Rumah Kecil Tiang Seribu
usah merinjis awan dalam renyai yang merintik... usah menginai gelap malam dengan ungu warna pelangi





TANAH ANDRIYANA (2002) diterbitkan oleh CESB



Sebahagian dari cerita-cerita leluhur mereka Raden Andriyana - Ahmad Fitri diungkap semula pabila Aliya, terserempak semula secara tidak sengaja dengan saudara pupunya, Fitri Hadi... dalam suasana penuh dendam, curiga dan benci. Setelah berpuluh tahun berlalu, kenapa persengketaan keluarga ini tidak pernah luak?
Mungkinkah sejarah sedih bisa berulang ataupun cinta sebenarnya seindah pelangi yang terpamer selepas hujan



GURINDAM JIWA: HATI ANDRIYANA (2007) diterbitkan oleh Jemari Seni Publishing



Tetamu
ke



Rumah Kecil Tiang Seribu
sejak 18 Mei 2004




<< November 2011 >>
Sun Mon Tue Wed Thu Fri Sat
 01 02 03 04 05
06 07 08 09 10 11 12
13 14 15 16 17 18 19
20 21 22 23 24 25 26
27 28 29 30

E-Novel
NYANYIAN TANJUNG SEPI (2005)

Oleh: Noor Suraya


NYANYIAN TANJUNG SEPI (2006) diterbitkan oleh CESB



Dang Bersaudara
[Amai][Anis][Ayang][Inoi][Jijah][Kalas][Sari][Nila]


Tukang Ulas Novel
antubuku
novelcintamelayu
perca
seribu satu malam
ANTOLOGI CERPEN
Buat Menyapu si Ayer Mata


SURAT UNGU UNTUK NUHA (2007) diterbitkan oleh JEMARI SENI




"Nuha, benarkah tidak semua ombak akan menemui pantai?

KERANAMU AIN... (2001) diterbitkan oleh CESB


"Bagaimana aku nak berkahwin dengan orang yang aku tidak cintai, Ain? Fahamilah aku, Ain, jika mencintaimu membawa hukuman mati... aku sudah lama mati."
[Nik Ahmad Adam]




BIRU UNGU CINTA (2003) diterbitkan oleh CESB



"Seandainya terus mencintai Seera adalah suatu dosa... ampunilah keterlanjuranku itu, Tuhan. Sekiranya tak dapat mengasihani Dayang itu suatu kesalahan... ampunilah ketidakupayaanku itu, Tuhan."
[Abdul Fattah]


RINDUNYA KIAN MEMBARA (2004) diterbitkan oleh CESB



"Pabila berkata tentang cinta,
angin pun seakan-akan lupa melepaskan dinginnya; mentari seolah-olah cuba menyembunyikan pijarnya; bulan pula jadi malu-malu untuk mengintai bintang-bintang; angin silir jadi berhenti mendesir; dan kita?
Kita... bagaikan tidak teringin jadi dewasa...."
[Dr Farhana Haji Abu Bakar]



If you want to be updated on this weblog Enter your email here:



rss feed



 
Tuesday, May 30, 2006
::- Kerudung Biru Buat Dia -::

~ ~ ~ ~ ~ ~
bagaikan deru angin
menyongsong desa
setiap kali musim timur tiba
begitulah
butir kata-katamu
telah membungkus hatiku dalam pilu
sejuk beku di sini

pada saat
gerimis itu merentik
dan renjisan renyai malam
yang tak pernah berhenti
tiba-tiba
aku jadi rindu padamu
untuk sekian kalinya


pada saat
daun-daun pun berbisik
gemeresik sayu dinihari itu tanpa jemu
tiba-tiba
aku jadi rindu pada musim semi itu
untuk sekali lagi


hujan menjerat angin
dan matahari pun berselisih dengan bulan
lalu aku cuba memahat kelam malam
dengan renunganku yang telah hilang
lalu aku cuba mengukir cerah siang
dengan angan-angan yang tersangkut di dada


aku sudah tidak tahu
bagaimana kau ukirkan purnama
dengan pensel perakmu
setiap kali bulan tersenyum?

mana cermin
untuk aku bisa
melihat kau yang manis itu dengan kerudung biru
untuk terakhir kalinya?

aku masih teringat lagi kata-kata hatiku suatu waktu itu:
"sayang, aku tenun kerudung biru... pakailah
bila kau mengiringi aku ke pelabuhan nanti."


pernah sekali aku berkata suatu waktu dahulu:
"bonda, sandingkan pangeran dan puteri raja...
aku ingin berbahagia seperti mereka, selamanya."


bonda tidak pernah menyahut...
sudah lama aku tidak melihat rembesan air mata di wajah bonda.

~ ~ ~ ~ ~ ~
muaz abdul qudus
pelabuhan tanjung harapan
afrika selatan


~ sewaktu angin malam sedang berhembus di telingaku,aku sedar pada suatu perkara: rupa-rupanya aku tidak pernah sekalipun berhenti daripada melupakanmu ~

petikan: Surat Ungu Untuk Nuha~ Noor Suraya


Posted at 06:09 pm by noorsuraya
Comment (1)  

 
Friday, May 26, 2006
Biru Ungu Cinta ~ Sebuah Perasaan

Seera, aku tidak pernah berhenti daripada terus mengingatimu ~ Abdul Fatah.



Aduhai, entri apa yang kaksu letakkan di sini?
Tak malunya kaksu ni, sedang memuji karya sendiri? 

Sejak akhir-akhir ini beberapa orang tetamu Rumah Kecil Tiang Seribu asyik berbual-bual fasal Biru Ungu Cinta di sini. Lalu kaksu jadi teruja untuk bercerita juga. Setelah tiga tahun berlalu, novel nipis ini mulai mendapat tempat di hati pembaca, akhirnya.  Satu-satunya novel kaksu yang belum diulang cetak (tanpa mengambil kira Nyanyian Tanjung Sepi, tentunya) ini, rupa-rupanya sudah ada peminatnya yang tersendiri *jeling dekat Wawa & Co yang sentiasa promo habis-habisan*

Kaksu pernah memberitahu seorang dua teman rapat (bukannya teman biasa ahaks), yang kaksu rasa Biru Ungu Cinta akan masuk ke stok terakhir (untuk dilupuskan)... dan karya yang kaksu sayangi ini akan hilang begitu sahaja :(  Novel ini ada banyak sentimental value pada kaksu. Kaksu sayang kepada Seera seperti anak buah sendiri.  Kalau watak-watak perempuan lain (Ain Najwa, Aliya, Farhana dan Nuha), yang kaksu lakar masih hidup tetapi Seera cumalah sebuah kenangan.  Dia benar-benar telah pergi :(

Seera yang kaksu lukiskan dalam Biru Ungu Cinta (BUC) itu, wajahnya mirip sekali (kecuali tahi lalat kecil di penjuru mata kirinya, tiada di situ) seperti 'lukisan' yang Nida letakkan sebagai sampulnya. Mukanya sayu, mukanya penuh rahsia... tetapi ada juga yang kata: mukanya menakutkan seperti puntianak dot dot dot itu.  Kasihannya pada Seera.  Gambar Seera yang telah dibingkai kiriman Mak Su Ti kaksu letakkan di kedai buku Pustaka Teguh Ceriteria.

Kaksu juga suka pada blurp dan caption pilihan editor di situ.  Walaupun begitu kaksu sedar yang blurp itu tentunya akan membuat orang takut untuk membeli novel itu. Yalah awal-awal lagi orang tentu sudah syak, plotnya tentulah sebuah cerita sedih. Mungkin juga ada yang merasakan Biru Ungu Cinta itu hanyalah sebuah kisah cinta yang asyik maksyuk. Padahal pada hakikatnya, Biru Ungu Cinta mengungkap lebih daripada sekadar cerita cinta. Biru Ungu Cinta bukannya pertentangan cinta antara golongan marhaen dengan borjuis.

Biru Ungu Cinta sebuah cerita biasa... cerita Seera anak kepada seorang pegawai kerajaan yang tinggal di Kelana Jaya.  Dia bekerja sebagai seorang wartawan dan di samping itu menyambung pelajaran dalam bidang Linguistik.  Abahnya sekadar memiliki rumah teres dua tingkat.  Mereka bukannya orang yang kaya... bukannya anak dato' datin.  Abangnya kembarnya, si Affan seorang doktor yang jatuh cinta kepada seorang jururawat biasa. Biru Ungu Cinta hanyalah secebis peristiwa hidup.  Perjalanan hidup seorang gadis sederhana, Seera Asyiqin Ahmad Basheer.



Sebenarnya kaksu 'nisankan' banyak perkara dalam novel ini. Kaksu juga bina kasih sayang yang tidak berbelah bahagi dalam keluarga Seera.  Dia - Seera kakak yang penyayang dan mudah beralah untuk adik beradiknya.  Cerita mengenai kasih Kamal kepadanya, dan cinta Fatah kepada Seera, kaksu cuba gambarkan dengan begitu sederhana, tetapi berharap biarlah ia tetap bekesan di hati.

Kaksu bina institusi keluarga yang mantap untuk Azah. Kaksu suka watak Seera yang tenang dan pandai menyembunyikan rasa... padahal dia juga seorang perempuan.... perempuan yang punya perasaan seperti orang lain.  Seera yang terpaksa melupakan cinta pertama hanya kerana Fattah anak tunggal Puan Fuziah (yang dirasakan Seera, mereka memerlukan waris untuk menyambung keturunan Puan Fuziah dan Seera adalah perempuan yang tidak mungkin melunaskan harapan Puan Fuziah, kerana...). 

Dia beralah kepada keadaan.  Dia kehilangan Fattah yang baik dan yang setia serta sanggup lakukan apa sahaja untuk Seera.  Kaksu juga membiarkan Kamal berubah... perlahan-lahan sehingga menjadi begitu istimewa di hati Seera.  Watak Kamal dihidupkan dengan 'sempurna' sejak dia berjaya memperisteri Seera, rakan sekerjanya.  Padahal Kamal sekadar pelakon tambahan aja dalam BUC, pada awalnya; tiba-tiba entah bagaimana dia dapat merampas kuasalah pula!

Kaksu juga biarkan semua orang menebak hati Seera melalui perasaan mereka sendiri.

  • Benarkah Seera tidak pernah melupakan Fattah?  Masihkah ada cinta yang tersisa buat Fattah?
  • Benarkah Seera sudah memberi sepenuh hatinya kepada Kamal, suaminya itu?

Pembaca yang membaca... dan merekalah yang merasakannya sendiri!  Tatkala editor menelefon bertanya sama ada kaksu ingin menukar ending Biru Ungu Cinta, kaksu tetap dengan keputusan.  Seera harus pergi.  Tidak semua cerita bahagia menuju destinasinya, bukan? 

Kaksu suka pada Seera yang taat kepada ibu bapa. Seera yang tenang. Seera yang matang, tetapi kadang-kadang penuh emosi.  Seera yang ada pendirian pada sesuatu yang dia pegang dan percaya.  Seera manusia biasa.  Seera yang ada kelebihan dan kekurangan. Seera yang ada perasaan tetapi perasaan itu terikat dengan situasi yang tidak disangka-sangka.

Kaksu juga suka pada kampung Kamal yang tenang dan indah. Kaksu suka pada suasana santai di rumah ibu Seera. Suka pada suasana tegang setiap kali wujudnya 'Maisarah dan Dayang' di tengah-tengah Kamal dan Fatah.  Cerita-cerita - anekdot yang kaksu muatkan di situ, menambah rencah Biru Ungu Cinta.  Cerita itu sepatutnya menjadi 400 halaman kalau rasa lesu tidak menapak di hati.  Menulis sambil berperang dengan perasaan.  Setelah separuh daripada cerita siap, emak kaksu 'kembali kepada-Nya'.  Kerana itulah, nama Asyiqin kaksu sematkan kepada Seera.  Seera yang menyukai bunga mawar seperti emak kaksu :o Titik.

Kalaulah dulu kaksu sering menerima maklum balas: pembaca tidak puas hati dengan novel Biru Ungu Cinta ini, namun sekarang ini rupa-rupanya angin bertiup dari arah yang lain pula. Ramai yang mula bercerita... dan cerita yang enak itu menusuk ke telinga kaksu. Alhamdulillah.

Seronoknya apabila apa yang kita tulis mula mendapat perhatian. Novel ini kaksu tulis selepas Tanah Andriyana. Ceritanya berjalan sehinggalah sampai ke suatu peringkat kaksu sudah tidak mahu meneruskan lagi. Rasa malas dan tidak ada semangat untuk meneruskan seperti sudah tidak terkawal lagi.  Hanya kerana berjanji dengan diri, setiap tahun mesti siapkan sebuah novel - maksimumnya :) 

Kaksu ingin titipkan rasa terhutang budi pada, Hani Rahayu yang sering 'menolak' kaksu untuk menaip dan menyudahkan Biru Ungu Cinta. Kerana itulah kaksu jadikan dia sebagai kakak Kamal Hanif Khusyairi dalam Biru Ungu Cinta 'dengan rasa terhutang budi' ahaks. Tidaklah... kerana rasa kasih sayang. Ketika itu pembaca yang menulis kepada kaksu bukannya ramai, kalau dibilang dengan sepuluh jari pun tak habis pun. Opsss, sekarang ni pun tentu aja tidak seramai mana... tetapi sudah melebihi sepuluh orang, tentunya.

Kaksu sudah menukar nama watak-wataknya beberapa kali. Menukar tajuknya juga dua tiga kali... yang terakhirnya: Biru Ungu Cinta. Tajuk yang membuat kaksu jatuh hati sendiri.  Tak malu betul, puji tajuk sendiri :) Kerana warna biru-ungu itu mempunyai analoginya yang tersendiri, dan mempunyai makna yang sungguh simbolik.  Warna kesukaan kaksu dan arwah emak.

Ungu dan biru... dari spektrum warna yang sama, tetapi ditafsirkan tidak sama. Satu warna primer dan satu lagi warna sekunder! Biru lambang cinta, dan ungu untuk duka. Ungu warna diraja dan aristokrat di Eropah tetapi warna balu di Indonesia. Itulah yang mencetuskan hati kaksu untuk memilih tajuk yang sederhana... tetapi sangat tersurat.

Buah padi selasih dulang,
Tumpang saya ke Jawa sahaja;
Buah hati kekasih orang,
Tumpang saya tertawa sahaja.

Love Blue Purple....


ANEKDOT:
Tiba-tiba kaksu datang dengan idea gila-gila ini... kempen untuk "Selamatkan Biru Ungu Cinta"... sesiapa yang suka buku ini, mesti BELI dan kempen kepada dua orang lagi. Jadi tentu sahaja, buku ini akan diulang cetak... insya-Allah.  Siapa yang pernah membaca hasil daripada meminjam... mesti memilikinya sendiri :) 

Amboi, strategi 'marketing' kaksu boleh tahan juga nih. Padanlah masa ambil minor 'management' dulu, orang dapat A... kaksu hanya dapat C. Ahaks.


Posted at 06:19 pm by noorsuraya
Comments (22)  

 
Thursday, May 18, 2006
ULANG TAHUN KEDUA - Rumah Kecil Tiang Seribu [1]

Assalamualaikum dan Salam manis...

Hari ini ulang tahun ke-2... Rumah Kecil Tiang Seribu secara rasminyalah.  Padahal... sebenarnya, RKT1000 ini dilahirkan lebih awal dari itu: 29 Apri 2004.  Sebelum dilancar dengan penuh adatnya (ewah... bunyinya glamor sangat) kaksu menulis secara diam-diam aja... bertukang secara pelan-pelan, tidak menghebahkan di mana-mana kecuali pada lima orang yang pertama sahaja.  Kaksu mulakan cerita ini sembunyi-sembunyi juga.

Di ruang kecil ini kaksu menulis episod RUMAH KECIL DI UJONG PADANG (novel kaksu yang tidak pernah siap-siap itu) sebelum kaksu 'remove' entri itu untuk selama-lamanya atas nasihat adik kesayangan kaksu yang manis Kak Datin PinKJambu kita tu...

Sekiranya, tidak ambil kira cerita Rumah Kecil di Ujong Padang (yang baru dua episod itu?)... inilah EMPAT ENTRI kaksu sebelum kaksu membuka RKT1000 secara rasminya pada 18 MEI 2004: untuk kunjungan ramai.  Siap dengan memulakan 'counter hit' - sekadar untuk mendapatlkan maklum balas - sebagai detik permulaannya kaksu melebarkan jalinan ukhuwah...

Rumah kecil ini menjadi tempat kaksu meluahkan cerita yang entah apa-apa untuk menjadi tatapan tetamu-tetamu kaksu yang singgah melepaskan lelah.  Maafkan kaksu jika tersalah bahasa tersilap tingkah...

Oh, di rumah ini juga kaksu menggunakan nama pena sebagai 'kaksu' untuk membentuk identiti sendiri di maya... padahal sebelumnya nama kaksu tulis secara terpisah; malah kadang-kadang dengan 'e' di belakangnya sebagai 'Kak Sue'.  Di laman maya... Noor Suraya hanyalah seorang kaksu...:p

>>> psst:
LIMA orang tu ialah: abang rosdi, hani rahayu, hamimah, hafiiz dan kaksulah


29 April 2004
ENTRI 1 ~ SALAM DARI TANAH ANDRIYANA ~

usah merinjis awan dalam renyai yang merintik,
usah menginai gelap malam dengan ungu warna pelangi....

Selamat datang ke daerah ini... Tanah Andriyana

>>>psst:
KOMEN PERTAMA:


1 Mei 2004
ENTRI ~ BERDIRI DI ANJUNG TANAH ANDRIYANA

Salam manis,

Asap api embun berderai,
Patah galah haluan perahu;


Seorang teman menitip pembayang pantun itu buat saya ketika hatinya tergores luka. Lalu dia... membiarkan saya menjawab segala persoalan hatinya yang dia tidak mahu luahkan sendiri dengan bilah-bilah kata. Saat itu, saya sendiri juga begitu keras hati untuk bertanya, apa makna semuanya ini? Membiarkan semuanya terus berlalu walaupun dalam diam-diam, saya sendiri betul-betul mencari sambungannya. Malangnya pula, saya mengambil masa yang agak lama untuk menemui sambungan maksud-makna pantun itu.

Niat hati tak mahu bercerai,
Kuasa Allah siapa yang tahu.


Hati saya yang telah sedia sayu menjadi semakin sebak apabila mengenangkan pantun yang pilu itu (aduh... indahnya warisan pantun kita, yang mengungkap terlalu banyak makna yang tersirat). Dan pada akhirnya, saya akur dan terus membuat kesimpulan... "seorang teman tetap seorang teman, walaupun mereka telah menghiris hati dan perasaan kita." Pada mulanya, sebelum saya mengetahui sambungan maknanya... saya kira... pantun ini cumalah pantun biasa-biasa sahaja walaupun hati saya terus berbisik... carilah penyambungnya... segala rahsia ada di situ. Rupa-rupanya, memanglah benar... segala-galanya diceritakan di situ!

Lalu apabila saya menulis novel, terutamanya Tanah Andriyana (novel pertama saya, Keranamu Ain...) saya juga menyelitkan pantun-pantun lama untuk dihadiahkan kepada pembaca... agar pembaca yang masih mahu terus-terus berfikir dengan lebih mendalam akan mula mencari makna yang tersirat di sebalik pantun-pantun itu... dan kemudiannya, mereka dapat pula membuat tafsiran dan kesimpulan sendiri... :)

Dalam Tanah Andriyana, saya seolah-olah membiarkan pembaca menyudahkan sendiri babak yang telah saya mulakan itu (dengan meninggalkan rangkap-rangkap pantun di situ), sesuka hati mereka... itulah yang membuat pembaca mengkritik karya sebagai 'unfinished business'... cuba mengelat lah tu!... susah nak faham L bahasa tinggi sangat?

Namun begitu, ada juga pembaca yang menyukai teknik begini... kata mereka: saya seperti sedang mengajak pembaca menerka ataupun menebak hati saya dan watak-watak saya. Jadi dalam novel terbaru saya nanti, (Surat Bersampul Perang kalau penerbit bersetuju dengan tajuknya), lebih banyak pantun lama yang saya titipkan buat anda, dan anda tidak akan kecewa dengannya.... Dengarlah... sebagaimana indahnya pantun ini, yang membuat pembaca menyapu air mata:

Buah padi selasih dulang,
Tumpang saya ke Jawa sahaja;
Buah hati kekasih orang,
Tumpang saya ke ketawa sahaja.

-Abdul Fattah (Novel: Biru Ungu Cinta)

Kembali semula :)
Saya sangat menyukai pantun lama. Setiap kali apabila menemui pantun yang menyentuh rasa... saya akan menghafal dalam hati sendiri atau mencatatkannya dalam buku kecil sebagai koleksi. Pada saat di bangku sekolah, apabila teman-teman sibuk menghafal segala jenis formula matematik dan fizik, apatah lagi kimia... tetapi saya juga sesibuk mereka... tetapi saya pula sibuk mengumpul pantun lama:)

Lalu di sini saya ingin menitipkan sebuah pantun lama yang menyentuh rasa :) yang pernah saya catatkan dalam TANAH ANDRIYANA:

Apa guna pasir setambun,
Kalau tidak setinggi duduk;
Apa guna kasih setahun,
Kalau tidak seumur hidup.
- Raden Andriyana (halaman 191)

... yang saya temui tertulis di atas sebuah lukisan lama, pemberian suami ibu saudara saya kepada isterinya, mungkin pada hari perkahwinan mereka berpuluh-puluh tahun dahulu.... Lukisan pemandangan itu sering saya lihat apabila saya berkunjung ke rumah mereka, sewaktu saya kecil, sebelum pandai membaca tentunya, dan juga kemudiannya pabila saya sudah menginjak remaja. Pantun yang mengusik hati itu, tergantung indah di dinding rumah pusaka nenek saya (sebelah ayah)... sebelum mereka sekeluarga berpindah ke rumah baru hasil dari paya yang ditambak dekat-dekat situ. Bagaimanapun pabila sudah di rumah batu beratap genting, warisan seni itu, saya lihat tersorok dalam setor rumah baru mereka. Lukisan lama yang tidak secantik mana itu, sudah tidak lagi menjadi penghias dinding rumah yang begitu moden.... Lalu hati saya mengeluh: "Begitukah... cinta, setelah sekian lama... ia sudah tidak berharga dan tidak bermakna lagi?"

Pada ketika-ketikanya saya di universiti... saya mulai sedar, teman yang menitipkan pantun lama itu kepada saya, tahu yang saya bisa mengungkaikan tafsiran hatinya... secara halus. Lalu di sini saya pula dengan penuh tulus ingin berkongsi pula perasaannya bersama anda dalam ruang ini sebagai pantun pembuka bicara:

Asap api embun berderai,
Patah galah haluan perahu;
Niat hati tak mahu bercerai,
Kuasa Allah siapa yang tahu.
- Ku Ahmad Fitri (halaman 246)

"Asap api embun berderai,
Patah galah haluan perahu..."
- Ahmad Fitri Hadi (halaman 278)

"
Niat hati tak mahu bercerai,
Kuasa Allah siapa yang tahu."

- Aliya Ali Hakeem (halaman 278)

Untuk itu saya menjemput anda melangkah ke anjung TANAH ANDRIYANA untuk berkongsi cerita dan pengalaman dengan perempuan-perempuan yang menyimpan seribu rahsia, perempuan-perempuan yang menjadi dewasa dengan hati yang cekal... perempuan-perempuan yang telah menempuh hidup yang pelbagai di dunia yang fana, datanglah bersama saya... menjadi tetamu hati Aliya, menjadi tetamu hati Wan Maryam, menjadi tetamu hati Ku Fitriyah Manjalara, menjadi tetamu hati Raden Andriyana, menjadi tetamu hati Bertha Johannes van Der Bastean, menjadi tetamu hati Raden Galuh Hartini Kartika Sari...

di anjung ini, Aliya Ali Hakeem akan bercerita mengenai leluhurnya yang telah pergi.
di anjung ini Fitri Hadi sedar akan kekhilafan leluhurnya...
di anjung ini Ku Fitri masih Sang Arjuna pemanah cinta....
di anjung ini Andriyana masih seorang puteri....

Anda dipersilakan menapak ke anjung ini...

>>>psst:
Surat Bersampul Perang diterbitkan dengan judul RINDUNYA KIAN MEMBARA dan menjadi Novel Terbaik CESB 2004


2 Mei 2004
~ ENTRI 3 - TITIK! ~

Tercetus untuk menulis sesuatu di sini. Tiba-tiba kehilangan seluruh perbendaharaan kata  

>>>psstt:
terkenang komen seseorang apabila kaksu menulis n3 ini....



14 Mei 2004
~ENTRI 4 - ANTARA PADI DENGAN SELASIH YANG MANA SATU SAUDARA LURUTKAN?

Assalamualaikum & Salam manis,

Setelah saya fikir-fikir, saya kira... adalah lebih baik saya menulis sebuah cerita baru, daripada meneruskan hasrat untuk bercerita hal Tanah Andriyana (untold story) tu... Jadi... produksi ini akan menerbitkan sebuah cerita yang berjudul... Rumah Kecil Tiang Seribu.  Pada mulanya memanglah saya hendak menulis cerita Rahsia Tanah Andriyana, tetapi seorang teman baik... memberi nasihat supaya jangan berbuat begitu... jangan bercita-cita tinggi sangat, Su!  Ukurlah baju di badan sendiri.  Bukankah penghujung tahun lalu, sehingga bulan Januari tahun ini... saya telah menghabiskan masa yang bukan-bukan untuk menyudahkan... Surat Bersampul Perang, sedangkan ada hal yang lebih penting... iaitu; menyiapkan disertasi... saya abaikan.

Katanya lagi, sekiranya saya menulis cerita baru, saya akan menggunakan seluruh masa untuk berfikir dan menulis... kerana idea tu masih samar-samar... mana pula nak buat 'research' lagi untuk novel yang sebegitu.  Bukankah saya ada 'dateline' dengan diri sendiri untuk menerbitkan sebuah novel setiap tahun... dan banyaknya pula rancangan yang saya atur... sebelum umur semakin senja?  Kalau tak habis belajar... macam mana?  Bila nak naik gaji & Bila nak naik pangkat? katanya, ...ewah :D  Lalu dia cadangkan saya pilih satu draf novel, yang telah saya buat dan pamerkan dalam blog ni.... baiki dan perbetulkan sikit-sikit... daripada nak mencipta yang baru....  Bukankah blog ni saya buat untuk 'fun'... kenapa nak 'stress' kan otak?  Yalah, yalah... -:( sejak jadi mak-mak ni, teman saya ni memang kuatnya, berleter....

Okey, okeylah... saya rasa, saya perlu dengar buah fikirannya...  saya harus mendengar kata... dia kan orang yang telah makan garam terlebih dahulu... (tetapi mungkin juga dari segi jumlah garam... mungkin saya makan lebih banyak daripadanya... kerana saya suka makan masin:)  Lagipun, betul juga kata-katanya... saya memang sudah tak ada muka nak mohon simpati pada 'supervisor' saya yang sangat baik hati dan penuh perhatian itu, sekiranya disertasi saya masih 'delay' :p

JADI... sekarang persoalannya... kenapa saya pilih tajuk Rumah Kecil Tiang Seribu ?  Sewaktu saya masih kecil, mungkin dalam darjah lima atau enam, saya suka sekali membaca sebuah cerita bersiri dengan judul Rumah Besar di Hujung Padang ... ceritanya menarik sekali. Mengisahkan mengenai kegigihan seorang wanita jelita dan terpelajar daripada keturunan bangsawan dari Tanah Padang yang kembali ke daerahnya untuk menjadi seorang doktor.  Bagaimanapun tindakannya itu tidak disenangi oleh tunangnya (yang juga sepupunya) yang lebih suka Dr. Haslinda bekerja di kota besar.  Si Pemuda mencemuh tindakan Dr. Haslinda berbakti kepada anak-anak desa. Tunangnya itu yang juga seorang doktor (?) telah menjadi orang kota dan tinggal di Jakarta  Sesekali pemuda itu akan menjenguk Dr. Haslinda dan ibunya di rumah besar milik nenek mereka di Tanah Padang.  Setiap kali bertemu, mereka akan bergaduh dan berbahas kerana prinsip yang berbeza.

Bermula dari saat itulah Dr. Haslinda merasakan dia sudah tidak secocok lagi dengan tunangnya itu.  Kebetulan pula, pada masa yang sama seorang pegawai kerajaan yang ditugaskan di daerah itu telah berjaya mencuri hatinya.  Kebetulan Baharuddin (kalau tidak silap, namanya begitu!), juga mempunyai prinsip untuk membaiki taraf hidup masyarakat di kawasan pendalaman seperti Dr. Haslinda.  Lalu tanpa sedar, kedua-dua menjadi akrab dan akhirnya tanpa sedar... masing-masing pula saling menyimpan perasaan, namun masing-masing tidak pula berani untuk meluahkannya.  Baharuddin datang dari keturunan biasa dan tidak setaraf... apatah lagi, Dr. Haslinda  yang disenanginya itu pula tunangnya orang.  Sementara itu, bagi pihak Dr. Haslinda pula... walaupun Dr. Haslinda seorang yang terpelajar... tetapi dia masih terikat dengan adat Minang, yang sangat mementingkan perkahwinan suku... perkahwinan yang diatur... hidup yang agak kompleks... dilingkung adat-adat... macam cerita Tenggelamnya Kapal van Der Wijck (Profesor Hamka) atau Anak dan Kemanakan (Marah Rusli).  Pelbagai konflik dan peristiwa berlaku yang akhirnya membawa Dr. Haslinda diasak dan didesak dengan persoalan untuk memilih tunangnya sebagai teman hidupnya. 

Hidup dikandung adat.  Mati dikandung tanah.
Hukum berdiri dengan saksi.  Adat berdiri dengan tanda.

Watak Dr. Haslinda yang saya senangi tu, pernah menjadi idola saya semasa di sekolah rendah... yang membuat saya tiba-tiba kepingin sekali menjadi seorang doktor:) Lalu cerita-cerita dari Padang itu juga amat penting bagi saya, kerana dari situlah saya mempelajari banyak perbendaharaan kata dalam bahasa Melayu, apatah lagi budaya Minang unik dengan adat perpatihnya... yang terangkum di dalamnya pelbagai cerita perantau.  Saya hanya boleh membaca apabila berumur sekitar lapan, sembilan tahun :( eeh, jangan ketawa ya, sebab masa dulu saya tidak pernah ke kelas tadika... maklumlah, saya ni kan, orang kampung)... lalu, apabila membaca novel bersiri dalam majalah Wanita (yang emak saya langgan) ini, banyak betul ia membantu saya memperbaiki, mengilap dan memperkaya bahasa saya.  Setelah cerita bersiri itu, tamat... majalah kesukaan saya itu menyiarkan pula cerita terjemahan Inggeris iaitu "Little Women" dan "Pride & Prejudice" (diterjemahkan sebagai ... Yang Sombong dan Prasangka) oleh Jane Austin... aduhai, seronoknya, masa lalu... dulu mana ada telenovela seperti dalam tv sekarang... cerita, hanya boleh dibaca dan bukannya ditonton... gambar hindustan adalah... itupun di panggung wayang, cerita begitu bukannya untuk budak-budak:) 

Lalu tatkala melangkah ke tingkatan satu, saya seperti sudah tidak ada novel yang menarik untuk dibaca lagi... lalu cerita Hikayat Misa Jayeng Kesuma (buku ni teks sastera tingkatan enam) pun saya tatap dan baca berulang kali!  Mujurlah ketika itu saya terpilih menjadi pengawas perpustakaan... setiap kali memproses novel baru, kami dibenarkan meminjam dulu... wow, buku-buku penyiasatan seperti Nancy Drew (Siri Salma) dan Hardy Boys banyaknya diterjemahkan dalam bahasa Melayu.  Begitu juga dengan cerita-cerita Enid Blyton.  Seronoknya, kami: saya, Nur Azaliah, Zamarah, Rozita dan Haslinda (bukan Dr. Haslinda... adiknya memang seorang doktor... dia, kami panggil, Aida)... berangan-angan jadi penyiasat masa ... macam-macamlah yang kami siasat. ... :p 

Masa terus berlalu... dan saya terpaksa akui, saya sangat menyukai novel-novel popular Indonesia kerana mungkin bukunya mudah saya temui dalam koleksi di rumah nenek saya (sebelah emak)... rumah nenek saya macam 'khutub khanah' yang menyimpan banyak buku-buku termasuklah, buku cerita sebelum perang dan selepas perang... kalau kita sudah boleh membaca dan bersembunyi dalam stor di bilik bawah... siapa pun tidak akan menganggu kita lagi (tapi kita jangan pula terlupa pula waktu makan:p ... sebab tiada siapa pun yang akan bersimpati kalau kita terlepas waktu makan gara-gara hanya kerana membaca buku cerita:p). Walaupun di rumah nenek banyak juga buku-buku Inggeris, tetapi kerana memahami bahasa Indonesia lebih mudah bagi saya, berbanding novel Inggeris... lalu novel-novel Indonesia dan Melayu tetap menjadi keutamaan. Cuma akhir-akhir ini saya mula menyukai membaca novel tulisan John Grisham. Semasa di sekolah menengah dulu, saya pernah juga cuba-cuba membaca, Sidney Sheldon misalnya novel, Rage of Angel dan juga yang paling saya suka Master of the Game. Selain itu, saya juga menyukai tulisan Jeffrey Archer (novelnya, Kane & Abel). Cerita tulisan kedua-dua mereka, banyak diterjemahkan dalam filem dan 'mini siri' di kaca tv suatu ketika dulu... lalu saya hanya lebih banyak menonton, daripada membaca! Ketika di tingkatan dua pula, guru bahasa Inggeris kami yang baru balik dari Australia; akan membawa sekotak besar buku-buku cerita ke dalam kelas... seminggu sekali untuk kami membaca... dari situ lah saya mula mengenal cerita-cerita seperti Jane Eyre, Daddy Long Leg, Black Arrow dan banyak lagi (tidak ingat lah untuk disebut secara spontan di sini).  Ketika itu, novel-novel Melayu tidak sebanyak sekarang di pasaran... penulis wanita di Malaysia pun tidak ramai... boleh dikira dengan jari aja... oh, ya, lupa nak mengumumkan... saya sangat suka tulisan Khadijah Hashim dan Adibah Amin.  Kalau penulis Indonesia pula, saya senang sekali dengan Pramoedya Anatatoer,  Marga T dan Maria Sadjono (? ejaan tak pasti).  Buku-buku dari penulis kesukaan saya itu, saya akan baca berulang kali... mengalahkan bacaan untuk masuk periksa.  Sekarang ni, kita sudah ada ramai penulis novel Melayu dan kita dapat pula membaca novel setiap hari :p (jika kita mahu berbuat demikian :o)  dan lebih-lebih lagi... yang paling menyeronokkan ialah...  saya telah membuka kedai buku cerita kecil di daerah kelahiran saya :D ... setiap hari kalau ada masa lapang... tentu saja saya ambil sebuah untuk membacanya.  Eh, siapa kata novel Melayu, tidak bagus? 

Akhir sekali... ingat tak drama bersiri terbitan RTM (penghujung tahun 1980-an)... Rumah Kecil Tiang Seribu ? Pelakonnya Fauziah Ahmad Daud dan Mustaffa Noor (Allahyarham)... sedihnya cerita tu... sampai sekarang saya tidak dapat melupakan plotnya. Ceritanya bagus sekali, berlatarbelakang sebuah rancangan Felda ... siapa ya penulis skripnya???  Atau mungkin anda semua belum dlahirkan lagi kot? ... :o, betapa tuanya saya! 

Okeylah, cerita yang bakal saya tulis ini bukanlah begitu latar belakangnya. Saya akan menulis tentang... Ain Najwa Mansor Aidil... juga mengenai Syarifah Nuur Khalida.  Kalau sesiapa pernah membaca novel saya Keranamu Ain... anda mungkin pernah menemui namanya di celah-celah lembaran di sana.  Ada cerita sedih yang mengungkap sejarah hidup pelajar perubatan dari Universiti Sains Malaysia ini.  Ada cerita duka yang disimpannya dalam lipatan masa....

Akhir sekali, saya ingin menitipkan ucapan terima kasih untuk weblog...
 
radha.blogdrive.com @ [Relevankah Aku Dihatimu?] yang secara tiba-tiba mencetuskan idea untuk saya menulis secara online e-novel ni.  

anis:  sorry ye, kiasu lah kaksu ni... orang ada weblog, kaksu pun kiasu nak ada satu:p 

antara padi dengan selasih, mana satu saudara lurutkan;
antara budi dengan kasih, mana satu saudara turutkan?


>>>Psstt:
Ramai juga sahabat lama yang kaksu jumpa semula selepas laman blog ini kaksu 'lahirkan'... kerana teman-teman yang hilang itu adalah seseorang yang begitu rapat dengan adik-adik yang singgah ini... indahnya sebuah tautan ukhuwah...

Cerita KERANAMU AIN II: Nyanyian Tanjung Sepi yang kaksu mulakan tiga episod di sini telah pun diterbitkan dengan judul NYANYIAN TANJUNG SEPI (p/s:  Terima Kasih Nida)


SELAMAT ULANG TAHUN RUMAH KECIL TIANG SERIBU dari Bonda Sue 


Posted at 09:03 am by noorsuraya
Comments (9)  

 
Saturday, May 13, 2006
Pukol Gambar?

Tangkap gambar
Ambil gambar
Pukul gambar
'Shoot' gambar


Inilah istilah yang kita gunakan untuk mengambil gambar.... tetapi apabila sampai bahagian (bab) nak 'develope'... semua dialek kata 'CUCI GAMBAR'... lucukan.

Mula-mula kahwin dulu kaksu selalu ketawakan kat abang rosdi sebab orang kata 'ambil gambar' dia kata 'pukul gambar'.... kenapa pula nak dipukul gambar yang tak bersalah tu?

Ada banyak betul makna semantik yang tak serupa antara kami. Akhirnya kita mencapai kata sepakat dalam beberapa perkara; di mana kaksu meniru bahasa abang rosdi cakap... dan dia terpaksa mengikut cara kaksu bertutur. Selebihnya kita bercakap cara masing-masing... sesuka hati.

Yang paling kaksu suka tiru bahasa abang rosdi ialah untuk kata 'cemar' membawa maksud 'kotor', bunyi macam bersopan-santun aja.  Macam adik beradik kerabat dirajalah pulak!

TAPI ada ke 'buka' kasut, baju... semuanya dikatakan sebagai pecat (macam kena pecat kerja aja). Kaksu lebih senang guna perkataan 'buang'... tiba-tiba aja teringat dekat kawan kaksu yang suaminya orang Terengganu. Anaknya dihantar ke pengasuh orang Melayu Sarawak... sehingga anaknya umur dua tiga tahun dia masih terkeliru.

Kata emaknya (kawan kaksu), "pergi buang baju"... lalu anaknya ambil baju dibuang dalam bakul sampah. Apa taknya, kerana abahnya kata pecat... pengasuhnya kata tanggal.

Entri ni, sekadar nak melepas lelah dengan urusan yang tidak pernah susut. Lihatlah gambar yang pernah 'kena tangkap' a.k.a 'kena ambil' a.k.a 'kena pukul' ni.....


- tanda serpihan dihujung gambar ni hasil kerja halus klavu? mungkinkah? -


Posted at 01:05 pm by noorsuraya
Comments (11)  

 
Saturday, April 29, 2006
Musim Kemarau di Utara

Pabila daun getah berguguran... angin timur menderu dan ini bermakna musim kemarau akan tiba. Disember adalah musim kemarau dan kering di sebelah utara.... Apa cerita yang hendak dibuka?

                     -::1::-cerita tong deram
                        -::2::-cerita siput sedut
                          -::3::-cerita berkelah


*gambar ini tiada kena mengena dengan cerita di bawah
sila rujuk captionnya di bawah :)
Gambar ni di ambil dekat Felda Sg. Berang, Perak. 
Cerita tong deram yang kaksu rakamkan dalam petikan ini ialah ketika kami tinggal
di Changloon beberapa tahun kemudian.



-:: Cerita Tong Deram ::-
Ketika kaksu duduk di Changloon, bulan 12 ni adalah musim kemarau yang panjang (aduhai, dah berapa kali nak diulang-ulang). Selain itu, bulan dua belas juga ialah bulan abah meniaga tong deram. Nak buat apa? Kenapa tong deram? Sekejap-sekejap... kaksu kena mulakan dengan mukadimahnya dulu...

Sebab air tak ada. Tanah kering kontang. Emak selalu aja tak beri kita basuh pinggan selepas makan takut air habis. Yalah, budak-budak basuh pinggan... tentu aja kita main sabun dan air aja yang pandai. Yeyeye, semuanya emak yang buat, sebab nak jimat air. Malah kadang-kadang termasuk beri kita adik-beradik mandi ramai-ramai... tapi kaksu sudah di darjah enam (ada pengecualiannya).

Tahu tak? Ketika itu kita cuma TIGA pilihan:
a) Guna air telaga... telaga tu memang ada dekat-dekat situ; tetapi rumah kaksu di "Kampung Baru" (tahukan maksud kaksu). Kalau tak tahu... hai... kenalah merujuk semula buku sejarah semula. Kalau nak menumpang rumah pegawai pertanian yang cantik dalam pagar  tu dia saja yang ada telaga pam pun boleh. Tapi emak kaksu malulah pula. Kita ni kan ramai beradik dan nakal-nakallah pula.

b) Boleh juga tunggu dua tiga hari sekali lori JKR datang bawa bekalan air bersih. Kita beratur untuk angkut air... kita isi di mana-mana aja... dari sebesar-sebesar bekas sehinggalah sekecil-kecil bekas. Kita juga boleh mandi depan tu 'siap-siap' dan kita dilarang untuk jadi comot-comot lagi sehingga ke malam. Orang JKR tu memang baik, dia akan halakan hos airnya ke arah budak-budak di situ. Kaksu tidak terlibat ya! Ibu-ibu semuanya berharap agar anak-anaknya tidak payah mandi sampai dua tiga hari lagi ahaks... sehingga lori JKR datang lagi.

c) Paling-paling kita boleh pergi ke sungai tiap-tiap petang... angkut air, mandi manda... dan boleh pergi dengan jip abah (beli murah dari orang tak ada pintu 'part' ni yang buat mak tak suka kita ikut abah takut anak-anaknya jatuh seorang demi seorang sebelum sampai ke sungai ataupun sewaktu balik)

Jadi pilihan keluarga kaksu tentulah yang (b) dan (c) aja. Ketika itulah abah kaksu datang dengan idea untuk menjual tong deram yang dibeli dari kedai keling botol** entah di mana. Tauke gudang tong deram tu akan mai hantar dengan lori.

Hahaha lalu tong deram besar-besar dan banyak penuh laman rumah (tapi belum basuh lagilah).... membuat rumah kita ganjil dari rumah orang. Adik-adik kaksu suka main-main dekat situ.... Kaksu terasa macam cerita Ali Baba Bujang Lapok lah... sebab ada banyak tong deram kat rumah.

Lalu orang akan pilih dan beli. Kadang-kadang ada juga tong deram dari plastik. Abah kaksu memang suka meniaga, tetapi selalunya tidak menjadi Kaksu tidak pernah tahu... bisnes abah sukses ke tak, sebab selepas tu... tak ada lagi aktiviti jual tong deram. Agaknya sebab tu lah dua tiga orang anak abah sudah sebesar tong d***m... ahaks


ANEKDOT:
*maaf guna istilah ni, yang diperdebatkan ramai... sebab ketika itu memang orang cakap macam tu :(


** Caption gambar
Adik penulis, Nanan tak nampak dalam gambar ini sebab kita tolak dia kat bawah.  Nasib baik tidak lemar.  Sebab??? Sebab kita yang nak bergambar lebih.  Ada satu pic lagi dia ada. hahahah. Dulu kan peghak sikit. lani kalau orang ajak bergambar, ampun tak mau. kita kan tak fotogenik dalam gambar... dulu self confident lebih kot? Yang putih sikit tu... abang penulis, dan yang comot, gelap dan nakal tu ialah penulis.  Gambar diambil semasa penulis belum bersekolah lagi. 

sekarang di Kedah musim kemarau sudah tak ada dan sudah tiak menentu.

[Bersambung]


Posted at 02:28 pm by noorsuraya
Comments (6)  

Previous Page Next Page