Rumah Kecil Tiang Seribu
usah merinjis awan dalam renyai yang merintik... usah menginai gelap malam dengan ungu warna pelangi





TANAH ANDRIYANA (2002) diterbitkan oleh CESB



Sebahagian dari cerita-cerita leluhur mereka Raden Andriyana - Ahmad Fitri diungkap semula pabila Aliya, terserempak semula secara tidak sengaja dengan saudara pupunya, Fitri Hadi... dalam suasana penuh dendam, curiga dan benci. Setelah berpuluh tahun berlalu, kenapa persengketaan keluarga ini tidak pernah luak?
Mungkinkah sejarah sedih bisa berulang ataupun cinta sebenarnya seindah pelangi yang terpamer selepas hujan



GURINDAM JIWA: HATI ANDRIYANA (2007) diterbitkan oleh Jemari Seni Publishing



Tetamu
ke



Rumah Kecil Tiang Seribu
sejak 18 Mei 2004



NOOR SURAYA



<< October 2009 >>
Sun Mon Tue Wed Thu Fri Sat
 01 02 03
04 05 06 07 08 09 10
11 12 13 14 15 16 17
18 19 20 21 22 23 24
25 26 27 28 29 30 31

E-Novel
NYANYIAN TANJUNG SEPI (2005)

Oleh: Noor Suraya


NYANYIAN TANJUNG SEPI (2006) diterbitkan oleh CESB



Dang Bersaudara
[Amai][Anis][Ayang][Inoi][Jijah][Kalas][Sari][Nila]


Tukang Ulas Novel
antubuku
novelcintamelayu
perca
seribu satu malam
ANTOLOGI CERPEN
Buat Menyapu si Ayer Mata


E-Novel


KERANAMU AIN... (2001) diterbitkan oleh CESB


"Bagaimana aku nak berkahwin dengan orang yang aku tidak cintai, Ain? Fahamilah aku, Ain, jika mencintaimu membawa hukuman mati... aku sudah lama mati."
[Nik Ahmad Adam]




BIRU UNGU CINTA (2003) diterbitkan oleh CESB



"Seandainya terus mencintai Seera adalah suatu dosa... ampunilah keterlanjuranku itu, Tuhan. Sekiranya tak dapat mengasihani Dayang itu suatu kesalahan... ampunilah ketidakupayaanku itu, Tuhan."
[Abdul Fattah]


RINDUNYA KIAN MEMBARA (2004) diterbitkan oleh CESB



"Pabila berkata tentang cinta,
angin pun seakan-akan lupa melepaskan dinginnya; mentari seolah-olah cuba menyembunyikan pijarnya; bulan pula jadi malu-malu untuk mengintai bintang-bintang; angin silir jadi berhenti mendesir; dan kita?
Kita... bagaikan tidak teringin jadi dewasa...."
[Dr Farhana Haji Abu Bakar]



If you want to be updated on this weblog Enter your email here:



rss feed


 
Tuesday, October 20, 2009
Ucap Selamat buat...
Dato' Dr Anwar Ridhwan ~ Sasterawan Negara ke-X

"Aku akan tebarkan jala ini ke atas dunia. Aku yang mendapat segala-galanya yang baik dan yang buruk. Yang baik aku letakkan di sebelah kanan. Yang buruk aku asingkan di sebelah kiri." (Hari-hari Terakhir Seorang Seniman, hlm. 167)

 

I

Sepuluh tahun dahulu, kaksu mendapat surat daripada Sasterawan Negara ke-10 ini,  bukannya sebab apa-apa pun, hanya prosedur biasa daripada DBP bahawa mereka membayar separuh daripada honorarium cerpen kaksu Burung Kenek-kenek Warna Merah Hati...? dalam Antologi Laman Opah yang memenangi Hadiah Penghargaan Mobil-DBP (1998).

 

Honorarium itu tidak la seberapa, tidak sampai dua ratus ringgit pun... sebab kaksu berkongsi dengan beberapa pemenang lain, mulai daripada pemenang Hadiah Utama sehinggalah Hadiah Penghargaan, apatah lagi... para penyumbang karya (kami) dalam antologi tersebut sudah pun mendapat ganjaran hadiah daripada syarikat minyak itu, tahun sebelumnya.

 

Pada kaksu... yang lebih menguja... tandatangan Dr. Anwar Ridhwan pada kertas makluman itu. Mungkin sudah beribu-ribu surat-surat yang Dr. Anwar Ridhwan tandatangani, dan beliau tidak pernah menduga pun... di hujung Malaysia ini ada seorang yang terlebih gembira, kerana mendapat tandatangannya itu.

 

Kaksu menyimpan surat tu untuk beberapa tahun, hanya kerana tandatangan itu datangnya daripada penulis tersohor, dan penulis itu menjadi salah seorang penulis yang kaksu senangi. Tandatangan daripada pen berdakwat hitam itu, terserlah wibawanya. Waktu itu, kaksu belum pun menulis novel, maksud kaksu novel yang bercetak pun. Menulis untuk suka-suka dan sembunyi-sembunyi tu ada la. Jadi apa-apa yang berkaitan dengan dunia sastera menguja kaksu.

 

II

Sepuluh tahun kemudian, Kak Ajah datang dengan peluh di muka. Matahari di luar terik sekali. Kaksu menunduk memandang Cik Merah Jambu... tidak melihat apa yang ada di tangan Kak Ajah.

 

"Kaksu, ada kad jemputan daripada DBP ni... bukalah saya nak tahu apa bendanya! Suspens ni."

Dalam hati kaksu, tentulah surat jemputan untuk program Munsyi Dewan, paling-paling pun jemputan untuk meramaikan majlis Persatuan Linguistik agaknya.

"Hal Munsyi Dewan la tu," kata kaksu. Mata masih pada Cik Merah Jambu.

"Kaksu bukalah..." kata Kak Ajah lagi. Tak pernah Kak Ajah jadi teruja begini. Hairan.

 

Tanpa melihat sampulnya yang khas dan cantik itu, kaksu merobek sampulnya.

Tapi setelah dibuka, ternyata... buah cempedak telah betul-betul menjadi nangka!

Patutlah Kak Ajah suspens sejak tadi. Di luar sampulnya tadi, sudah tertulis jemputannya berkaitan dengan apa.... Patutlah!

 

Tidak pernah sekalipun kaksu pernah bermimpi yang kaksu  akan mendapat jemputan ke majlis berprestij begitu. Aduh, penulis kecil (walaupun sebenarnya 'besar') seperti kaksu ini mendapat jemputan begini! Kaksu tak kenal sesiapapun, macam mana nama kaksu boleh tersenarai. Rezekilah... ooo atau mungkin juga kerana kaksu seorang Munsyi Dewan, makanya kaksu mendapat jemputan. Itu yang nyata... bukannya kerana kaksu ini penulis novel picisan ahaks. Mana mungkin kaksu si cacing berani menjadi naga, si gagak bercita-cita menjadi merak dan anak itik hodoh ingin jadi angsa! Ahaks.

 

Aduhai, rasa seronok itu terbawa-bawa. Esok, janganlah ada apa-apa aral yang melintang untuk kaksu hadir ke Hotel Palace of Golden Horses. Amin.

 

III

Sudah lama kaksu mencari novel Hari-hari Terakhir Seorang Seniman, dan sewaktu Pesta Buku Selangor 2009 baru-baru ni, kawan Enche Housmate yang bekerja dengan syarikat penerbitan berjaya mencari buku itu dalam stor syarikat itu. Mereka jual dengan harga murah, dan stok terakhir (?) katanya. Kaksu seronok bukan kepalang, mendapat naskhah berharga itu, dan kaksu terus membaca pada hari itu juga.

 

Sedari dahulu kaksu menyenangi tulisan Anwar Ridhwan walaupun tidak banyak yang dapat kaksu baca, kerana karyanya sukar didapati. Tinggal jauh di utara tanah air menghalang kaksu daripada memperoleh karyanya. Bagaimanapun tokoh ini dan karyanya pernah kaksu kaji untuk kertas Kesusasteraan Melayu di tingkatan enam. Kaksu suka bahasanya yang 'lembut', cermat dan tertib... dan yang paling penting unsur-unsur budaya yang dibawa dalam karyanya. SN Usman Awang dan T. Alias Taib serta SN Muhammad Haji Salleh memiliki ciri bahasa yang indah dan lembut ini.

 

Hari-hari Terakhir Seorang Seniman, adalah karya Anwar Ridhwan yang memenangi Peraduan Mengarang Novel anjuran Yayasan Sabah-Gapena II pada tahun 1979. Banyak karya-karya terbaik lahir daripada peraduan menulis ini. Wah, dalam otak sekarang sudah berbaris dua tiga novel daripada peraduan ini yang belum kaksu khatam. Betullah, peraduan anjuran Yayasan-Sabah ini memang berprestij.

 

Minggu ini, adalah minggu membaca karya Anwar Ridhwan... malam esok, 20 Oktober 2009 kaksu akan turut meraikan Majlis Penganugerahan Sasterawan Negara ke-10 itu. Majlis jemputan TPM ini dan akan disempurnakan oleh YDA Tuanku Mizan. Kaksu harap boleh cari tempat duduk yang strategik, agar dapat kaksu catat bahasa yang indah-indah dalam majlis itu. 

 

Walaupun tiada siapa yang minta pendapat kaksu, namun secara peribadinya, kaksu ingin bercakap juga... kaksu rasa inilah pilihan yang paling tepat... sudah waktunya sastera negara mengiktiraf Dato' Dr. Anwar Ridhwan.

 

Memang tidak dinafikan ada desas-desus yang mengatakan, pemberian anugerah ini... hanya kerana ingin menutup mulut beliau yang lantang memperjuangkan isu PSMI dulu tu. Melihat pada profil beliau dalam bidang sastera dan sumbangan beliau dalam bidang yang kesusasteraan ini; rasanya semua dakwaan itu bagaikan tidak berasas, kan!

 

Catatan:

  1. Al-Fatihah untuk sasterawan Malaysia yang telah pergi... sapuan warna-warna mereka telah mengindahkan dunia sastera tanah air.
  2. Kalau rajin, kaksu akan buat laporan lintas langsung dari sana ya.
  3. Kak Ajah, kaksu akan tolong makan bagi pihakmu... Sayang Sarawak muaranya sempit, buah rengas lagi berbunga...  
Posted at 01:08 am by noorsuraya
Comments (7)  

 
Saturday, September 05, 2009
Inilah Buah Hati... Noor Suraya
Siri Adiwarna


               (a)                                    (b)                                    (c)

Berangan-angan sewaktu kecil, membuat kaksu dapat menulis tiga buah cerita ini. Walaupun ketiga-tiga cerita ini kaksu ambil masa seminggu untuk siapkan (dengan bantuan Enche Housemate sebagai tukang taip diraja) -- tetapi cerita (a) dan (b) itu; kaksu tulis sewaktu di darjah enam lagi. Sayangnya, cerita itu hilang sewaktu keluarga kaksu berpindah-randah, sebab abah sentiasalah bertukar tempat kerja ke sana sini.

Bagaimana syukurlah, kerana kaksu berpeluang untuk ubah suai semula dan edit untuk mengikut waktu sekarang. Lalu, cerita ini memang 'sah' dihasilkan oleh seorang kanak-kanak dan kemudiannya, apabila kanak-kanak itu meningkat 'dewasa dan menjadi tua' dieditnya menjadi lebih matang dan penuh informasi.

Cerita (c) cerita baharu. Kaksu tulis sewaktu kaksu berada di Sibu, Sarawak (1995) lagi, dan ketika kaksu masih menjadi cikgu dahulu. Terima kasih untuk Kak Roslina Abdullah (Setiausaha, di Foundation Studies, KDU) yang baik hati dan tolong mengubah hasil typewritter itu ke komputer... Kak Ros terima kasih ya...:)

Sewaktu kaksu mengirim ketiga-tiga cerita ini ke DBP pada tahun 1995 (dengan manuskrip yang bertaip dengan mesin ketik itu), cerita ini sudah terpilih pun untuk diterbitkan. Tetapi faham-fahamlah birokrasi di DBP itu bagaimana. Sewaktu kaksu dipuji-puji oleh mereka untuk karya-karya kecil ini, hidung jambu air kaksu sudah kembang kepis 'gumbira' dalam malu-malu. Kemudiannya, kaksu punyalah menunggu bila la akan diterbitkan, sampailah... kaksu menelefon dan bertanya pegawai bahagian itu, sama ada jadi terbit atau tidak, jika tidak kaksu ingin menghantar ke penerbitan yang lain.

Lalu, pegawai berkenaan berkata, lebih kurang la... "Kami memang hendak terbitkan, tetapi kerana saudari ingin mengambil kembali, jadi kami akan pulangkan."

Sedih, sedih. 'Ugutanku' kecundang rupanya. Padahal waktu itu tidak tahu pun ke mana harus dihantar manuskrip ini kecuali kepada DBP. Sewaktu parcel manuskrip yang dipulangkan (oleh DBP) itu tiba, kaksu bertanya pada diri kaksu adakah kaksu ini tidak cukup sabar untuk menunggu? Cerita selepas itu semakin tragis... dan alhamdulillah, buku-buku kecil ini akhirnya membuka peluang kepada lahirnya, JEMARI SENI PUBLISHING. [Bacalah jika sudi]. 

Rupa-rupanya 'tidak jadi terbit' di tiga penerbitan yang berbeza itu ada hikmahnya yang tidak terduga, kan! Syukur sangat. Alhamdulillah.

Setahun dua yang lalu, sewaktu kaksu terserempak dengan pegawai DBP yang terlibat dengan penerbitan buku kanak-kanak (Projek PURNAMA) -- tiba-tiba dia bertanya, "Buku yang cerita tentang arkeologi, yang budak-budak pergi Gua Cha tu masih ada?" Dia masih ingat manuskrip itu pernah masuk dalam projek untuk diterbitkan, sebelum dia UK sambung pelajarannya. Tetapi setelah dia kembali, dia tidak nampak buku itu pun.

Chewah, setelah bertahun-tahun dia masih ingat. Terharunya :) selepas berbelas tahun, dia masih ingat. Dia suruh kaksu hantar untuk diterbitkan, kerana DBP menghirupkan semula Projek Pernamanya, kerana khalayak sudah ketandusan novel-novel untuk kanak-kanak. Waktu itu kaksu dah berura-ura nak terbitkan sendiri, dengan Jemari Seni Publishing tentunya. Walaupun tidak tahu bila akan diterbitkan. Aduh, buku hendak lawan dengan Play Station 2, 3... siapalah yang akan menang :( kan? Sudah terang lagi bersuluh :( 

Kaksu rasa ibu bapa juga harus beri komitmen untuk galak anak-anak membaca. Kena memberi waktu untuk mereka sudahkan novel kanak-kanak, dan masa untuk bermain PS2, PS3 atau apa-apa 'game'. Sebab kalau kita hilang generasi membaca dalam kalangan kanak-kanak sekarang, apa akan jadi dengan industri buku pada masa akan datang (hahaha... kaksu sedang congak untuk rugi industri buku negara ahaks -- almaklumlah, orang meniaga).

Pada kaksu (yang tidak pernah jadi ibu) membiarkan PS2, PS3 menjadi 'baby sitter' sahaja, adalah tidak sihat. Sebab mesin tidak berupaya menjadi elemen untuk membentuk rohani -- kecuali sifat ingin menang yang tidak sihat sahaja. Nilai murni hanya dapat diterapkan oleh bahan bacaan, berbanding 'program' yang tiada rohnya. (Cis, adakah kaksu sedang memaksa orang membaca Siri Adiwarna, ini? Dengan mengada-adakan polemik di sini? Oh, tidak! Ini betul-betul!!!)

Cerita kanak-kanak 'tiga beradik' ini ada nilai sentimental yang tak terucap. Ia bercerita fasal zaman kanak-kanak kaksu yang manis. Zaman yang kita tidak pernah 'cukup-cukup' walaupun sudah berpuluh-puluh buku Enid Blyton kita khatam. 

Cerita ini, memang kuat berbau Enid Blyton -- tetapi ditulis dalam budaya Melayu dan cara hidup Islam. Selamat membaca, inilah buah hati kaksu... tiga buah cerita daripada NOOR SURAYA.

ps: Terima kasih Kak Ajah, merealisasikan harapan kaksu...
       Untuk anak-anak yang menunggu, akan menyusul entah bila cerita, Kelab Sarjana: Misteri Rumah Api di Tanjung Pandan.
_______

Catatan:



Inilah ini Enid Blyton -- cerita tentang dia akan difilemkan tahun ini. Dari waktu sekolah, terutamanya di tingkatan satu dan dua, kaksu selalu berharap kaksu dapat menulis cerita kanak-kanak sepertinya.

Apabila remaja sedikit lagi, kaksu juga ingin menjadi penulis seperti Khadijah Hashim dan Adibah Amin.

Apabila semakin dewasa lagi, kaksu semakin menambah bilangan novelis pujaan. Membaca dan menulis adalah dua perkara yang tidak dapat dilafazkan dengan kata-kata.

TAHNIAH untuk Saudara Aidil Khalid (Bila Nysrah Kata Tak Mahu, terbitan Jemari Seni Publishing) yang novel bersirinya berjudul Dengan Tinta akan mulai disiarkan di Berita Harian, mulai esok 6 September 2009.
   
Posted at 07:35 am by noorsuraya
Comments (8)  

 
Tuesday, September 01, 2009
Anjung Mak Cik Raja - [4]

Salam buat saudara yang dikasihi,

 

Sewaktu kaksu masih kecil, waktu gagak masih berwarna putih... (fuh, ini peribahasa ya... untuk menunjukkan masa sudah berlalu begitu lama J zaman dahulukala la), rancangan televisyen tak ada banyak seperti sekarang ini. Jadi waktu untuk anak-anak membaca lebih banyak daripada anak-anak 'zaman gagak berwarna hitam' ini ahaks. Waktu itu tanpa perlu disuruh dipaksa pun, kita sudah tahu pun konsep Satu Malaysia. Sebab orang menonton cerita yang sama kerana saluran TV hanya ada dua sahaja. TV1 menjadi saluran propaganda yang ulung. Mudahkan.

 

Teringat waktu itu, segala jenis cerita kita hadam. Berita (nama lamanya, Warta Berita) pun kita tonton. Tetapi rancangan Peristiwa lebih kaksu suka. Peristiwa ialah rancangan seminggu apa yang terjadi di Malaysia. Rancangan ini ada rakaman gambar-gambar peristiwa... dengan latar orang bercakap di belakang tabir. Tapi kalau ada rancangan Peristiwa Khas, lebih menarik, sebab kita dapat melihat negara orang. Biasanya kalau Pak Menteri, atau Yang di-Pertuan Agong melawat ke mana-mana negara, atau benua ada la edisi khas tentang itu. Begitu juga kalau ada pembesar asing yang melawat negara kita, ada la rancangan Peristiwa itu. Melopong aja kita seluruh keluarga menyaksikannya dalam TV hitam putih. Itu tidak termasuk perkahwinan diraja, permakaman diraja dan macam-macam lagi. Melangut sahaja kita (dengan kebenaran) depan TV seisi keluarga.

 

Kaksu masih ingat lagi sewaktu mantan PM, Tun Abdul Razak meninggal dunia. Tok siap bawa pinggan mangkuk dan rice cooker – makan tengah hari depan TV di tingkat atas rumah sebab tak nak lepas mana-mana peristiwa siaran langsung. Peristiwa itu menjadi acara keluarga. Sekarang cuba cakap berapa orang berminat untuk melihat Pak Menteri dan Agong jalan ke mana-mana tanpa memikirkan (mereka jalan dengan duit rakyat ke... sadis kan?) tetapi itulah kenyataannya. Sekarang ini, kematian orang-orang besar bermakna ada cuti percuma untuk rakyat, bukan? Masa berlalu, sukar untuk mengikat hati rakyat J lagi.

 

Waktu dulu kita seronok sahaja dengar Andre Goh menyanyi, kita tahu dia tu orang Cina... tetapi kalau suaranya sedap mengalunkan irama Mas Merah dengan fasih dan lunak aja lagu aslinya, pujian harus dipuji. Apalagi waktu Andre Goh berduet dengan penyanyi lemah gemalai – Suhaili Shamsudin tetapi bersuara serak sikit itu. Kan kaksu cakap dah, sejak dulu lagi konsep Satu Malaysia sudah wujud, tanpa perlu slogan. Kita suka sahaja Param (dah meninggal baru-baru ini), Ayapan. Kita ralit aja menonton Drama 4 Sekawan dengan melihat pelakon Cina yang gebu dengan rambut set sebesar perahu (ini bukan kutukan ka, ini compliment la).  Semakin dewasa, kita disajikan dengan pula kumpulan Alleycats, Kenny Remy Martin dan macam-macam lagi kumpulan – yang campur pelbagai bangsa pun ada. Kita minati lagu-lagu mereka, sebab mereka tu orang Malaysia.    

 

Teringat pada kawan-kawan kaksu di KDU Penang dulu, Selina Rogers Nair, Jacquline Chuah dan Ewen Yeoh. Kami sering kami berkongsi cerita TV dulu-dulu yang hampir sama, sambil ketawa mengilai (mengikut Kamus Dewan Edisi 4, ejaan yang betul ialah, mengilai-ilai). Teringat waktu itu tentang rancangan Hiburan Malam Minggu dulu-dulu. Mereka juga kenal dan suka segala Uji Rashid, DJ Dave, Sudirman... apa lagi kalau cerita-cerita Melayu. Apa-apa lagi kalau cerita P. Ramlee. Hairankan, apa yang sudah terjadi sehingga slogan Satu Malaysia harus kita gimik semula... siap dengan pertandingan lagu segala.

 

Kaksu rasa itu dinamakan 'devide n rules'  oleh bangsa sendiri... kesan daripada adanya aliran-aliran berbeza dalam semua aspek, selain daripada dasar pendidikan yang telah  dipecahbelahkan semula. Semakin lama kita semakin menjauh, dan perlu disatukan oleh satu slogan. Padahal sistem pelajaran vernakular (yang suatu waktu dahulu membahagi rakyat Malaysia kepada lima aliran berbeza) sudah hampir berjaya kita pecah-pecahkan melalui sistem pendidikan yang seragam, melalui Dasar Pelajaran Kebangsaan 1979, yang inti patinya daripada Penyata Razak dan Ordinan 1957. Aduh, kenapa ya Pak-pak Menteri yang anaknya sudah tentu belajar dari luar negara itu tidak pernah mahu mengerti nurani rakyat yang lebih sayangkan negara ini, rakyat yang lebih kuat pula jati dirinya, fahamilah apa yang 'mereka' mahukan.

 

Ura-ura atau benarkah, PSMI akan diteruskan sehingga tahun 2017. Tahukah mereka bahawasanya dengan P&P Matematik dan Sains dalam Bahasa Kebangsaan, kita telah melahirkan begitu ramai doktor dan jurutera. Tahukah mereka bahawasanya mempelajari konsep sains dan menterjemahkannya dalam bahasa Inggeris dalam peperiksaan itu, tidak semudah bermain PS3? Terasa ingin sahaja mengajak penggubal dasar mengarut ini duduk di dalam kelas, dan melihat apa yang terjadi. Sudah-sudahlah membaiki labu, kalau sudah tahu kita tidak pandai membaikinya. 

 

Semalam, baru sahaja mendengar Prof E Ulrich Kratz [1], dari Faculty of Language and Culture Studies  dari Universiti of London yang bercakap dengan fasih bahasa Melayu (loghat ala-ala Indonesia) tentang bangsa Melayu berpecah kerana terhapus tulisan jawi, betullah tu... bahasa jiwa bangsa. Dokumentari mengenai aksara Melayu itu, banyak berbicara mengenai kegemilangan bangsa Melayu kerana bahasanya. Pak-pak Menteri menonton tak, saluran History petang semalam? Kalau hal bahasa masih gagal kita selesaikan, tak mustahil bangsa ini juga akan hilang kan? Aduh, terasa kajian kaksu mengenai manuskrip lama waktu menyempurnakan sarjana linguistik dulu menjadikan kaksu sadis begini...

 

Aduhai... padahal suatu waktu dahulu, Nusantara pernah disatukan melalui bahasanya... negara tanpa sempadan sehinggalah penjajah memecahkan kita menjadi kerajaan yang kecil-kecil (Tanah Melayu, Indonesia, Brunei... ) khususnya selepas Perjanjian Inggeris – Belanda 1824... jadi kecil dan kecil sehingga ada sekecil semut pun ada.

 

Opps, Anjung Mak Chik Raja ini bercakap fasal lain pula....

 



[1] Kaksu telah bandingkan himpunan tulisannya untuk kajian sarjana kaksu:
Gallop, A.T dan Kratz, E.U.  (1994).  Warisan Warkah Melayu.  London: British Library. 

 

Catatan:

Kata kawan kaksu yang menjadi pensyarah kesan daripada P&P Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris, jumlah graduan Perubatan menyusut sebanyak 70% - kalaulah statistik dapat berbicara, maknanya selama 6 tahun ini, kita sudah kerugian berapa ramai anak-anak Melayu yang berpotensi untuk menjadi doktor kan? Adus... jeling dekat 'Dr. Luthfil Hadi' dan 'Dr. Syarifah Hannan Sofea'

 

Tertarik untuk memetik (dengan izin) cerita 5 Tahun 5 Bulan (halaman 346) tulisan Hlovate terbitan www.jemariseni.com sebagai renungan: 

"Bukan Along kata degree kat sini cikai.... Along tak dapat nak bayangkan je kalau kau orang nanti nak kerja kat Malaysia nanti macam mana. Nak bercakap dengan pesakit macam mana. Dah kat sini berabuk dengan Scottish accent, balik Malaysia nak pakai bahasa apa?"

"Bahasa Melayu la." Empat pasang mata sama menjuling ke langit. Fail logik betul Along ni. Takkan nak pakai bahasa Zulu kut. Hanya Noni si engineer yang ketawa menggeleng.

Afiq sengih sumbing. "Betul pakai bahasa Melayu, eh?"

"Dah tu..."

"Apa 'palpitation' dalam bahasa Melayu?" Afiq mengangkat kening merenung empat bakal doktor muda di keliling meja itu. Sekilas dia mengukir senyum mengusik ke arah Jo.

Senyap. Tak ada yang menjawab. Semua berkerut dahi memikir.

"Ana? Palpitation?"

Jo cuba menahan muka dari beriak. Palpitation tu ala-ala apa yang saya tengah rasa apabila Along tengok saya gaya macam tu lah. Mangkuk tingkat betul la Along ni! "Palpitasi." Ujarnya selamba.

Ketawa pecah di meja itu tanpa tertahan hari itu.

"Palpitation... palpitation..." Jo memetik jari sambil memandang siling malam ini. "Betul jugak apa yang Along kata tu. Kalau patient macam nenek aku, takkan aku nak tanya dia 'makcik ada rasa palpitation atau palpitasi atau apa-apa seumpama dengannya'. Mau kena baling terompah sebab cakap bahasa orang tak faham."

Aie menggaru pelipis. "Jantung dup-dab-dup-dab... jantung main aci kejar...." Dia turut mencari kata yang sesuai. "Palpitation..." Telunjuk menggosok dagu pula. "Berdebuk-debuk..." Apa lagi... "Hah!"

"Apa!"

Muka Aie sudah ala-ala Isaac Newton bertemu idea graviti di bawah pokok epal. "Berdebar-debar." Serius dia menuturkannya.

Jo terkedu. Ek?

Seketika ruang bilik itu sunyi.

Ketawa pecah bagai nak gila. Jo dah terhinggut-hinggut dengan muka di kepala Bart Simpson, cuba menahan agar ketawanya tak mengejutkan Iyan dan Noni yang sudah lena. Si Aie sudah berguling-guling ketawa di atas katil.

"Kau... kau..." Tercungap-cungap Jo menarik nafas dengan ketawa masih tak berhenti. "Kalau Nik Safiah ke Awang Sariyan tau ni... mau jadi isu kat DBP. Berdebar-debar...?" Ketawa Jo pecah lagi.

Posted at 08:42 am by noorsuraya
Comments (7)  

 
Thursday, August 27, 2009
Anjung Mak Cik Raja - [3]

MORAY *

 

Salam,


Kalau di sebelah utara, dulu-dulu majlis berbuka puasa tak ada yang dibuat formal-formal di masjid macam sekarang ni. Kalau ada pun, ada la tok siak, tok bilal, dan siapa-siapa yang bawa makanan sendiri untuk berbuka di masjid. Dulu-dulu (dengan ampun), kita selalu syak tok bilal selalu sahaja berbuka puak-puak depa (setiba waktunya) sebelum mereka mula azan, atau pukul beduk untuk orang kampung berbuka pula.


Jahat kan? Kerana kita ada fikiran camgitu. Mamak kaksu la, dia la selalu cakap macam itu. Biasalah, kita orang pun main percaya aja kat Mamak. Dan depan rezeki dok tuduh tok bilal makan dulu. Waktu itu walaupun ada jam, entah kenapa kita tunggu juga azan atau beduk. Namun kemudian kaedah memukul beduk (mungkin beduk dah rosak, sebab kulit lembu tu dah tersangat kering?)... digantikan dengan bunyi siren bomba dari pekan. Ajaib, dengar aja bunga siren tu walaupun jauh dari kampung kita. Sejak guna siren bomba, tak ada la kita si budak-budak kecil ni merungut tak puas hati ahaks.

 

Ya la, waktu itu... puasa kita hanya tahu tak boleh makan dan minum, dan korek hidung. Jangan main dam, dam ular, congkak, lama-lama nanti makruh. Mandi lama tak boleh, mandi dengan buka puasa (lepas Asar) tak boleh - makruh. Baca buku memang digalakkan la, kalau kita baca mukaddam kita sangat disayangi tok. Kadang-kadang tu sampai tak ada sebab dah nak habiskan waktu puasa yang panjang, lalu kita main 'kira-kira' (bukan matematik) warna kereta yang lalu lalang depan rumah la, main buka buku tebal dan kira-kira angka. Fuh, waktu tu terasa waktu berpuasa panjangnya, panjang macam musim panas di England ahaks.  

 

Oh, kembali semula fasal makan malam di bulan puasa tu. Selalunya selepas solat tarawih ada jamuan kecil yang kita panggil 'moray' (sebutlah cara Inggeris, suku kata pertama, 'more', dan suka kata kedua 'rare'). Budak-budak bukan main suka ke masjid sebab boleh makan di masjid.  Budak-budak dulu macam lapar sahaja, walaupun sudah makan segudang makanan waktu berbuka, kan? Terasa sewaktu kecil perut kita ni elastik macam plastik (opocot, plastik ya... bukannya palestin), boleh aja isi sebanyak mana. Adik kaksu, Nanan... tiap-tiap kali lepas makan berbuka puasa kita kena ambil senduk (dan pura-pura cedok balik), sebab terlebih makan dan minum.  Esok dia tidak insaf, dia makan banyak balik ahaks.

 

Oh ya fasal moray tu... siapa sahaja boleh awal-awal lagi 'booking' tarikh mereka hendak buat kenduri (moray) tu.  Sila beli perhatian, ejaan yang sebetulnya untuk kenduri ini mengikut Kamus Dewan Edisi 4 ialah = moreh J 

 

Punyalah ramai orang berebut la nak pilih hari, kadang-kadang kita tak boleh tempah tarikh sudah. Tok selalu akan tempah, dan jadikan jamuan itu untuk disedekahkan pahalanya sebagai kenduri arwah. Tetapi tok selalu buat nasi. Makanannya boleh apa sahaja daripada mihun, laksa, nasi, roti canai. Dulu-dulu orang Melayu tak pandai lagi buat roti canai yang sedap, tak ada pun orang Melayu yang jual roti canai. Jadi siapa yang hendak buat moray roti kena pesan roti canai daripada Restoran M*nila di pekan SP tu la. Lepas tu, timbul la cerita kononnya, orang roti canai tu uli roti canai dengan kaki la pulak. Cheh, ada-ada aja kan!  

 

Tetapi sebenarnya apabila masuk bab moray, semua orang sebenarnya ternanti-nanti jamuan peniaga India-Muslim Sungai Petani (kita panggil Moray Masjid Rahman - iaitu masjid jamek yang menjadi markas para peniaga India-Muslim la) sebab mereka akan pilih setiap malam 27 Ramadan setiap tahun. Dan hidangan mereka semestinya beriani. Jadi masjid besar tu, bersedekah pula kenduri ke masjid kita: Masjid Kampung Raja. 
 

Dulu kecil-kecil kaksu dan Laili (adik kaksu), kita jarang ke masjid untuk tarawih.  Tidak pernahlah anak cucu perempuan dibenarkan jalan malam walaupun dengan alasan untuk ke masjid. Namun begitu, sesekali tok bawa juga. Tetapi tok selalu 'tak puas hati' sebab kaksu selalu tidak boleh rukuk dengan betul. Ini kerana, kaksu ada masalah tulang belakang sedari kecil. Rukuk kaksu tak pernah sempurna, tak pernah tepat (90 darjah)... tok selalu risau orang ingat tok tak ajar kaksu solat dengan sempurna.

Sehingga sekarang pun, kaksu selalu juga jadi segan bilamana ke masjid orang lihat kaksu rukuk sebegitu. Malah ibu mertuaku pun dok suruh kaksu cuba sehingga boleh, tapi kaksu sudah cuba untuk tempoh sejak dari darjah enam lagi. Tulang kaksu semangnya begitu – kecacatan yang minor. Dahulu sewaktu kaksu hendak isi borang ke universiti, borang apa ke, kaksu jadi serba salah apabila sampai ke ruang sama ada, ada kecacatan ke tak?

 

Itulah, kerana kita tidak dibenarkan ke masjid (dengan maksud lain, mesti budak-budak tak buat tarawih sampai habis, dan nanti berlari dalam masjid sahaja) kita selalu sahaja terliur dengan cerita nasi beriani malam 27 Ramadan tu. Abang dengan Mamak, bukan main segaklah berpakaian dan bertarawih waktu itu. Sebenarnya tok kaksu ada resipi beriani yang lebih lazat (pada rasa mulut kaksu la), daripada yang para peniaga India-Muslim tu. Tapi biasa la, kalau orang lain buat... kita jadi gedik lebih untuk teringin nak makan juga. Tok kaksu ada resipi briyani  dari Rajkot (Gujerat) dari clan kami Limbalya.  Kalau turunan itu dikira ikut sebelah ibu, tentu sahaja sekarang kaksu pakai nama Noor Suraya al-Limbalya (chewah). Tapi kerana nasab semestinya mengikut sebelah abah, jadilah kaksu: Noor Suraya al-Saadi... ajaJ

Hmmm, dah lama tak buat briyani (ejaan mengikut Kamus Dewan Bahasa Edisi 4, beriani) seperti tok tetapi diubahsuai cara kaksu dan Enche Housmate.

p/s: teringat cerita tok tentang nasi beriani kambing, yang nasinya berianinya diisi dalam badan kambing tu. Itu resipi tok yang kaksu belum cuba. Kalau setakat membuat beriani seekor kambing - alhamdulillah sudah pernah cuba dulu, sewaktu di Sibu. 

Catatan:

Terima kasih untuk jiran sepakat membawa berkat yang beri kaksu daging rusa – dan bolehlah Enche Housemate buat Tagine (bukan 'tajin' tepung ubi kayu yang orang buat gam tu tau, ni sejenis makanan Maghribi) yang sedap (mengikut kata mulut kaksu)

Posted at 02:01 pm by noorsuraya
Comments (9)  

 
Monday, August 24, 2009
Anjung Mak Cik Raja - [2]

AIR SARBAT


Salam,

Waktu kecil-kecil dahulu waktu begini sudah berbau la dapur nenek (kami panggil, tok) kaksu dengan segala mak nenek makanan.  Awal-awal begini akan dimulai dengan kuih-kuih yang  harum berbau pandan, misalnya, lopes, buah Melaka, jongkong, cendol, bengkang pandan, seri kaya pandan (orang kedah panggil, serimuka)... paling-paling tidak pun, tok akan jerang air sarbat (ejaan betulnya mengikut kamus Dewan, syarbat tau), tetapi orang luar biasanya akan sebutnya sebagai air sirap aja.

 

Air sarbat tok istimewa sebab, tok ada cara khas untuk menjernihkan gula supaya nampak 'translucent'. Proses R&D tok untuk mencipta gula sirapnya itu dimulai daripada 'try n error' ...  DAN... akhirnya, itulah hasilnya. Yakni, tok akan membasuh kulit telur bersih-bersih, kemudian dicampurkan ke dalam periuk berisi gula pasir, pewarna merah, daun pandan dan rempah. Kaksu tidak ingat jenis rempahnya... sama ada guna buah pelaga? Bunga cengkeh? Atau kulit kayu manis, yang pastinya bukannya bunga lawang.

 

Kenapa kulit telur?

Kotoran gula, akan mudah melekat pada kulit telur itu, dan kemudian semuanya itu akan ditapis buang. Jadilah air sarbat yang jernih, wangi serta manis, semestinya. Tapi kan, sedari dahulu kaksu memang tidak boleh terima konsep tentang masukan kulit telur untuk menjernihkan gula. Tak hanyir ka? Tapi sememangnya tidak pernah hanyir. Bagaimana pula unsur batu kapur (kalsium) pada kulit telur boleh menjernihkan gula ek? Musykil.

 

Dulu-dulu waktu kaksu tinggal di Sibu, jiran kaksu – Tie, isteri Ustaz Ghani juga pandai membuat air sarbat yang wangi dan sedap. Walaupun dia tunjuk betul-betul siap langkah demi langkah untuk kaksu... tentu sahaja bilamana kaksu ulang di rumah, tetap tidak menjadi. Itulah yang orang kata air tangan.

Macam kaksu la, kaksu memang tidak pandai membuat dessert... itu sudah pasti! Air tangan kaksu untuk dessert -- 'out' tak boleh diharap langsung. Mujurlah kaksu jenis yang tidak begitu gemar makan dessert... tetapi Enche Housemate tersangatlah suka. Setiap kali dia akan bercerita betapa sedapnya satu dua dessert yang kaksu pernah buat bertahun-tahun dahulu pada kawan-kawan atau saudara kaksu, buat kaksu malu sahaja. Maknanya, dalam maksud tersiratnya... sudah lama benar (berdekad-dekad?) kaksu tidak membuat kuih yang manis-manis... sehingga dia terpaksa mengingati sejarah akan kerajinan kaksu suatu waktu dahulu ahaks.

 

Semalam kononnya kaksu mereneh sarbat la, tetapi seperti yang diduga – memang tidak sampai tahap ISO tok, malah tidak melepasi kepandaian Tie Ustaz Ghani. Kenapa kaksu buat air sirap? Kerana Enche Housemate dalam dua minggu ini sudah beli dua kilo gula. Aduh, kaksu sudah bertanya kenapa beli gula yang banyak – sebab selama ini hendak habiskan sekilo sebulan pun puas berchenta.

 

Alasannya, semua orang beli – dan semua orang boleh beli maksimum sekilo, jadi Enche Housemate belilah. Oh, tidak... janganlah rumah kaksu diserbu kerana menjadi pusat penyimpanan gula – ala-ala antisorok ahaks.

 

Catatan:

Walaupun kaksu tidak suka dessert, tetapi ada juga beberapa jenis kuih yang berasaskan sirap yang kaksu suka. Kaksu suka agar-agar merah yang lembut, dan juga kuih lidah tok wan.


Lidah tok wan?
Kuih apa tu? Oh, itu ialah kuih sagu yang digulingkan dalam nyiur parut muda. Adik kaksu Laili yang mulakan nama tu sewaktu dia kecil-kecil. Dia pelajari dari tadika. Mula-mula macam geli aje namanya. Sekarang  okey aje... dan semua anak cucu tok kaksu panggil macam tu.

Posted at 02:33 pm by noorsuraya
Comments (11)  

 
Saturday, August 22, 2009
Anjung Mak Cik Raja - [1]

AIS KETUL

Salam,

 

Selamat melangkah ke bulan penuh berkat. Semoga amalan kita pada tahun ini lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya, amin.

 

Melangkah ke bulan Ramadan membuat kaksu teringat pada rumah nenek: 376 – Kampung Raja, Sungai Petani.


No. 376

 

Berpuasa dan berbuka puasa di rumah yang sebegitu ramai penghuninya tentulah tidak sama dengan berpuasa di rumah kaksu sekarang: kaksu dan Enche Housemate. Makan berdua dengan menu yang sedikit – tidak melebihi tiga jenis – supaya tidak ada makanan yang terbazir.  

 

Untuk itu, sempena bulan puasa, kaksu mulakan siri baharu –  Anjung Mak Cik Raja ahaks:

 

Berpuasa pada tahun-tahun tujuh puluhan manakan sama dengan zaman ketika peti ais (boleh dikatakan) ada pada setiap rumah kan?

 

Waktu-waktu petang begini, Abang (abang kaksu, Amir – selamat ulang tahun, 21 Ogos semalam) dan Mamak (bapa saudara kaksu, Harith)... sudah pun lama bertolak ke tempat orang menjual ais batu (orang Kedah panggil, ais ketul sebutan yang sebenarnya, 'aih ketoi'). Kalau terlewat ke sana, maknanya kemungkinan kita berbuka tanpa air ais. Bayangkan kawasan terbuka seluas bilik kecil di rumah kita itu, penuh dengan timbunan ais yang tersembunyi dalam habuk kayu gergaji itu harus menampung bekalan ais untuk seluruh kampung nenek kaksu tu. Si penjualnya ala-ala adventerous la pula kena 'meraba' cari ais yang tersembunyi di bawah serbuk kayu gergaji tu.

Seketul ais batu, dipotong persegi seperti batu-bata untuk buat rumah tu baru sahaja sekupang, dua kupang sahaja. (Opps, kupang = sen)

 

Seperti yang kaksu nyatakan tadi, ais yang dipotong persegi itu, dikambus dalam habuk mesin kayu... untuk mengelaknya daripada cair. Apabila kita beli ais tu, si penjual akan membiarkan sedikit habuk-habuk kayu tu untuk menutupi keseluruhan badan ais ketul, kemudian membungkusnya dalam kertas coklat dan mengikatnya dengan tali. Tali tu pun unik ala-ala mengkuang tak mengkuang. Jadi Mamak atau Abang akan membawa ais tu balik, di belakang basikal mereka.

 

Tempat menjual ais tu sebenarnya dekat aja dengan rumah nenek kaksu, boleh pergi jalan kaki pun... terletak lepas Masjid Kampung Raja – sekarang tempatnya antara kedai minyak, BP dan Petronas tu. Tetapi siapa nak bawa ais jalan kaki, panas-panas petang yang masih muda, bisa membuat ais itu cair. Aduhai nostalgianya.

 

Kalau sampai di rumah, ais ketul tu dibersihkan... buang habuk kayu tu, kemudian dimasukkan dalam pelas yang warna petak-petak (oren-merah-hitam) ala-ala skirt (kilt) orang Scotland . Pelas tu orang-orang sebelah utara beli dari Padang Besar (Perlis) la gamaknya. Setiap rumah mesti ada. Sebuah untuk diisi dengan ais, sebuah untuk diisi dengan nasi panas. Jadi pelas ini tidak boleh bercampur, nanti tahap suhunya akan berkurangan... tidak power lagi. Kalau dah awal diisi dengan nasi, jangan pandai-pandai nak isi dengan ais ketul pula. 

 

Jadi nantinya, Cik Yah, Mak Su Ti (emak saudara kaksu) atau Mamak (selepas Pak Lang berkahwin dan tidak tinggal sekali lagi) akan buat air apa-apa yang sedap untuk berbuka puasa. Biasanya Nenek Lat (nenek saudara lelaki, Abdul Manaf – kita sepatutnya panggil arwah Nenek Nap, tetapi kita panggil dia Nenek Lat sebab dia suka beli cicit-cicit saudaranya, coklat) suka beli aiskrim soda untuk menambah perisa dalam air jus tu. Jadi kita selalu sahaja menikmati jus, tembikai, cucumber cincau yang ditambah aiskrim soda. Waktu itu belimbing besi masih belum ada harganya. Belimbing depan rumah nenek kaksu tu, kita buat basuh ikan -- untuk buang hanyir ikan, atau biar sapi-sapi yang sesat makan sahaja. 

 

Aiskrim soda?

Orang utara panggil air menet aja.  Perkataan menet tu asalnya daripada lemoned mengikut kajian kaksu la. Jangan pertikai kaksu ya, sebab kaksu ni... ada sarjana dalam bidang linguistik ahaks.

 

Tahu tak, air menet masih dijual di Kedah dan Kelantan... kalau balik kampung kaksu atau kampung Enche Housemate, selalu sahaja 'kita' membelinya, tanpa membuang kenyataan yang air menet mengandungi gula sakarin. Ahaks.

Okey, itu sahaja siri pengenalan Anjung Mak Cik Raja. Rindunya suatu waktu dulu. Semoga Allah mengampuni dosa-dosa kita, dan juga dosa-dosa mereka yang telah pergi terlebih dahulu daripada kita. Amin.

Selamat menunaikan solat sunat tarawih, jangan lupa ya ejaan yang betul ialah tarawih. Dulu kita selalu mengeja sebagai 'terawih' ... tetapi sewaktu kaksu belajar di sekolah rendah dahulu kaksu selalu sahaja tersilap eja 'tarawih' dengan 'tawarikh'. Tawarikh tu ialah nama lama untuk subjek Sejarah.

 

Tiba-tiba teringat kuih lopes arwah tok la. Tiba-tiba teringat bergedel ikan arwah emak yang sedap. Tiba-tiba hati jadi sebak mengingatkan mereka yang telah pergi dahulu. Al-Fatihah.

____
Selamat Ulang Tahun untuk anak-anak Bulan Ogos :p Terima kasih untuk yang sudi mengucapkan 'selamat' untuk kaksu, jua kado-kadonya. Masih ada yang sayang, rupanya. Kakmon - cupcakes Siti Muslihat siap dan wasalam sudah ahaks.

Posted at 04:44 pm by noorsuraya
Comments (9)  

 
Friday, August 07, 2009
WS Renda Pergi....

Budayawan dan penyair terkemuka Indonesia WS Rendra, yang berpengaruh di Malaysia, meninggal dunia di sebuah hospital di sini malam tadi setelah lebih sebulan dirawat kerana penyakit jantung.


Allahyarham WS Rendra

Media massa tempatan melaporkan Rendra, 74, yang juga dikenali "Si Burung Merak" meninggal dunia pada 10.15 malam tadi, dan meninggalkan 11 orang anak daripada tiga isteri - dua daripadanya sudah diceraikan.

Setelah memeluk Islam pada Ogos 1970 ketika menikahi isteri keduanya Sitoresmi Prabuningrat, beliau menukar namanya menjadi Wahyu Sulaiman Rendra daripada nama asalnya Willibrodus Surendra Broto Renda.

Selain sajak-sajaknya, Rendra juga dikenali ramai di Malaysia melalui filem bertema agama yang dilakoninya "Al Kautsar" pada tahun 1980-an.

Jenazah allahyarham dijadual dikebumikan selepas solat Jumaat di Bengkel Teater, Citayam, Depok dekat sini, tidak jauh dari kubur sahabatnya Mbah Surip, penyanyi reggae yang mendadak popular di Indonesia dengan lagu "Tak Gendong" yang meninggal dunia Selasa lepas.

Rendra beberapa kali memperoleh anugerah dalam bidang sastera, antaranya Penghargaan Adam Malik pada 1989, SEA Write Award pada 1996 dan Penghargaan Achmad Bakri pada 2006.

(Sumber: dipetik daripada malaysiakini.com)

Posted at 12:02 pm by noorsuraya
Comment (1)  

Next Page