Your Ad Here

Rumah Kecil Tiang Seribu
usah merinjis awan dalam renyai yang merintik... usah menginai gelap malam dengan ungu warna pelangi





TANAH ANDRIYANA (2002) diterbitkan oleh CESB



Sebahagian dari cerita-cerita leluhur mereka Raden Andriyana - Ahmad Fitri diungkap semula pabila Aliya, terserempak semula secara tidak sengaja dengan saudara pupunya, Fitri Hadi... dalam suasana penuh dendam, curiga dan benci. Setelah berpuluh tahun berlalu, kenapa persengketaan keluarga ini tidak pernah luak?
Mungkinkah sejarah sedih bisa berulang ataupun cinta sebenarnya seindah pelangi yang terpamer selepas hujan



GURINDAM JIWA: HATI ANDRIYANA (2007) diterbitkan oleh Jemari Seni Publishing



Tetamu
ke



Rumah Kecil Tiang Seribu
sejak 18 Mei 2004




<< January 2005 >>
Sun Mon Tue Wed Thu Fri Sat
 01
02 03 04 05 06 07 08
09 10 11 12 13 14 15
16 17 18 19 20 21 22
23 24 25 26 27 28 29
30 31

E-Novel
NYANYIAN TANJUNG SEPI (2005)

Oleh: Noor Suraya


NYANYIAN TANJUNG SEPI (2006) diterbitkan oleh CESB



Dang Bersaudara
[Amai][Anis][Ayang][Inoi][Jijah][Kalas][Sari][Nila]


Tukang Ulas Novel
antubuku
novelcintamelayu
perca
seribu satu malam
ANTOLOGI CERPEN
Buat Menyapu si Ayer Mata


SURAT UNGU UNTUK NUHA (2007) diterbitkan oleh JEMARI SENI




"Nuha, benarkah tidak semua ombak akan menemui pantai?

KERANAMU AIN... (2001) diterbitkan oleh CESB


"Bagaimana aku nak berkahwin dengan orang yang aku tidak cintai, Ain? Fahamilah aku, Ain, jika mencintaimu membawa hukuman mati... aku sudah lama mati."
[Nik Ahmad Adam]




BIRU UNGU CINTA (2003) diterbitkan oleh CESB



"Seandainya terus mencintai Seera adalah suatu dosa... ampunilah keterlanjuranku itu, Tuhan. Sekiranya tak dapat mengasihani Dayang itu suatu kesalahan... ampunilah ketidakupayaanku itu, Tuhan."
[Abdul Fattah]


RINDUNYA KIAN MEMBARA (2004) diterbitkan oleh CESB



"Pabila berkata tentang cinta,
angin pun seakan-akan lupa melepaskan dinginnya; mentari seolah-olah cuba menyembunyikan pijarnya; bulan pula jadi malu-malu untuk mengintai bintang-bintang; angin silir jadi berhenti mendesir; dan kita?
Kita... bagaikan tidak teringin jadi dewasa...."
[Dr Farhana Haji Abu Bakar]



If you want to be updated on this weblog Enter your email here:



rss feed



 
Monday, January 17, 2005
TELECERPENA: SAYANG MAK, ZETI [4]
Sayang Mak, Zeti
Bahagian IV
Oleh: Noor Suraya


Aku terperanjat dengan kata-kata Shahrani. Sampai hati. Aku tak pernah mengharapkan Zeti jadi doktor, akauntan, ahli sains... seperti yang selalu ditanam oleh Shahrani kepada Farhanah dan Zaid. Memadailah kalau Zeti boleh membaca dan berdikari. Supaya dia tidak menyusahkan sesiapa apabila kami sudah tidak ada lagi. Dan yang paling penting, supaya dia tidak mudah diperdaya apabila besar dia nanti.

Sungguh tak kusangka, seorang bakal pensyarah yang ‘mastered’ dalam bidang psikologi berkata begitu. Aku faham, Sharani begitu ‘excited’ dapat jadi pensyarah sesudah bertahun-tahun menjadi guru biasa. Setelah penat belajar dan membuat ‘research’ untuk ijazah sarjananya, tentulah tawaran ini amat bererti baginya.

Malah aku juga bertahun-tahun menjadi guru Zeti, tapi aku tidak pernah jemu, tidak pernah mengalah dan tidak pernah merungut. Kalau semua guru hanya hendak mengajar murid yang pandai, murid yang sempurna, siapa yang akan mengajar orang seperti Zeti. Aku menarik muka masam.

Aku cepat-cepat menuang air ke dalam cawan Shahrani, aku hulurkan piring berisi lepat pisang tanpa menoleh ke arahnya. Aku masih marah. Aku mengangkat cawan Zaid dan Farhanah yang telah kosong ke singki.
“Zeti mana,” taya Shahrani, apabila melihat ‘mug’ Zeti masih penuh berisi susu. Mungkin nak mengambil hatiku.

Aku terus membawa ‘mug’ Zeti ke halaman. Zaid dan Farhanah asyik main kereta mainan. Zeti di tepi pintu pagar melonjak gembira melihat kereta merah zaid memotong kereta biru Farhanah. Fahamkan Zeti? Zeti melambaiku. Aku membalas lambaiannya sambil menunjukkan ‘mug’ gambar Mickey Mouse. Zeti menggeleng. Shahrani menghampiriku.

“’Sorry’. Za pun tahu tahu betapa jawatan ini telah lama abang tunggu-tunggukan.” Aku senyum. Marahku memang cepat reda.

“Ayah, tolong main untuk Hanah. Dah tiga kali Zaid menang,” kata Hanah sambil menyerahkan ‘remote control’ ke tangan ayahnya. Mujurlah halaman rumah kami cukup luas untuk anak-anak bermain. Mereka jarang merengek hendak ke padang permainan atau ke Pantai Damai. Cuma yang membuat aku tak selesa dengan rumah kembar dua tingkat ni – tak ada ‘privacy’.

Halamannya menghala ke jalan utama. Dan kadang-kadang lori, bas sekolah dan motosikal ‘rugged’ bergerak bebas di lorong sempit di hadapan rumah kami. Kami memang bercadang nak sewa rumah yang lain.

Shahrani menyambung permainan Hanah. Dia pun jadi macam budak-budak, terjerit-jerit seperti Hanah dan Zaid. Zeti masih menyebelahi abangnya. Aku turut memberi sokongan kepada Zaid. Zaid memang cekap. Shahrani pun mudah dikalahkannya. Setiap kali kereta Zaid sampai ke garisan penamat, Zeti melonjak gembira.

“Menang, abang menang, ayah kalah,” jerit Zeti tiba-tiba.
Fasih. Aku kaget. Zaid terpegun. Shahrani terkejut. Farhanah terpinga-pinga. Kereta biru kepunyaan Farhanah terlepas daripada kawalan Shahrani – terus menyusup melalui jaring-jaring jarang bawah pintu pagar. Zeti menolak pintu pagar dan cuba menangkap kereta mainan Kak Farhanahnya – dia cuma mengambil hati ayahnya, seperti selalu.

Zeti juga terlalu ingin menyentuh kereta mainan kakaknya. Inilah peluangnya, kerana Farhanah selalu mencubit Zeti setiap kali Zeti cuba memegang kereta tersebut.

“Ini kakak punya, nenek Muar yang kasi. Zeti tak tak boleh main.”

Zeti terus meluru ke jalan sempit mengikut laju kereta mainan berlari. Dalam sekelip mata, sebuah motosikal laju membelahnya tiba-tiba. Darah memancut. Shahrani menjerit dan berlari ke arah anaknya. Nadi Zeti mula lemah, penunggang motosikal lari entah ke mana.

Zaid meraung sambil meluru ke arah ayahnya yang sedang memangku Zeti. Farhanah menyesal tak benarkan Zeti bermain tadi. Dan aku tak tahu Shahrani menyesal kerana apa?

Setelah bertahun-tahun aku tabah seorang diri. Kini ketabahanku sampai ke penghujungnya. Cuma Shahrani yang agaknya, baru diuji. Membawa berita gembira sehingga lupa mengunci pintu pagar.

Aku memeluk Zaid dan Farhanah. Shahrani memeluk erat Zeti dan mengendong Zeti yang telah berlumuran darah. Matanya berair, mataku banjir. Merah darah Zeti mewarnakan kemeja putih bakal seorang pensyarah – hatiku terus membengkak pada ‘penggubal undang-undang pintu’. Zeti kaku buat selamanya dalam pelukan ayahnya.

(Ditulis pada: 1 November 1992)

-TAMAT-


ANEKDOT: Semasa cerpen ini diantologikan, perenggan yang akhir telah disunting buang. Kaksu tidak jelas kenapa. Mungkin anti klimaks atau klise. Tetapi bagi yang telah membaca cerpen dalam antologi GURU VII tu, ada bertanya kepada kaksu... Zeti akhirnya boleh diselamatkan, tak? Lalu kaksu terpaksa mengakui ceritanya memang berakhir dengan kematian Zeti.

Tidak seperti orang Iran, orang Malaysia tidak suka cerita yang ‘sad ending’. Kaksu sebenarnya suka cerita-cerita yang sedih... cerita sedih dapat menguatkan jati diri kaksu... dan kaksu akan mengenang cerita itu dengan lebih lama lagi. Betul ke?

Tiba-tiba kaksu jadi teringat ketika Anis cuba menamatkan e-novelnya, RADHA dengan kematian Kaduk dalam satu kemalangan ngeri di Jepun. Kaksulah antara kumpulan yang pertama sekali respons... eh, betulkah kaksu suka cerita yang sedih, nih? Dan yang paling lucu tu, semua orang marah, merajuk dan merayu pada Anis. Kemudiannya Anis telah menukar jalan ceritanya... dan RADHA telah disambung dengan lebih panjang (dan semua orang gembira sangat) lagi selepas itu.

P/s: kaksu rindu pada saat kaksu terjenguk-jenguk tengah malam memasang wayar internet... untuk melihat kalau-kalau Anis hantar entri RADHA yang baru, ketika itu :p
Posted at 07:49 am by noorsuraya
Comments (16)  

 
Thursday, January 13, 2005
TELECERPENA: SAYANG MAK, ZETI [3]
Sayang Mak, Zeti!
Bahagian III
Oleh: Noor Suraya


Aku menyenduk nasi ke pinggan Farhanah. Biasanya, anak-anak makan tengah hari tanpa Shahrani. Dia jarang balik untuk makan. Musim-musim hampir peperiksaan begini, dia selalu buat kelas tambahan. Shahrani malas untuk berasak-asak di jalan dan kemudiannya ke sekolah semula. Bagaimanapun minum petang dan makan malam bersama keluarga menjadi kemestian bagi Shahrani.

“Zaid, makan... ajak Zeti sekali,” jeritku.
Zaid dan Zeti berlari ke dapur.
“Zaid, kan mak kata... makanan ringan macam tu tak elok dimakan,” kataku, sambil mengambil bungkusan keropok berperisa tiruan dari tangan Zeti.
Hairan sungguh, kenapa pihak sekolah masih membenarkan penjualan makanan seumpama ini.
Zeti menangis.
“Nanti abang beli yang lain ye,” pujuk Zaid.
Zeti memang cepat diam apabila Zaid yang memujuknya.

Zaid membasuh tangan. Kemudian mendukung Zeti ke sinki.
“Zeti dah semakin gemuk, mak. Tak kuasa Zaid nak dukung dia lagi,” katanya.
“Bukan gemuk tapi Zaid tak kuat lagi sebab suka makan ‘junk food’. Tengok makanan yang mak bekalkan selalu tak habis,” leterku, sambil membuang baki mihun goreng ke dalam bekas sampah.

“Zaid cuma belikan untuk Zeti, kasihan dia mak duduk rumah sorang-sorang. Kalau kami pergi jalan dengan ayah... ayah selalu tak nak bawa Zeti.”
Hatiku tersentuh lagi. Kadang-kadang aku rasa nak lari bersama Zeti entah ke mana. Tapi rasa itu tinggal rasa, ia sebentar cuma. Aku tidak pernah berani menjelmakannya dalam perbuatan. Tawa, nangis Zaid dan Farhahah merantai niatku. Ketaatku pada Shahrani menghapuskan keinginan bodohku.

“Cepat makan, nanti nak pergi mengaji al-Quran pula,” perintahku.
Mataku tertumpu kepada Farhanah.
“Hanah, kenapa?”
“Apa yang Hanah nak cerita pada emak tadi?”
Aku mendekati Farhanah. Ayam goreng halia kesukaannya tidak disentuh lagi.

“Kakak merajuk mak, tadi dia kena tegur dengan ustazah,” cerita Zaid dengan mulut penuh.
Aku melarang anak-anak bercakap dengan makanan penuh di mulut, tapi tidak hari ini. Rasa ingin tahuku meluap-luap.

“Hari ini kami belajar jangan menghina orang cacat. Zaid tanyalah ustazah, kalau orang sakit seperti Zeti tu, cacat ke? Ustazah kata ya. Kakak marah Zaid mak, kerana semua kawannya tahu Zeti cacat. Kakak kata dia malu ada adik macam Zeti. Dia terus marah-marah Zaid sampai masa balik. Ustazah dapat tahu, ustazah pun tegur perangai kakak.”

Panjang betul cerita Zaid sampai termengah-mengah. Zeti pula asyik ketawa setiap kali namanya disebut. Farhanah tunduk. Kemudian lari ke biliknya.
“Zaid, lepas makan kemaskan meja. Zeti tidur, arahku.” Aku terus ke bilik Farhanah.

“Mak, boleh tak Farhanah tak pergi mengaji hari ini. Nina dan Rahani tentu tunggu nak ejek Hanah.”
Aku diam.
“Mereka kan kawan baik Hanah, tak kan mereka bersikap begitu.”
“Dulu kami semua tak kawan dengan Yati sebab bapanya tempang,” katanya ‘ikhlas’ tetapi menyakiti hatiku.
Apa yang tak kena dengan Farhanah ni, rungut hatiku.

“Hanah, siapa yang menjadikan Hanah?”
“Allah.”
“Siapa yang menjadikan adik?”
“Tentu Allah, mak.”
“Adik bukan nak sakit begitu, kalau kita hina adik, maknanya kita juga menghina Penciptanya.”

Farhanah diam. Aku harap dia mengerti. Rasanya kata-kataku tidak terlalu susah untuk difahami oleh murid darjah dua. Farhanah memeluk aku. Dia menangis dan aku tergores. Jauh di sudut hatiku aku berdoa semoga Allah membuka hati Farhahah dan Sharani untuk menerima kehadiran Zeti dengan sewajarnya.

Jam lima petang, Shahrani pulang dengan muka berseri-seri.
“Abang dapat jadi pensyarah maktab, kita akan berpindah ke Batu Rakit.”
Aku sedih. Bukan sebab aku tidak suka ke Terengganu. Memang aku mengharapkan untuk pulang ke Semenanjung setelah lama di rantau orang. Terengganu dekat saja dengan kampung aku di Kelantan. Tapi aku kasihan pada Zeti. Di sini kami sudah ada kumpulan untuk membantu ‘anak-anak istimewa’. Ada doktor pakar yang mengendalikan projek terapi itu. Zeti sudah ada ramai kawan; Shery, Andri, Flora dan Sharifah Akhtar serta Tiing Ing.

Kelas tiga kali seminggu itu telah menunjukkan perubahan pada Sheri dan Flora. Setelah hampir setahun ke situ, aku dapat rasakan Zeti juga sudah mula menunjukkan sikap positif. Aku yakin pengorbanan dan usahaku selama ini akan diberkati Allah. Kini aku mengajar tuisyen komputer dua kali seminggu semata-mata untuk membiayai kelas pemulihan itu. Aku tak mahu Shahrani ‘membazir’ wangnya untuk Zeti. Untuk bekerja semula selepas lima tahun berhenti, syarikat mana yang akan mengambilku....

“Kenapa Za?”
“Zeti,” kataku.
“Tak usah ajar lebih-lebih, tak ke mana dia.”


ANEKDOT: Alhamdulillah hari ni dapat hantar entri baru. Dah lama tak menaip. Mulanya pc di rumah macam suka ‘hang’ tak berhenti-henti, fenomena terkena virus. Lepas tu kaksu tak sihat kemudian diserang penyakit malas. Tapi syukurlah, akhirnya dah menemui jalan pulang.
Posted at 12:00 pm by noorsuraya
Comments (5)  

 
Wednesday, January 05, 2005
TELECERPENA: SAYANG MAK, ZETI [2]
Sayang Mak, Zeti!
Bahagian II
Oleh: Noor Suraya


Dua hari selepas itu, aku melahirkan Zeti. Aku berhenti kerja kemudiannya, semata-mata kerana anak-anakku dan terutamanya untuk Zeti. Aku tidak sanggup melihat Zeti dipersendakan sepanjang hayatnya. Untuk meletakkannya di pusat jagaan pun aku tak sanggup. Aku sangat prejudis. Shahrani yang membentuk sikapku begitu. Pada pandanganku, kalau ayah sendiri pun kurang mengendahkannya, inikan pula pekerja di pusat jagaan anak-anak.

Dr. Sindhu meyakinkan aku, Zeti boleh dipulihkan jika mendapat pendidikan sempurna di peringkat tiga tahun pertamanya. Kata-katanya terbukti apabila akhirnya Zeti boleh berjalan ketika berusia lebih dua tahun. Aku sungguh bersyukur, walaupun dalam hatiku terasa ‘tamak’ mahukan lebih dari itu.

Tapi Shahrani masih begitu. Aku tidak menyalahkan Shahrani dalam hal ini. Bukan dia tidak mengendahkan Zeti langsung. Dia telah menjalankan tanggung jawabnya sebagai ayah. Dia menyematkan namanya bersama nama Zeti; Zeti binti Shahrani. Dia yang mengiqamat Zeti. Dia menanam uri anaknya, juga menyalin lampin Zeti di waktu malam kalau aku pura-pura tak sedar. Dan aku pernah melihat sesekali, walaupun amat jarang, dia mencuri cium Zeti serta mengusap ubun-ubun anaknya. Meskipun kasihnya kepada Zeti mungkin tidak semurni kasihnya kepada Zaid dan Farhanah, namun aku sudah amat bersyukur. Lagipun layakkah aku menilai hati budi suamiku. Apa yang tersembunyi di lubuk hatinya, Allah jualah yang Maha Mengetahui.

Mungkin sikap ibu mentuaku membuat dia tertekan. Sikap saudara maranya membuat dia malu memiliki anak seperti Zeti. Aku terluka setiap kali Zeti dipandang rendah, apabila pulang ke kampung Shahrani di Muar. Anak kak long dan acik yang lebih muda daripada Zeti sudah bolah mengeja, sudah boleh membilang, sudah boleh mewarna. Sedangkan Zeti untuk menyebut perkataan ‘nenek’ pun susah. Bukan aku tak ajar, bukan Shahrani tak latih. Malah berbuih mulut Zaid mengajarnya sepanjang penerbangan dari Kuching ke Johor, namun dia masih gagap. Dalam kamus hidupnya cuma ada mak, ‘nenen’ (lapar), ‘babang’ (abang), ‘baby’, ‘nak boom’ (tidur) dan ‘yayah’ (ayah).

“Mak.”
Zeti memelukku. Aku terkejut daripada peristiwa silam yang tak pernah hapus dari ingatan. Setiap kali aku cuba melupakan, selagi itulah ia menghambatku, memaksaku menerima realiti hidup. Selama hampir enam tahun ini aku menjadi guru, kawan dan ibu pada Zeti, dan selama itulah aku menyimpan segala tangisan sendirian. Aku cuba menonjolkan segala kesabaran dan menahan rasa marah serta kecewa, pada mereka yang menyakiti Zeti. Termasuk Shahrani?

Aku mencium Zeti berulang kali. Zeti sungguh comel. Matanya agak sepet berbanding mata aku maupun Shahrani yang berdarah Cina tu. Rambutnya hitam berkilat dan kulitnya putih kemerah-merahan. Namun apabila ditenung, masih ketara wajah istimewanya – seakan-akan kanak-kanak yang kena Monggolisme.


Sepintas lalu, apa yang diajar oleh Mr. Wong, pensyarah Biologiku, ketika di kelas Matrikulasi sepuluh tahun dulu; tentang penyakit bawaan genetik timbul di fikiranku. Tetapi Zeti bukannya pesakit Monggolisme atau sindrom Down tu, yang berpunca daripada konstitusi genetik seperti yang didakwa oleh saudara dan kenalan kami tu! Zeti tidak mempunyai trisomi kromosom 21 dalam badannya seperti pesakit sindrom itu. Cuma minda Zeti yang lambat bertindak.

Shahrani selalu melarang aku melebihkan Zeti. Alasannya, nanti Zeti terlalu bergantung. Shahrani mungkin betul, tapi aku tak berdaya untuk TIDAK melindungi Zeti. Zeti adalah sebahagian daripada nyawaku.

Aku melepaskan pelukan Zeti apabila hon Cikgu Siti Maria berbunyi. Zeti menerpa ke beranda. Zeti melompat-lompat riang melihat Zaid dan Farhanah keluar dari perut kereta Ford Laser biru metalik. Aku cepat-cepat membuka pintu pagar dan mengunci semula. Sejak ‘Sandy’ arnab kesayangan kami mati dilanggar lori seminggu dulu, Shahrani ‘menggubal undang-undang’. Cuma aku dan Shahrani saja boleh membuka pintu pagar. Siapa buka dia mesti menguncinya semula.

Aku membiarkan Zaid, Farhanah dan Zeti melambai Cikgu Siti Maria. Zaid mencium aku dan Zeti bertalu-talu... seperti biasa. Sementara Farhanah cuma bersalam dan mencium tanganku, lalu terus ke dapur tanpa menoleh ke arah Zeti, walaupun Zeti tolong menyimpan kasut sekolah Farhanah di rak. Farhanah sentiasa saja mencari fasal supaya Zeti dimarahi Shahrani. Mungkin dia cemburu melihat aku selalu melebihkan Zeti.

“Mak masak apa hari ni,” tanya Farhanah.
Aku mengekorinya dari belakang. Farhanah membuka tudung saji.
“Mak, Hanah malulah hari ini,”
Kenapa sayang?”

[Bersambung]


ANEKDOT: Hari ni rakan se’car pool’ kaksu ada mesyuarat sampai jam 6 petang. Lalu kaksu ada masa lah ni, untuk menaip entri (sambungan) telecerpena semula, sementara menunggu dia ‘call’ kaksu untuk pulang.

Hhmm, sejak pc kat rumah terkena virus (?) kaksu pun jadi sakit macam pc tu juga... terus tak ada ‘mood’. Mungkin ‘virus’ tu kaksu bawa balik dari um baru-baru ni. Sebenarnya jarang kaksu guna disket di sebarangan pc kecuali antara pc (persendirian) di pejabat dan pc di rumah aja.

Jadi untuk yang sedang menaip dokumen-dokumen penting, jangan lupa ‘save’ betul-betul. Kaksu pernah rasa nak demam apabila novel ‘Tanah Andriyana’ kaksu tiba-tiba hilang begitu aja. Malah mulanya, malas nak menaip semula... tetapi Alhamdulillah, mujurlah; kaksu gagah menaip sebahagiannya tu semula... walaupun mungkin 'yang baru' sudah tidak sama lagi dengan apa yang sudah hilang.
Posted at 04:47 pm by noorsuraya
Comments (11)  

 
Monday, January 03, 2005
Promo: Novel Sulung - Cinta di Hati oleh Kak Seri
ku bawa cintamu walaupun di mana


Judul: Cinta di Hati
Penulis: Aida Adriani
Harga: RM 16.00
Penerbit: Alaf 21
Jumlah Halaman: 398


PERHATIAN: Wow, inilah sampul novel sulung teman se maya kaksu, SERIANDRIANI. E-Novel Cinta SeriAndriani ini telah dijilidkan dan sekarang sudah berada di pasaran. Jangan ragu-ragu untuk memilikinya, ya! Kalau yang pernah khatam membaca e-novel tu, tentulah tidak sabar-sabar ingin membelinya! Kita pernah terasa manis membacanya di maya... kita juga pernah 'didewasakan' olehnya... lalu kita tentu ingin sekali menyimpan novelnya sebagai kenang-kenangan....
Lagipun, yalah... membaca di maya tidak sama seperti membaca di atas kertas (buku), kan! Kita boleh baca sambil lepak-lepak atau baring-baring, di atas bas atau di atas feri, apa lagi di atas kereta api dan di atas kapal terbang :p

SYABAS Aida Adriani... Syabas!!!


CATATAN:
  • Ramai kat sini tumpang kegembiraan Seri tau, terutamanya kaksu!
  • Alangkah bagusnya kalau kita dapat beli daripada Seri sendiri yang siap bertanda tangan(?)
  • kalau ada soalan di sini, Seri boleh menjawabnya sendiri dengan perantara blog RKT 1000 ni
  • Posted at 01:32 pm by noorsuraya
    Comments (4)  

     
    Wednesday, December 29, 2004
    TELECERPENA: SAYANG MAK, ZETI [1]
    Sayang Emak, Zeti
    Bahagian I
    Oleh: Noor Suraya


    Aku asyik memerhati Zeti mengatur bongkah berwarna-warni di penjuru rumah. Zeti yang sudah berusia hampir enam tahun, masih gagal membezakan warna. Warna merah dicampurkan dengan warna hijau dalam bakul biru.

    “Zeti, yang merah... masukkan dalam bakul merah tu,” kataku lembut, sambil menunjukkan warna merah.

    Zeti terpinga-pinga, masih tidak faham. Aku senyum kepadanya. Dia masih menagih simpati, memberi kiub kuning kepadaku dan menghulurkan bakul merah. Aku tersenyum lagi. Jauh di sudut hati aku berasa terhiris. Zeti ketawa. Jiwaku menangis, melihat Zeti yang masih belum mahir berkata-kata.

    Anak Madam Lee yang senasib dengan Zeti sudah boleh menyusun bongkah. Shery juga sudah boleh melukis, meskipun Madam Lee sendiri tidak tahu apa yang dilukisnya. Shery tidak kencing di merata tempat lagi. Sedangkan Zeti selalu melatah, masih perlu menggunakan lampin.

    Mataku berair lagi. Zeti, salahkah mak lahirkan kau dulu?

    “Anak puan mungkin mengalami gangguan mental... maksud saya mindanya lambat bertindak.”

    Kata-kata Dr. Sindhu menikam jantungku. Aku beristighfar panjang, tanganku mengusap perut yang mula membesar. Sudah empat bulan zuriat kami. Aku diburu kebimbangan. Apa yang mesti aku buat? Apa kata Shahrani nanti?

    “Doktor, kenapa jadi begini?” tanyaku sambil menyekang air mata. Aku suntik rubela, aku tak merokok, aku baru 25 tahun... tak terlalu tua atau terlalu muda untuk mengandung. Keluarga sebelah Shahrani tiada yang begini, apa lagi sebelah aku.

    “Semasa kandungan puan tiga bulan, janin puan kekurangan oksigen,” ujar Dr. Sindhu dengan tenangnya.

    Sepintas lalu aku digoda syaitan: GUGURKAN!! Tetapi dia anakku, tetap anakku.

    “Mongolisme?” tanyaku, apabila aku mula stabil. “Kes puan tak sama dengan Mongolisme atau Sindrom Down tu. “Anak puan cuma kekurangan oksigen semasa pertumbuhan otaknya, bukan kelainan genetik,” tegas doktor yang separuh umur tu dalam bahasa Melayu yang baik.

    Sejak itu aku tidak lalu makan dan minum. Tuhan, apa dosaku? Apakah dosa kami? Aku begitu lemah untuk menerima ujian-Mu. Maha Suci Allah, berilah hamba-Mu sedikit kekuatan. Janganlah apa yang dinyatakan oleh Dr. Sindhu itu menjadi kenyataan.

    Kemudian Shahrani mula bertanya kenapa aku nampak murung dan kurang berselera makan sebulan dua ni. Shahrani tahu aku memang kuat makan. Dulu, semasa mengandungkan si kembar Zaid – Farhanah, aku tidak seperti sekarang, kuat berjenaka dan sentiasa gembira.

    “Jangan monyok nanti ‘baby’ tak comel.”
    Aku diam.
    “Kenapa Zarina?”
    Shahrani menghampiriku.
    “Za... takut nak beranak,” kataku, memecah kesunyian malam.

    Shahrani menutup siaran TV dengan ‘remote control’ di tangannya. Tayangan larut malam ditinggalkan. Dia mengalih pandangannya kepadaku.

    “Tapi, ini bukannya kali pertama.” Shahrani cuba meyakinkan. “Dulu kan Za tak pernah mengadu takut atau sakit,” sambungnya lagi.

    Aku meraba perut yang semakin gendut, sudah masuk enam bulan. Sudah berbahaya untuk digugurkan. Dan demi Allah aku tidak sanggup berpisah dengan anakku. Biarlah bagaimana sekalipun dia.

    “Za takut kalau Za mati... nasib anak ini.” Aku menangis.
    “Berterus teranglah Zarina, kenapa?”

    Shahrani memang tak suka berteka-teki. Itulah sikapnya sejak di USM lagi. “Kenapa Za?” Ulang Shahrani lagi.

    Shahrani memang sibuk dengan kerja-kerja sekolahnya. Sebagai guru yang belum disahkan dan baru ditugaskan di Kuching ni, bebanan dan tekanan kerjanya amat aku faham. Berbeza dengan aku yang bertugas sebagai juruanalisa sistem di Jabatan Perangkaan, pukul 4.15 petang habislah kerjaku.

    Kini Shahrani kurang memberi perhatian kepadaku, berbanding ketika pertama kali aku mengandung dulu. Namun begitu dia tidak pernah mengabaikan tugasnya sebagai ayah Zaid dan Hanah, juga sebagai suami Puan Zarina. Itu aku tahu, itu aku pasti.

    Aku masih diam. Shahrani merenungku dan inginkan kepastian.
    “Abang... mungkin ada masalah dengan bayi kita ni. Fungsi otaknya lambat. Mungkin cacat.”
    “Zarina!” cuma itu yang terpacul di bibir Shahrani. Dalam remang-remang lampu tidur, aku nampak betapa pucatnya dia.

    Sunyi. Cuma detik-detik jam yang kedengaran. Sesekali Farhanah yang lasak, menendang perut adik kembarnya. Aku membetulkan letak selimut mereka semula.

    Dulu, tiga tahun yang lalu, apabila aku mencanangkan tentang kehadiran anak pertama kami... kembar, pucat Shahrani berbeza sekali. Shahrani cuma risaukan kesihatan aku. Dia bimbangkan pengajian kami. Maklumlah masing-masing baru tahun dua di universiti. Dia meragui bagaimana kami boleh mengurus dua bayi sekali gus. Bagaimanapun kerisauannya tidak lama. Apabila nampak saja si kembar kami yang comel, letihnya tidak terasa. Namun yang lebih menyeronokkan, kami ‘graduate’ seperti orang lain juga. Dan Shahrani lebih beruntung, kerana mendapat ‘second class upper’ manakala aku sendiri terpaksa berpuas hati dengan ‘second class lower’ dalam bidang komputer.

    “Zarina, ‘dia’ anak kita, lambang kasih kita ‘dia’ berhak melihat dunia. ‘Dia’ berhak mendapat kasih sayang daripada kita seperti abang dan kakaknya. Lagipun itu kan sekadar ramalan doktor, berdoalah,” kata Shahrani setelah lama membisu, dengan susunan ayat seperti dalam drama Melayu.
    Maklumlah, orang guru bahasa! Mungkinkah kata-katanya itu sekadar untuk menenangkan aku atau benar-benar ikhlas? Ah, aku masih gagal untuk menyelami hati Shahrani.

    Beberapa hari kemudian aku nampak dia sudah mula berubah. Dia tidak seriang dulu lagi. Dia tidak lagi mengajak Zaid dan Farhanah yang baru berusia dua tahun tu memekap telinga ke perut ku dan mendengar gerak ‘baby’.

    Dulu, walaupun dengan duit biasiswa, Shahrani mampu berjimat untuk membeli pakaian dan peralatan anaknya. Sekarang, walaupun sudah bergaji, dia langsung tidak ambil pusing untuk membeli belah. Aku menunggu-nunggu bila Shahrani akan mengajak aku ‘shopping’ tetapi sampai ke bulan sembilan, Shahrani masih begitu. Mana Shahrani yang dulu? Sepatutnya, dalam saat begini dia perlu memberi aku kekuatan bukannya, tekaan.

    Hari itu, selepas berjemaah subuh, aku akan mengajak Shahrani ke Ngiu Kee,

    “Za gunalah lampin Zaid dan Farhanah, kan masih elok, masih banyak, buat apa membazir.”

    Bila pula Shahrani menjadi seorang ayah yang pandai berjimat cermat untuk anak-anaknya?

    Shahrani meneruskan tidurnya. Aku menelefon Sheila, mengajaknya berbelanja.

    [Bersambung]



    Anekdot: Cerpen ni memenangi Hadiah Kedua (bahagian cerpen) dalam Peraduan Penulisan Esei dan Karya Kreatif Hari Guru 1992/1993 anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak. Mungkin kerana ceritanya berkisar dengan isu-isu pendidikan, lalu layak memenangi hadiah tu. Ceritanya biasa-biasa saja. Dalam cerpen ni, kaksu suka watak Zarina yang tabah.

    Kaksu tiba-tiba, terpanggil untuk menulis cerita ni apabila melihat rencana ringkas berbahasa Melayu dalam tv tentang anak-anak istimewa akibat kekurangan oksigen ketika pembentukan otak mereka.

    Cerita ni diantologikan dalam CIKGU VI. Kaksu bahagikan kepada empat bahagian untuk dimuatkan dalam ruangan ini. Kaksu cuba menaip secepat mungkin. Selamat menanti telecerpena ni sampai habis ya :p

    Sila klik ke e-novel Nyanyian Tanjung Sepi



    Posted at 04:19 pm by noorsuraya
    Comments (3)  

    Next Page