Terkenang zaman kanak-kanak, zaman remaja, sewaktu mereka yang kita sayang masih ada.

Kaksu ingin bercerita fasal dulu-dulu, dengan menulis cerita dari Anjung Makcik Raja ni... mungkin tahun ini kita guna judul yang sama --> Suatu Hari di Bulan Puasa :)

Ini kaksu senaraikan buku-buku kaksu (ada dua yang sedang tulis) dan sesiapa ada cadangan boleh la beritahu kaksu nak tulis fasal siapa dalam cerita tu. Ceritanya tentulah tentang bulan puasa dan raya la. Harap-harap tahun ini kaksu rajin la, jangan hangat-hangat tahi ayam saja.

Contoh:
Panggil Aku Dahlia --> Nak cerita fasal Wadi-Dahlia lepas mereka berkahwin

Semak di SINI

Rumah

Siapa

Daripada Cerita Apa?

Cadangan

1

 

Keranamu Ain...


2

 

Tanah Andriyana

 

3

 

Biru Ungu Cinta

 

4

 

Rindunya Kian Membara

 

5

 

Nyanyian Tanjung Sepi

 

6

 

Surat Ungu untuk Nuha

 

8

 

Jaja & Din

 

9

 

Hati Andriyana

 

10

 

Kebun Mimpi... Ain

 

11

 

Rumah Kecil  di Ujung Padang

 

12

 

Yang Jauh di Pulau

 

13

 

Langsir Biji Remia

 

14

 

Gadisku, Wan Adnin

 

15

 

Cintaku Luruh di Oxford

 

16

 

Kekasih Waktu

 

17

 

Roos dari Negri van Oranje

 


Posted at 05:08 pm by noorsuraya
Comments (14)  

 
Sunday, September 23, 2012
Mandi Bunga?
 

... ~ bunga mandi dgn air yg dicampurkan dgn pelbagai jenis bunga dan dijampi, yg dipercayai dapat mengubati sesuatu penyakit atau dapat menolong anak dara... mendapat jodohnya; -- Dipetik daripada Kamus Dewan (Edisi Empat)

 

Assalamualaikum...

Sekadar nak berkongsi cerita la ni, tanpa ada niat apa-apa, yau. Untuk suka-suka sahaja. Kebetulan teringat fasal hal ini. Mungkin masa sumbang saran untuk tagline cerita Aimi Shahbana ('Alang Rebus Tak Empuk'), kaksu cadangkan tulislah tagline --> Patutnya aku mandi bunga!...

Sewaktu adik kaksu Laili berkahwin, masa tu kaksu sudah di tahun dua, di USM. Semua orang sudah risaulah takut kaksu tak ada jodoh. Kan, si adik dah langkah bendul tu. Padahal, kaksu ni, tuan punya diri, okey sahaja. Ada atau tak ada siapa-siapa, kaksu okey sahaja.

Lagipun, kalau kaksu suka pada sesiapapun, kaksu akan letakkan kod dan padam terus daripada minda. Pandai kan, kaksu selesaikan masalah hati waktu itu; jadi, itulah yang kaksu ajar Wan Adnin buat dan sangat sukses.

Dia memilih untuk mendengar nasihat neneknya: jangan pilih Akhtar. Dan selepas ini dia akan bagi kod pada Akhtar sebagai Encik AA.

Lucu kan?

Haah, ala-ala plat kereta Negeri Perak la pula ni!

Tetapi...

Ada tak hatinya untuk Akhtar?

Dia memilih untuk tidak menjawab soalan hati. Sebab dia sudah membuat keputusan. Dia ingin melupakan Encik AA sebagaimana dia cuba memadamkan ingatannya pada Cikgu AB. ~ [Sumber: Gadisku, Wan Adnin: 170]                                                       

Jadi macam-macam caralah juga orang usahakan. Satunya, cuba atur pertunangan dengan saudara jauh keluarga kita orang. Walaupun masa tu kaksu rasa terkilan dan sedih sangat, sebab rasa tak ada siapa faham hati kecil kaksu ini.

Tapi...

Rupa-rupanya, peristiwa itu membantu kaksu bercerita dalam Nyanyian Tanjung Sepi dengan baik. Cuma kaksu bukannya taat macam Lida, kaksu ni berani la juga kata 'tidak' pada 'kahwin paksa'. Hihihi, kalau tak tentu banyaklah cerita kaksu fasal kahwin paksa saja. Mujur, yang menjadi mangsanya cuma Seera dalam Biru Ungu Cinta, dan Lida dalam Nyanyian Tanjung Sepi. Dan kisah mereka sama-sama tidak berakhir dengan kegembiraan kan.

Sungguhlah kaksu kejam, kan?

Berbalik pada cerita mandi bunga ni...

Suatu hari, kaksu diminta untuk menghadiri majlis perkahwinan sepupu kaksu (sebelah abah) di Alor Setar. Jadi kaksu pun pergilah dari USM, lepas kelas. Kakak ini, sepupu yang kaksu rapat jugalah suatu waktu dahulu. Kalau tak salah, waktu itu kaksu di semester akhir, tahun dua kut.

Sesampai sahaja di rumahnya, emak saudara kaksu sudah pesan. Tak payah mandi di bilik air bawah, mandi guna bilik atas sahaja. Seronok la kaksu, sebab bila kenduri-kendera ini orang ramai, malas nak berebut bilik air bawah. Lagipun emak saudara kaksu ini, anak lelakinya ramai.


       (ini contoh guri - sumber:
       lakaran pelukis untuk kulit buku di atas)

Masuk saja dalam bilik air, seronoknya. Harum sangat. Ada bunga berwarna-warni dalam guri (tempayan besar tempat isi air). Air pun sejuk sangat. Kaksu pun syoklah bermandi-manda, terasa macam duk di Kashmir pun ada.

Lepas tu, kaksu pun tolong la adik kepada kakak sepupu kaksu tu mengemas di atas rumah dan lain-lain. Persiapan untuk majlis akad nikah kakak dia, esoknya.

Tiba-tiba emak dia berkata, (lebih kurang): "Tu la, mak **** buat ayark mandi bunga, bagi anak-anak penakan mandi. Uya dah mandi?"

Mandi bunga ke tu?

Uwaaaa, kaksu tak nak percaya padabenda bukan-bukan macam tu. Tak baik. Kaksu tak bersalah tau. Jodoh kita mohon daripada Allah bukan mandi bunga.

Tapi... sekadar nak bercerita la, lepas tu apa yang terjadi:

Ada budak Kelantan, Perlis, Kedah -- dan ada la 2, 3, 4, orang duk letak hati perasan semua ada. Itu tak masuk yang duk jeling-jeling, pandang-pandang. Kalau kita ni jenis segak lawa tak pa, munasabah la juga, Ni tiba-tiba ada pula peminat seluruh Negeri-Negeri Melayu Tak Bersekutu pula :p.

Fuh, dugaan kan?

Sebab kita benar-benar kena jaga hati ini supaya tak keluar ayat, 'Sebab aku mandi bungakah?' Nauzubillah.

Jadi moral of the story:
        Jodoh tu Allah dah tulis, jangan risau-risau. Soksahlah duk mandi bunga ke, gula ke, coklat (yang manis) ke, rempah ke, tau!

 _________

Ps: Malas nak bercerita fasal kes hampir mandi bunga untuk kali kedua. Mujur kali ini sedar awal. Inche Housmate, saya bercerita ini untuk pengajaran tanpa sebarang niat ya :) 


Posted at 10:43 pm by noorsuraya
Comments (13)  

 
Sunday, August 12, 2012
[8] Suatu Hari di Bulan Puasa...


23 Ramadan: Langkawi

Tanah Andriyana

MENDONGAK ke langit dan melihat betapa cantiknya langit malam ini walau tanpa dihiasi bintang-bintang membuat hati Aliya berasa sedikit berdebar-debar. Subhanallah. Lailatulqadar ke?

Aliya, mencari Malam Seribu Bulan bukannya cukup dengan lihat langit dan beribadat pada malam itu sahaja. Begitulah ayah menasihatinya suatu waktu dulu. Waktu dia kecil-kecil dan nakal; waktu dia malas ke tarawih kerana merajuk dengan ayah!

Kini walau sudah berkahwin, rasa ingin 'menyiasat' langit setiap malam pada sepuluh malam terakhir Ramadan masih tidak berubah. Hadi mungkin tidak sedar akan perangainya itu. Sebab Hadi tahu, sejak dulu pun, Aliya suka memandang langit bulan, bintang dan matahari.

Sebenarnya, bukan apa, kalau ada ciri-ciri Malam Seribu Bulan tu, Aliya ingin beribadat lebih sedikit. Teruknya Aliya ni! Agaknya, kerana itulah dia selalu sahaja terlepas malam itu. Ada sahaja yang menjadi penghalangnya. Sakit perutlah, tidur awallah, terlena dan tak sedarlah, malas pergi tarawihlah sebab Si Natrah cutilah. Seribu satu alasan! Sebab niatnya tak kena. Dia bagai 'berjual-beli' dengan Dia. 'Tunjukkan aku malam itu, aku akan beribadat pada-Mu'. Teruk kan? Perangai Aliya memang sangat teruk.

Astaghfirullah al-Azim. Moga-moga Allah mengampuni dosa-dosanya yang terdahulu dan yang terkini; yang terang dan yang tersembunyi; dan yang sengaja dan tak sengaja. Hati Aliya jadi sebak tiba-tiba, begitu Allah memberi nikmat yang banyak padanya, ibadatnya yang sunat-sunat tu sedikit sangat dia dirikan.     

Aliya dan Hadi berjalan perlahan melintasi rumah-rumah lain melangkah ke kawasan agak jauh tersorok -- ke banglo pemberian keluarga mereka. Banglo reka bentuk rumah Melayu yang cantik itu, di belakangnya ada telaga telaga cinta mereka.

Malam-malam bulan puasa begini, Aliya-Hadi lebih senang berjalan kaki ke surau untuk solat. Selain dapat menurunkan rasa segah di perut lepas berbuka dan makan moreh tadi, mereka juga ada masa untuk berbual-bual - bersendirian.

Isy, isy, isy... macamlah banyak sangat rahsia!

Mestilah. Sebabnya, kalau di rumah mereka sekarang ini sudah adanya si kecil yang memerlukan perhatian, sukarnya untuk berdua-duaan lagi. Apatah lagi, abah dan mama Hadi ada, jadi dengan berjalan-jalan beginilah Aliya-Hadi ada masa untuk bertukar-tukar cinta; kononnya la.

Orang tua Hadi: kini menumpang tinggal di sini sementara rumah mereka dibaiki. Tidak semena-mena sebelum puasa baru ini, ada pokok nyiur menghempas anjung depan dan bilik mereka. Apabila Hadi mempelawa mama tinggal di sini sementara rumah mereka dibaiki, mama dan abah terus setuju. Sejak itulah Aliya jadi perempuan paling rajin dan sopan santun di rumah terutamanya depan mertuanya. Hadi pun sudah memuji-muji dan ingin mencalonkan Aliya sebagai menantu mithali tahun ini. Kata Hadi, kalau calon peringkat dunia pun, Aliya layak!

Mengada-ada Hadi ni, suka sangat mengusik Aliya sesuka hati. Sekarang ini Aliya jadi bimbang kalau-kalau rumah abah dan mama tidak sempat siap untuk raya. Kata abah, alang-alang untuk baiki, mereka ambil kesempatan untuk besarkan sedikit dekat ruang tamu. Tukang dari Siam dengan kuli-kulinya tu, mahu pula bekerja dalam bulan puasa.

Tapi...

Lalu kalau rumah mama dan abah tak sempat siap, semua ahli keluarga Hadi akan beraya di rumah Aliya-Hadi la. Uwaaa, sebenarnya Aliya sudah penat bersopan santun, dia ingin jadi Aliya yang dulu... kalau dia ingin melukis, dia tidak perlu mengemas dan mop rumah terlebih dahulu. Hanya Hadi yang faham tahap 'kemalasan'nya apabila datang bab melukis ni.

Kedua, dia nak masak apa, kalau ramai-ramai datang dan berhari raya di rumah ini. Ketupat dia tak pandai anyam. Kalau dia buat ketupat palas, semua ketupatnya jadi ketupat betina. Kalau dia buat nasi impit, berberai saja sebab dia tak reti nak sukat air. Rendang dan kuah kacang jangan tanyalah. Semua gagal, dapat gred 9!

Esok dia mesti diskus dengan Hadi fasal segala kemungkinan itu, dan pada siapa mereka harus memesan segala juadah hari raya. Kalau perlu 'culik' Mak Wan ke sini, dia mahu Hadi yang memainkan peranan utama. Sebab, Mak Wan sekarang hanya akan lemah dengan pujuk rayu Hadi sahaja. Opps, apa kata kalau culik Tok Chik Nah juga. Nenek tu pandai masak serba-serbi. Masakan barat-timur, utara-selatan, dia cekap semuanya.

Kini Aliya sudah boleh tersenyum dengan misinya... ya misi 'penculikan' ini penting untuknya!

Cengkerik pun tidak berbunyi, dan burung hantu pun diam... malam ini. Mereka berjalan tanpa berkata-kata sejak tadi. Aliya paling resah kalau Hadi diam begini. Kadang-kadang diam Hadi tu kerana dia marah pada Aliya. Cuma dia tak mahu bersuara sehingga marahnya hilang. Sejak jadi ayah, begitulah sikap Hadi. Aliya tak suka, kalau Hadi jadi begini.

"Waktu kecil-kecil dulu Aliya tak dibenarkan ayah ke masjid." Kata Aliya, tiba-tiba.

"Awat?" Hadi bertanya sepatah.

Aliya sudah senyum dalam samar-samar gelap malam.

"Sebab, ayah kata Aliya suka kacau orang solat, buat nakal atas masjid. Kata ayah, kalau di masjid tu dengar suara Aliya sahaja duk mengarah itu ini."

Ya, dulu-dulu dia suka jadi ketua budak kampung ini. Macam-macam mereka buat, dan yang paling manis tentunya 'mencuri' buah manggis di kebun keluarga Hadi. Tertangkap, dan itulah kali pertama dia bertemu dengan bakal 'suami'nya. Dan yang lebih peliknya, kata Hadi... itulah puncanya dia jatuh hati pada Aliya.

Mengarut kan, Hadi ni! Aliya waktu itu baru umur berapa, budak kecil lagi. Mana boleh jatuh hati pada budak kecik, kalau jatuh hati juga... orang panggil lelaki itu lelaki miang. Waktu Aliya kata begitu, Hadi sudah merah muka kerana malu. Kononnya, cinta tak mengenal usia.

Bencilah Hadi ni! Memalukan! 

"Percaya." Jawab Hadi sambil tersenyum.

"Heh, tak baik tau... setuju dengan ayah kata Aliya ni nakal!"

"Dari awal kenal Aliya pun, macam tu la Aliya. Nakal. Manja. Garang. Dan..."

"Dan apa? Malam ni, Aliya tak bangun masak sahur. Merajuk!"

Padahal mana berani Aliya hendak merajuk tak masak depan Dato' Bakhtiar dan Datin Suria. Biar mengantuk sampai tak boleh buka kelopak mata pun, untuk tidak bangun sediakan sahur untuk mertuanya itu tidak pernah ada dalam fikirannya. Biarpun sekarang kedua-dua orang tua Hadi sudah menerimanya, tetapi dia pernah kahwin tanpa restu mereka. Untuk itu, dia mesti pandai ambil hati.

Kerana itu juga, dia sentiasa ingat pesan ibu:

Biar macam mana pun, kena ingat mama dan abah Hadi tak sama dengan ayah dan ibu yang akan sayang pada Aliya biarpun Aliya suka buat perangai pelik-pelik. Hendak ambil hati mertua tak sama dengan ambil hati ibu ayah. Apatah lagi mertua Aliya tu ada ramai menantu lain, jadi Aliya kena pandai bawa diri. Biar jadi menantu kesayangan...

"... bukannya menantu, tapi hantu!" Ini pesan Mak Wan pula, ibu mana cakap pelik-pelik begitu!

Ya ibu, sebab itulah Aliya dengan susah payah duk berlakon jadi menantu baik dan rajin sampai tak ingat dunia. Tangga depan tu, pagi-pagi lagi Aliya berus sampai berkilat. Tapi Aliya penatlah ibu. Aliya penat berlakon gadis baik-baik ala-ala Kajol la, ala-ala Seniwati Sarimah la, ala-ala Angelina Jolie dalam filem tu.

Aliya hendak bermalas-malas dan melukis sahaja. Projek kad raya Aliya pun terbengkalai sejak ada 'duta' dalam rumah.

"Aliya..."

"Ya."  

"Abang, tak tidur malam ni, nak qiamullail... macam ada tanda-tanda Lailatulqadar. Amin." Kata Fitri Hadi. Dia memandang ke langit tanpa bulan dan bintang. Cuaca dingin, tetapi angin tak berhembus pun.

"Aliya mengusik saja. Nanti malam nak makan apa, untuk berjaga?"

"Kopi dengan roti patsagi dah cukup. Aliya tu, jangan sibuk-sibuk di dapur sebab rugi kita biarkan Malam Seribu Bulan berlalu tanpa amal."

"Tapi..."

"Malam ni abah dan mama tidur di hotel abah, sebab Abang Feisal sekeluarga turun Langkawi. Mama tak nak mereka semua datang ganggu kita, mama kasihan pada Aliya yang penat layan mama dan abah, apatah lagi kalau nak layan anak-anak Abang Feisal yang nakal-nakal tu. Tapi, buka puasa esok kita berbuka dengan mereka di restoran abah." Cepat saja Hadi menangkap apa yang ada dalam fikiran isterinya yang 'pemalas' dan suka 'berlakon' rajin tu. Hadi sudah tertawa dalam hati.

Dalam hati Aliya ingin menjerit: Yehaaaaa...

Bukan dia tak suka pada abah dan mama, bukan dia tak mahu melayan mereka. Tetapi, kurang-kurang esok dia tak perlu 'shooting' dan dapat berehat sekejap dan jadi Aliya yang sebenar pula! Tapi, kalau mama ada, dia ada 'pengasuh' pada si kecil, dan kalau tanpa 'pengasuh' itu... mungkinkah dia boleh bergembira?


Teruknya Aliya! Ia, ia, tahu... mama bukannya pengasuh. Tapi seorang ibu! Tapi kenapa susah hendak rasa ibu orang itu macam ibu kita sendiri? Uwaaaa.

"Aliya... malam ni qiamullail ya!"

"Insya-Allah." Ya, dia hamba yang banyak dosa yang tersembunyi dalam hati. ampunilah Aliya, Ya Allah!

----
Ps: rasanya ini siri akhir :) Sebab kaksu akan bergerak berhari raya ke Timur, dan di sana nanti tiada Internet. Terima kasih kerana sudi singgah di rumah kecil ini, Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir dan Batin.
  Opps, yang bawa tu nanti kaksu tambah kemudian, sebab baru ni blogdrive buat hal lagi.

Sayang: - kaksu -



Posted at 11:16 am by noorsuraya
Comments (10)  

 
Thursday, August 09, 2012
[7] Suatu Hari di Bulan Puasa...


'Under Constructions'

Suatu Hari di Bulan Puasa... [7]
        'Untold Story'

 mentari curahlah warna orenmu

"IMRAN ajak berbuka rumah adik dia esok, Durrah ikut ya."

Ungku Durrah memerhati Haiqal Haji Hambali dengan pelbagai rasa, dia sebenarnya tidak suka ikut Haiqal ke majlis-majlis rasmi Haiqal dengan alasan dia tak reti campur dengan kawan-kawan Haiqal yang pandai-pandai semuanya. Tapi Abang Imran ni, rakan perniagaan Haiqal. Malah pernah jadi rakan serumah Haiqal pula. Lalu, untuk menolak Durrah rasa tidak patut; tidak wajar!

Mata Durrah cepat saja beralih ke arah anak mereka di dalam buai... hmmm, hendak cari alasan apa?

 Hafa Haiqal sudah pun sembuh daripada selesema... jadi alasan apa yang dia harus beri lagi untuk menolak pelawaan Abang Imran yang baik tu? Ini sudah kali kedua, bukan?

"Ya ikut." Durrah mengalah, akhirnya.

"Abang ambil Durrah dan Hafa pukul lima ya, rumah adiknya dekat Sungai Buloh, dekat sahaja kalau ikut tol nanti."

"Nak bawa apa?" sambung Haiqal lagi, sambil menggantikan kemeja ofis dengan baju-T putih dengan seluar trek. 





Posted at 10:39 am by noorsuraya
Comments (2)  

 
Monday, August 06, 2012
[6]ii Suatu Hari di Bulan Puasa...


Antara padi jangan semantung,
      
Di situ sorak, abang tukarkan;

Antara hati dengan jantung,

     
Di situ adik, abang tinggalkan.


[2]

FARHANA sedang berkebun pagi Ahad itu apabila tiba-tiba loceng pagar rumahnya berbunyi. Di luar, seorang lelaki dengan Peugeot 406 hitam sedang berdiri tegak di pintu. Walaupun kulit lelaki itu agak coklat bekas sambar panas tetapi wajahnya disulami senyum yang manis. Di tangannya ada dua beg plastik penuh berisi beberapa buah buku yang tebal dan sederhana tebal.

         Farhana menghendap. Jurujual?

"Ya," kata Farhana setelah menjawab salam lelaki bersopan santun itu.

"Saya cari Dr. Farhana Abu Bakar." Katanya di luar pagar.

"Ya, saya."

Farhana belum berani membuka pintu pagar. Mana tahu, harap ke wajah kacak manis tapi sebenarnya pembunuh upahan ke, perompak ke... zaman sekarang ni bukan boleh kira. Farhana kemudiannya beristighfar dalam hati apabila lelaki itu berkata, "Saya Kamal, suami arwah Seera Ashiqin binti Ahmad Basheer."

Amboi, maklumat dia mengalahkan wartawan melaporkan beritalah pula. Sejurus itu, Farhana sudah boleh tersenyum senang.

Alhamdulillah, doanya sudah makbul dalam bulan puasa ini.

"Sekejap ya, saya buka pintu pagar."

Farhana cepat-cepat ke dalam, memberitahu Ilham yang dia ada tetamu. Ilham sekarang ni sensitif sikit, pagi semalam Farhana sudah ditegurnya kerana berdua-duaan dengan Imran di dapur. 'Tegur' dalam luahan 'buku komunikasi' mereka jilid yang ke berapa entah. Yalah, walau sudah bertahun jadi suami isteri, di dalam 'buku komunikasi' itu sahajalah mereka bercakap secara jujur dan berterus terang.

Pengecut!

Malas Farhana hendak membela diri, raya-raya nanti dia mintalah ampun kerana melukakan hati Sang Suami. Padahal kan... ada Najaah sedang tidur di sofa, siap ada lintas langsung solat tarawih dalam TV lagi � takkanlah Imran tu nak mengurat Farhana pula. Tak senonoh betul jalan fikiran Ilham sekarang ini!

Betul, Farhana tahu dia dengan Imran tetap ada batas hijabnya � mereka bukan muhrim. Tapi Imran tu duduk 'sebatu' jauhnya dari Farhana. Gunalah fikiran yang sihat sikit, Ilham! Awak tu doktor gigi bukannya tak berpelajaran!

Farhana menekan remote controller untuk membuka pagar kayu rumah tiga tingkat pemberian Imran untuk Ilham-Farhana sempena perkahwinan mereka dulu. Rumah itu semakin cantik dengan sentuhan gaya hias Farhana, lebih-lebih lagi pada kebun bunganya di laman depan ini.

"Masuklah." Jemput Farhana.

Muka Farhana sedikit berpeluh kerana sejak tadi dia sedang mengembur tanah untuk ditanam bunga melur yang baharu di tepi kamar membaca bawah -- ruang kerja Farhana. Dia suka bunga melur kerana bunga melur itu... bunga kesukaan arwah ibunya. Bunga melur mengingatkannya pada ibunya yang sangat menyayanginya.

"Saya minta maaf, baru sekarang ada masa hendak jumpa. Saya ke Fakulti dua minggu lalu, mereka kata Dr. Farhana sudah lama berhenti, dan saya minta alamat rumah Dr. ini pun tanpa izin. Minta maaf ya, sebab mengganggu sampai ke rumah pula ni." Kamal meletakkan dua buah beg plastik buku di atas meja, selepas dia habis berkata-kata dengan wajah bersalah.

"Ya, saya dah benarkan kerani di situ beri alamat saya pada sesiapapun. Jangan rasa bersalah."

Kamal sudah boleh tersenyum. Lega dia disambut baik oleh tuan rumah. Padanlah Seera sangat menyenangi penyelianya ini. Seera selalu bercerita yang baik-baik sahaja fasal Dr. Farhana apabila Kamal-Seera sudah masuk dalam 'zon damai' suatu waktu dahulu.

"Duduklah."

Ilham pula sudah melangkah masuk ke ruang tempat Farhana dan Kamal sedang berbual. Farhana menyambutnya dengan senyum lebar. Dia injak sedikit, memberi ruang pada Ilham untuk duduk di sebelahnya.

"Kenalkan, suami saya. Ilham."

Kedua-dua lelaki itu saling berjabat tangan � berdiri kaku; sebelum duduk.

Ilham tu kadang-kadang cemburu tak bertempat. Mengada-ngada! Macamlah isterinya itu segak jelita sangat sehinggakan siapa yang pandang terus jatuh hati pada Farhana saat itu juga. Sedarlah wahai Ilham, selain Imran dan Masri... tak mungkin ada lelaki yang mahukan perempuan yang tidak sempurna seperti Anah ni. Perempuan yang telah kehilangan 'identiti' keperempuanannya....

Lagi pula Ilham, Masri dan Imran tu sudah pun angkat bendera putih menyerah kalah, tidak akan memilih Anah, kan? Tetapi, yalah... kadang-kadang seronok juga ya kalau ada yang rasa kita ini penting dan berharga, cemburu kan tanda sayang...?

"Saya datang ni, fasal surat yang Dr. kirim dulu tu. Maaf sekali lagi, lama sungguh baru saya dapat ke mari." Kata Kamal.

Kesal.

Lambat sungguh dia pulangkan buku-buku ini. Rasa tidak kena pula kalau tidak pulang elok-elok pada tuannya, dan minta halalkan apa-apa yang Seera sudah buat atau pinjam pada penyelia disertasinya ini dulu.

"Ini saya pulangkan, buku-buku yang arwah pinjam. Ada lima semuanya. Saya minta maaf sekali lagi, sampai tiga kali surat Dr. saya terima, tapi saya masih berlengah nak jumpa. Saya juga minta maaf kalau ada apa yang Seera buat salah dan silap. Harap-harap arwah tidak berhutang apa-apa lagi." Seera sebelum 'pergi', dia sudah pun pesan suruh Kamal pulangkan buku-buku Dr. Farhana. Itu pun Kamal masih nak lengah-lengahkan. Katanya dia sayang sangat pada isterinya itu. Sedikit sangat permintaan Seera... itu pun dia bertagak-tagak.

Sebenarnya, Kamal tidak suka datang ke KL. Sebenarnya, Kamal tidak mahu jauh daripada Seeranya -- setiap kali solat waktu, dia mahu singgah dan ada di 'sisi' Seera. Dia suka menghidu harum mawar merah yang sudah mula berkembang lagi di pusara isterinya itu. Padanya, baca al-Fatihah mahupun surah Yasin dari jauh belum mencukupi.... 

Farhana memandang buku-buku di atas meja yang Kamal keluarkan dan pamerkan atas meja kopi. Buku-buku itu terjaga elok. Fasal itu, Kamal tidak risau. Dia jaga harta Dr. Farhana dengan baik.

Ilham pula sudah boleh tersenyum lega. Oh, bukan fasal apa-apa. Sejak akhir-akhir ini dia bimbang isterinya 'dilarikan' orang. Ini penyakit kronik Nombor 13, apabila seorang suami tidak tahu sama ada dia disayangi isterinya atau tidak, sebab isterinya berkahwin bukan atas dasar cinta! Farhana memilihnya dulu hanya kerana bersimpati pada anak-anaknya dengan arwah Dalilah sahaja.

 "Oh, tu la... tapi bukan fasal buku-buku yang Seera pinjam tu sebenarnya, kalau Kamal tak pulangkan pun saya halal dah. Sebab arwah dah tak ada."

Kamal jadi hairan dengan kata-kata wanita di depannya pada saat ini.

"Sebenarnya ada yang Seera tinggalkan, dan saya boleh pos pun... tapi apabila Kamal tak jawab surat dan balas telefon saya, saya ingatkan, Kamal sudah pindah."

"Mungkin nombor lama rasanya." Ya, dia tukar nombor baharu sebab Seera cemburu apabila dia diganggu oleh gadis-gadis peminat Kamal yang ada segudang jumlahnya itu, kononlah...

Farhana tersenyum.

"... dah lama saya simpan. Saya lebih suka beri sendiri... sebab ini amanah. Sayangnya, saya tak ada nombor atau alamat lain, kecuali kepunyaan Kamal." kata Farhana sambil mencari kunci untuk membuka almari kerjanya.

Meja dan ruang kerja Farhana menghadap ke arah kebunnya yang cantik itu. Di sinilah setiap pagi dia menulis dan membaca, kalau dia tidak memberi tenaga pada kumpulan kanak-kanak yang senasib dengan Nuha di rumah ini. Di sinilah setiap petang dan malam, anak-anak membuat kerja-kerja rumah. Farhana dan Ilham mengambil masa untuk membantu anak-anak belajar. Mereka tidak suka menghantar anak-anak ke kelas tuisyen seperti orang. Sambil mengajar, mereka belajar mendekati hati anak-anak juga.

"Oh."

"Dan, dia juga suruh saya pesan pada Kamal supaya sampaikan pada Affan dan Fattah. Katanya, mungkin tak ada siapa yang perasan fasal buku ini di kedai, jika dia sudah tidak ada nanti." Farhana mengeluarkan tiga buah buku � Unsur Linguistik pada Warna Budaya di Nusantara.

"Oh." Fattah?

"Buku ini, Seera tulis rentetan daripada disertasinya. Saya yang sunting semula, setelah terpilih untuk diterbitkan. Sangat menarik! Sayangnya, bukunya lambat terbit, dan sudah suratan... Seera pergi dahulu." Farhana berhenti sekejap, menahan sebak di dada.

"... semua royalti masih pada penerbit. Sudah bertahun, tak tahu saya banyak mana. Rasanya buku ini... tiada ulang cetak. Buku ini entah laku ke tidak... saya tidak pasti. Buku ilmiah di Malaysia ni, tak sama sifatnya macam novel yang sungguh laris. Err, tapi... insya-Allah nanti saya suruh penerbit hubungi Kamal sendiri, ya." Farhana menghabiskan ceritanya itu. Kenapa pula dia berleter fasal buku tak laku di depan Kamallah pula?

Farhana agak rapat juga dengan Seera berbanding pelajar seliaannya yang lain. Cuma Seera tidak pernah bercerita yang dia sudah berkahwin. Cuma Seera pernah e-mel untuk letakkan dedikasi pada buku yang mereka usahakan bersama itu pada saat-saat akhir manuskrip sedang disunting. Waktu itulah dia tahu Seera itu isteri orang. Yalah, muka dia agak polos dan agak remaja daripada usia sebenarnya.

Sebelumnya itu, Seera pernah bercerita fasal penyakit leukemianya. Dan Farhana juga bertukar cerita fasal sakit barah payudaranya juga. Tetapi dia tidak sangka Seera pergi selekas itu. Apabila Seera tidak hadir ke majlis pengijazahan dan dalam buku senarai graduan pula dicatatkan Seera tidak hadir � * (maksudnya, meninggal)... tahulah Farhana yang Seera sudah tidak ada.

Kini, Farhana sudah boleh tersenyum lega. Susah simpan amanah orang ni. Dia selalu berdoa untuk dapat jumpa suami arwah Seera ni, atau mana-mana ahli keluarga Seera untuk serahkan semuanya ini.

Hari ni segala yang terbeban, sudah pun pergi! Alhamdulillah.

Kamal mengambil ketiga-tiga buku berlatarkan warna ungu itu daripada Farhana. Dibukanya sebuah, dan di depannya tertera:

Putih melur untuk Dr. Farhana yang menyebarkan 'warna' dan 'harum' pada anak bangsa. Terima kasih kerana mencetuskan idea serta sudi jadi editor untuk buku ini. 

Warna hijau laut untuk abah dan emak, terima kasih kerana sentiasa sayang Seera dan didik Seera untuk menjadi seorang Muslimah.

Warna ungu duka untuk Affan dan Fattah, terima kasih kerana telah menjadi 'abang' dan 'sahabat' baik Seera selama ini.

Tujuh warna pelangi untuk Kak Kalthom, Waheeda, Ameer dan Auni: rebutlah hidup yang indah ini. 

Dan teristimewa,
Warna biru... untuk suami saya, Kamal Hanif Khusyairi yang memberi ruang dan waktu untuk saya. Terima kasih.

            Kamal sudah boleh tersenyum. Melihat nama Fattah sekadar 'abang' dan 'sahabat' tertera di situ, dia rasa terharu sangat. Ya, ungu warna duka... untuk Fattah; tetapi Seera tinggalkan biru warna cinta untuknya! Kalau hatinya sudah terisi penuh dengan cinta untuk Seera, tidak mungkin ada cinta lain dapat menyusup lagi, kan? Sudah tidak muat!

"Terima kasih, Dr."

Ilham masih diam di sebelah Farhana, dia rasa bersalah sangat menegur isterinya fasal peristiwa empat hari yang lalu itu. Nanti dia akan tulis dalam 'buku komunikasi' mereka. Dia mahu minta maaf sungguh-sungguh.

Dia memang tidak pandai berterima kasih pada isterinya yang banyak berkorban itu. Itu yang Imran tegurnya bulan lalu. Kata Abang Imran, tempat Farhana ialah di dewan kuliah berkongsi ilmu dengan pelajar dan rakan-rakan sejawatnya. Tugas Farhana ialah menjalankan penyelidikan dalam bidang yang dia mahir! Dalam keadaan kini... pensyarah di universiti ramai yang muda-muda tak ada pengalaman; tak cukup ilmu untuk mengajar; sayangnya kalau Farhana si mutiara yang berharga itu duduk di rumah jadi 'kuli' Ilham anak-beranak.

Hesy, Abang Imran bukan main lagi!

Membesarkan anak-anak mereka yang ramai itu boleh sahaja Ilham upah orang, dan kemudian pantau dan beri masa yang kualiti sahaja. Itu pesan Abang Imran di depan emak mereka di rumah Idayu. Hari itu Farhana sakit, dan tidak sama-sama ikut mereka beramai-ramai makan-makan sebelum puasa. Emak buat tahlil untuk ayah di rumah Idayu hari tu.

Hmmm... 

Emak dan Idayu pun setuju dengan kata-kata Abang Imran. Abang Imran tu macam profesor serba tahu fasal isteri Ilham pula, itu yang Ilham tak suka.

"Tapi Farhana suka! Bukan Ilham paksa dia pun. Dia yang pilih untuk tidak bekerja." Ilham membela diri.

Tambah emak pula, pernahkah Farhana bermasam muka selama ini? Dia tu jenis perempuan taat... apa-apa dia tak suka dia akan memendam rasa. Dengarlah cakap emak kalau Ilham betul-betul sayang dekat Farhana. Emak bagai mengugut pula, Abang Imran sudah ada geng la tu.

"Buatnya kalau Kak Anah lari macam dulu bawa diri... kali ni sampai ke Alaska pula, macam mana?" Idayu cuba menakut-nakutkannya. Lalu jadilah dia Dr. Ilham yang dapat penyakit kronik hati, Nombor 13 -- takut pada bayang-bayang sendiri!

Perbualan hari itu memang berbekas dalam hati Ilham. Dia ingin minta maaf pada Farhana untuk banyak perkara. Dan, sebenarnya dia sudah pun beli hadiah tanda minta maaf pun. Menunggu waktu untuk beri sahaja!

Boleh tak terus beri, dan terus minta maaf!!!

Aiyaa... mengapa la lelaki Melayu susah sangat hendak minta maaf apabila sudah melakukan kesalahan?

Catatan:

ps: Seera tidak hadir � * (maksudnya, meninggal) -- siapa ingat istilahnya apa? Kaksu dah lupa :(

Suatu Hari di Bulan Puasa... [7]
        'Untold Story'

 mentari curahlah warna orenmu

"IMRAN ajak berbuka rumah adik dia esok, Durrah ikut ya."

Ungku Durrah memerhati Haiqal Haji Hambali dengan pelbagai rasa, dia sebenarnya tidak suka ikut Haiqal ke majlis-majlis rasmi Haiqal dengan alasan dia tak reti campur dengan kawan-kawan Haiqal yang pandai-pandai semuanya. Tapi Abang Imran ni, rakan perniagaan Haiqal. Malah pernah jadi rakan serumah Haiqal pula. Lalu, untuk menolak Durrah rasa tidak patut; tidak wajar!

Mata Durrah cepat saja beralih ke arah anak mereka di dalam buai... hmmm, hendak cari alasan apa?

 Hafa Haiqal sudah pun sembuh daripada selesema... jadi alasan apa yang dia harus beri lagi untuk menolak pelawaan Abang Imran yang baik tu? Ini sudah kali kedua, bukan?

"Ya ikut." Durrah mengalah, akhirnya.

"Abang ambil Durrah dan Hafa pukul lima ya, rumah adiknya dekat Sungai Buloh, dekat sahaja kalau ikut tol nanti."

"Nak bawa apa?" sambung Haiqal lagi, sambil menggantikan kemeja ofis dengan baju-T putih dengan seluar trek. 



Posted at 11:59 am by noorsuraya
Comments (13)  

Previous Page Next Page