Rumah Kecil Tiang Seribu
usah merinjis awan dalam renyai yang merintik... usah menginai gelap malam dengan ungu warna pelangi





TANAH ANDRIYANA (2002) diterbitkan oleh CESB



Sebahagian dari cerita-cerita leluhur mereka Raden Andriyana - Ahmad Fitri diungkap semula pabila Aliya, terserempak semula secara tidak sengaja dengan saudara pupunya, Fitri Hadi... dalam suasana penuh dendam, curiga dan benci. Setelah berpuluh tahun berlalu, kenapa persengketaan keluarga ini tidak pernah luak?
Mungkinkah sejarah sedih bisa berulang ataupun cinta sebenarnya seindah pelangi yang terpamer selepas hujan



GURINDAM JIWA: HATI ANDRIYANA (2007) diterbitkan oleh Jemari Seni Publishing



Tetamu
ke



Rumah Kecil Tiang Seribu
sejak 18 Mei 2004



   

<< July 2014 >>
Sun Mon Tue Wed Thu Fri Sat
 01 02 03 04 05
06 07 08 09 10 11 12
13 14 15 16 17 18 19
20 21 22 23 24 25 26
27 28 29 30 31

E-Novel
NYANYIAN TANJUNG SEPI (2005)

Oleh: Noor Suraya


NYANYIAN TANJUNG SEPI (2006) diterbitkan oleh CESB



Dang Bersaudara
[Amai][Anis][Ayang][Inoi][Jijah][Kalas][Sari][Nila]


Tukang Ulas Novel
antubuku
novelcintamelayu
perca
seribu satu malam
ANTOLOGI CERPEN
Buat Menyapu si Ayer Mata


SURAT UNGU UNTUK NUHA (2007) diterbitkan oleh JEMARI SENI




"Nuha, benarkah tidak semua ombak akan menemui pantai?

KERANAMU AIN... (2001) diterbitkan oleh CESB


"Bagaimana aku nak berkahwin dengan orang yang aku tidak cintai, Ain? Fahamilah aku, Ain, jika mencintaimu membawa hukuman mati... aku sudah lama mati."
[Nik Ahmad Adam]




BIRU UNGU CINTA (2003) diterbitkan oleh CESB



"Seandainya terus mencintai Seera adalah suatu dosa... ampunilah keterlanjuranku itu, Tuhan. Sekiranya tak dapat mengasihani Dayang itu suatu kesalahan... ampunilah ketidakupayaanku itu, Tuhan."
[Abdul Fattah]


RINDUNYA KIAN MEMBARA (2004) diterbitkan oleh CESB



"Pabila berkata tentang cinta,
angin pun seakan-akan lupa melepaskan dinginnya; mentari seolah-olah cuba menyembunyikan pijarnya; bulan pula jadi malu-malu untuk mengintai bintang-bintang; angin silir jadi berhenti mendesir; dan kita?
Kita... bagaikan tidak teringin jadi dewasa...."
[Dr Farhana Haji Abu Bakar]



If you want to be updated on this weblog Enter your email here:



rss feed



 
Friday, July 04, 2014
[ii] Dari Anjung Makcik Raja

Surat Ungu untuk Nuha
Esoknya: 5 Ramadan

"NAK masak apa, bang?" Matanya memerhati itik yang sudah siap dibuang bulu tergolek dalam besen. Suaminya keluar sejak subuh tadi, dan mujurlah dia membawa balik dua ekor itik untuk Huda berbuka puasa nanti. Tapi... macam itik tua sahaja, entah liat bagaimana isinya nanti.

"Gulai kerisik la, Huda suka tu." Balas suaminya lalu keluar semula ke halaman.

Makcik Raja mula bersilat di dapur. Itik ni tidak boleh dimasak lambat-lambat dah, bimbang nanti tak empuk. Elok dia campur daun betik sehelai dua untuk melembutkan daging itik ni. Kata Nuha, dia baca di Internet... kalau ikut chef orang putih kalau hendak melembutkan daging guna daun bay. Sebenarnya kalau tak ada daun bay orang putih tu pakai aja daun bay Malaysia. Daun bay orang putih tu lebih kurang sama dengan daun teja la. Tetapi di rumahnya ini tak ada pokok tu pula. Sudah lama ditebang apabila Haji Yatim hendak buat bangsal perkebunan di belakang tu.

Jadi sebelum zuhur ini Makcik Raja sudah hendak masak, biar mesra semua ramuan. Cadangnya hendak guna dapur kayu di luar rumah supaya bau asap masuk dalam gulai, baru ada bau itik salai sikit. Dia sudah simpan ranting-ranting kering daripada pohon kedondong depan tu, biar asapnya wangi. Hmmm, sedap sangat itik ni kalau dibuat gulai kerisik (atau waktu kenduri orang panggil gulai kawah) dan biar kuahnya pekat-pekat! Alang kalau kena cara masaknya, seperiuk gulai habis ke dia sorang saja. Tapi kalau tak sedap, dia tak sentuh pun tak apa. Sebab itik bukan hidangan kesukaannya pun: kecualilah itik golek untuk hidangan pengantin tu. Lambat lepa orang suruh dia jadi pengapit, bukan si pengantin yang dia jaga: tapi itik golek di meja pengantin yang dia terpa dulu. Sebenarnya, anak lelakinya itu suka ikan sungai lebih pada itik dan ayam.

"Assalamualaikum, emak." Suara ceria Nuha dari pintu belakang disambut Makcik Raja dengan senyum. Dia kemudian menjawab salam menantunya, rasa lega memenuhi dada. Seronoknya ada yang membantu. Nuha sentiasa ringan tangan menolong, tidak seperti isteri Zaharan. Kalau balik di rumah ini, duduk di depan menonton TV sahaja. Tapi yalah juga, dari Shah Alam ke Kota Kuala Muda ni bukannya dekat. Penat duduk dalam kereta lagi; meredah sesak trafik lagi! Memang patut pun cikgu tu berehat. Mana anak kecilnya suka menangis sepanjang perjalanan. Sebab itu, mereka jarang-jarang balik juga. Lagipun Zaharan selalu lebihkan keluarga sebelah isterinya. Mereka lebih banyak balik ke Taiping daripada sini.

Sebab itulah Makcik Raja selalu berpesan ke Alang, jangan buat begitu ke keluarga Nuha. Mesti balik selalu lihat ayah dan ibu Nuha di Kajang tu kalau ada masa. Jangan bagi ayah ibu Nuha kecil hati (macam yang emak rasa... dan sambungan ayat itu tidak pernah dia luahkan pada sesiapa). Kita sudah la 'ambil anak orang' bawa duduk ke sini, jadi janganlah pula kita jarang-jarang hendak jenguk keluarga anak orang itu.

"Tak kerja?"

"Nuha ambil cuti, kan Kak Long Huda nak balik. Emak nak suruh Nuha buat apa?" Dalam hati Nuha berdoa janganlah disuruh dia kukur nyiur atau menggiling rempah. Benda-benda lain, dia sedia sahaja membuatnya walaupun tidak begitu pandai dan cekap. Oh, dan satu lagi jangan suruh dia kupas nanas.  

"Kupas-kupas saja semua tu, nanti emak nak kisar sahaja. Tak larat nak menggiling puasa-puasa ni. Cuma nanti telefon Alang suruh beli santan sat. Abah tak sempat koyak sabut nyiur. Jangan cakap ke Alang fasal koyak sabut nyiur tu, Nuha. Nanti dia pula yang hendak buat, dulu sekali dah luka teruk." Kata Makcik Raja, tanpa sedar kata-katanya membawa Nuha ke peristiwa dia menjahit tangan Alang yang luka dan alih-alih dia juga terjahit hati Alang sekali gus. Muka yang memerah dilarikan Nuha ke luar rumah. Sekejap kemudian dia SMS Alang, menyampaikan pesanan sang ibunya.

Kalaulah emak mertuanya tahu fasal 'jahitan pada telapak tangan Alang' tentu sahaja Nuha dituduh perempuan gengster!

"Nak masak apa, emak?"

"Gulai kerisik itik." Orang di sini, kalau gulai itu maksudnya kari la, bukannya macam orang di sebelah selatan dan timur.

"Nuha  suka itik?" 

Nuha menggeleng. Tidak pernah makan. Kalau ikut ayah dan ibu makan bufet kat hotel dia pun dia tak pernah ambil itik sebab hanyir saja. Tetapi kalau ibu mertuanya masak, selalunya makanan yang dia tak berani rasa pun dia akan cuba. Kepakaran ibu mertuanya, memanglah urusan masak-memasak.

"Tak tahan bau dia."

"Sedap Nuha, kalau tak pandai basuh tu la yang buat itik tu hanyir." Kata Makcik Raja. Dia mula mengerat itik yang dua ekor itu menjadi berbuku-buku. Leher yang panjang itu dia kerat jadi tiga. Dah jadi macam hotdog pula leher itik itu.

Nuha mula mengupas bawang merah dan bawang besar, sedikit bawang putih, halia. Semua yang hendak dikupas tu sudah ada dalam besen kecil di atas meja. Kerisik dan cili kisar sudah ada di atas tu. Sekejap lagi dia akan ambil serai di rumpun luar dekat tepi kolam. Serai itu hanya untuk dititik sahaja. Begitu yang emak mertuanya arah tadi. Tak sabar hendak lihat bagaimana hendak masak gulai kerisik. Nanti kalau balik Kajang boleh masak untuk ayah. Tapi dia akan buat ayam kampung. Ayah suka sangat ayam kampung.

Kena catat resipi ni. Nuha sudah mencapai pen di atas meja sisi, dan mencari kertas apa-apa untuk mencatat...

"Emak cakap bahan-bahan dulu, Nuha nak tulis." Kata Nuha penuh semangat. Bagaimana cara membuatnya tu nanti sahajalah dia lihat dan catat kemudian. Sudah banyak resipi yang Makcik Raja kongsi dengan Nuha.

"Yalah... sekejap lepas emak basuh itik ni dulu." Balas Makcik Raja sambil bangun dan membawa besen ke singki.

"Emak, 'resipi' basuh pun Nuha nak tahu." Nuha terus ke singki.

"Tak payah la hendak salin cara-cara basuh itik pula. Emak selalu guna tepung dengan asam limau nipis, garam kasar. Seperti biasa sahaja, lepas bersihkan semua yang kita tak nak... segala darah beku dan lemak-lemak ni, lumur isi itik dengan tepung. Letak asam limau garam. Rendam sekejap. Lepas tu basuh bagi bersih-bersih, selawat. Tos. Tak susah mana pun, Nuha. Kalau basuh ayam lampung pun macam tu. Cuma kalau ikan sungai emak suka ganti asam limau dengan asam jawa."

"Alang suka ke, itik?"

"Tak sangat. Tapi kalau sedap, dia makanlah."

"Sebab itulah Nuha nak belajar masak bagi sedap. Alang tu, tak pernah rasa apa Nuha masak. Setiap hari dia ajak Nuha makan minum di sini sahaja." Balas Nuha. Tiga puluh hari berpuasa, 30 hari la berbuka dan bersahur di rumah Makcik Raja ni. Alang tu macam makan nasi bulan dengan emak dia la pula.

"Kalau macam tu, setiap hari... Nuha masak satu jenis makanan di rumah ni, jadi Alang boleh makan air tangan Nuha juga." Wajah Makcik Raja sudah tersenyum senang. Nuha ni memanglah berusaha untuk menggembirakan hati suami.

"Tapi abah lalu ke makan air tangan Nuha, abah kan hanya suka makan masakan emak saja." Suara Nuha mendatar. Abah tu memang tahu sahaja kalau bukan emak yang masak.

"Nasi Nuha masak abah makan pun." Balas Makcik Raja sambil ambil jaras untuk sejat daging itik yang sudah siap berbasuh ni. Dalam tiga kilo juga daging ni, nanti boleh sejuk beku gulai dan simpan untuk Zaharan juga. Anaknya yang duduk Shah Alam tu, katanya balik Sabtu ni. Tapi mana tahu kalau dia berbuka di Taiping dulu.

Nuha ketawa dengan kata-kata emak mertuanya. Nuha sudah mengisar bawang dan halia.

"Emak bahan-bahannya, selain yang Nuha kisar ni?"

"Rempah kasar empat jenis tu. Bunga lawang, pelaga, bunga cengkeh dan kulit kayu manis. Agak-agaklah, untuk tiga kilo daging itik."


Mak Cik Raja sudah meletakan periuk tanah di atas dapur di luar rumah. Nuha membantu membawa bahan-bahan ke luar. Sekejap sahaja, minyak kelapa dimasukkan ke dalam periuk warna batu kawi tu. Dipetiknya daun karapoley (daun kari) dekat belakang tu, dibasuh serta dimasukkan setelah minyak panas bersama serai yang dititik, rempah kasar empat jenis serta bahan yang Nuha kisar awal tadi. Nuha berdiri di muka pintu dapur. Setelah bahan-bahan tu agak garing, Makcik Raja masukan rempah kari. Rempah tu, Makcik Raja ambil yang siap dari bungkus sahaja. Entah kenapa hatinya tidak sedap saja. Hendak menggiling pun malas. Semoga anak menantu dan cucunya selamat dalam perjalanan.

Tiba-tiba, dia keluarkan dua puntung kayu dari dapur. Dan mengangkat periuk tanah ke tungku sebelah lagi.

"Kenapa emak berhenti menumis?"

"Santan tak balik lagi, cuba telefon Alang. Beli santan di mana sampai tak balik-balik lagi. Entah-entah dia panjat pokok nyiur dulu pula. Emak suka santan letak awal supaya pecah minyak dulu. Baru bau rempah ni sebati."

Hatinya tiba-tiba teringat ke Alang pula. Cepat-cepat Makcik Raja beristighafar. Kemudian dia mula berzikir. Sejak masuk dapur awal, dia tidak sempat lama di sejadah lepas solat duha tadi. Itukah puncanya hatinya rasa tidak selesa?

"Sekejap Nuha telefon." Silap Nuha juga, patutnya dia telefon. Bukan SMS. Entah-entah pesanan tu Alang tak nampak. Alang tu kalau sudah ada di kilang mana dia teringat dekat Nuha dan Ku Chik lagi. Ini sebab Ku Chik pulang ke rumah nendanya beberapa hari, terus Alang pun melekat di kilang lama-lama.

Baru sahaja dia hendak telefon, motosikal Alang sudah masuk ke ruang belakang rumah. Haa, panjang umur! Amin.

"Maaf lambat, emak. Ni ada orang beri ikan keli. Siap dah bubuh garam kunyit ni. Emak bakar ya, jangan goreng. Bakar dengan api kayu ni, jangan dengan periuk ajaib kat TV tu," kata Alang, bercakap macam tu sahaja tanpa salam dan membuka topi keledar.

"Tu nak pergi mana lagi?" tanya Makcik Raja melihat Alang sudah mula memusingkan motosikalnya.

"Alang kerja la ni emak, bukan macam misi tu... Kak Long Huda nak balik terus ambil cuti." Jawab Alang sambil menderu semula.

Amboi Alang, kut la nak bagi pantun-pantun dulu ke Nuha, lari macam tu saja. Sombong sangat. Dialah pekerja cemerlang. Sampaikan hendak senyum ke Nuha pun kedekut. Makcik Raja masukkan semula kayu di bawah periuk tanah tadi. Menyambung masak gulainya yang gendala tadi.


"Tolong emak buka santan ni sekejap, buatnya terburai pula nanti. Emak hendak pakai separuh sahaja Nuha, sebab dah nak letak kerisik lagi. Lemak pula nanti, itik ni pun dah ada banyak lemak. Nanti Nuha ambil garam kasar dan asam gelugor juga na. Terima kasih ya, nak." Makcik Raja terus membaca ayat-ayat lazim dalam hati. Bulan Ramadan ni, bulan diturunkan al-Quran, banyakkan membaca al-Quran. Begitu ustaz dalam kuliah subuh pagi tadi berpesan. Walau jemaah subuh sudah tahu, tetapi Ustaz Ahmad tidak jemu memesan.

Nuha segera ke dalam, membuka ikatan tali rafia pada plastik santan.

Makcik Raja perasan air muka Nuha berubah apabila Alang tidak menegur dan mengusiknya seperti selalu. Alang ni saja tau, tak sah kalau dia tak buat Nuha marah atau kecil hati.

Sewaktu Nuha membuka plastik santan tu, dia nampak kertas kecil yang terselit dalam beg plastik merah tu.

Amboi Puan Misi, SMS suami kata 'emak suruh beli santan'. Kalau tulis, 'Salam Alang, emak suruh beli santan. Bawa motor elok-elok ya Alang', susah sangat ka? Bukannya Alang nak suruh panggil sayang-sayang ke B ke macam orang pun. Tapi, tulis elok-elok. SMS pendek atau panjang pun sepuluh sen saja caj dia. Dan, kalau cajnya 15 sen pun, Alang yang bayar duit telefon kan?

Ya Allah, ada ceramah perdana la pula Alang ni. Siap mengungkit lagi fasal siapa bayar bil telefon Nuha. Tapi... betullah!!! Nuha memang malu sangat. Dia memang buat Alang kecil hati, tapi dia fikirkan... dia sahaja yang pandai kecil hati.

"Nuha, cepat sikit dah nak garing rempah emak ni." Laung Makcik Raja dari luar. Sudah dua kali dia tambah air pada rempah untuk mengelak rempahnya hangus.


"Ya, ya..." Nuha memasukkan kertas nota Alang dalam poket baju kurungnya dan segera mendapatkan Makcik Raja. Dari dulu sampai sekarang tak habis-habis beri nota la Alang ni.

"Nanti buat kuih cara manis ya, Nuha."

Nuha mengangguk. Emak ni lupa kut, doktor tak kasi makan manis-manis. Mujurlah kena buat kuih cara kerana itu sahaja la kepandaian dia buat kuih di sini. Dia cadang hendak guna acuan tembaga corak bunga tanjung. Dia nampak dalam gerobok belakang tu ada dua tiga acuan cara. Minggu sudah dia tolong Makcik Raja kemas bilik belakang tu. Emak mertuanya sudah beri sebuah kepadanya, tapi coraknya bujur.



"Emak, Nuha ke depan sekejap ya. Nak telefon Alang."

"Ya pergilah." Kata Makcik Raja. Dia menunggu santan pecah minyak sebelum masukkan itik. Kasihan Nuha. Alang ni dah nak kena dengan emak ni. Dia ingat kahwin ni macam main pondok-pondok, hari ni gaduh esok boleh main lagi. Kalau tak kecilkan hati Nuha tak sah ke! rungut Makcik Raja Kamariah dalam hati.

Dalam ketawa tu, air mata Nuha sudah merambu. Rasa bersalah sangat. Alang memang pandai ajar hatinya keras macam batu dulu tu, jadi lembut macam yogurt!

Nuha mahu minta maaf pada Alang gaya drama Melayu zaman Jalan Ampas lepas ni. Gaya Neng Yatimah kepada P. Ramlee dalam filem Ibu. Kalau drama Melayu zaman sekarang, mesti berlaku pergaduhan dan cakap siap jerit-jerit lagi.  




Catatan:

Insya-Allah esok episod akhir untuk lintas langsung rumah Makcik Raja. Lusa kita ke mana pula ek? Selamat menunaikan ibadah puasa - 6 Ramadan.



Posted at 07:12 am by noorsuraya

notie
July 7, 2014   08:31 PM PDT
 
Kak su bekas kuih cara ke tu? Tapi dolu2 acuan tembaga tu aruah mak buat masak kuih bahulu atau bahulu cermai.

Masak pakai dapur kayu aduhaiii wanginya bau kuih bahulu semerbak kat dapur... Bila bulan puasa je saya rindu kenangan dolu2 bersama aruah mak menolong buat kuih raya... huhuhu Al fatihah buat aruah mak serta bapa juga semua atuk dan nenek serta semua mak saudara dan bapa saudara yang semuanya telah tiada lagi.
Ana
July 7, 2014   02:35 PM PDT
 
Alahai Kaksu. Saya pula yang rasa tak sedap hati. Tak sabar tunggu sambungan ni.
nazira azwa
July 5, 2014   11:56 AM PDT
 
amboi alang merajuk ye nuha hntr sms cm2..
terima ksh k.su utk entry dr rumah makcik raja n..
Lusa kt g rumah wadi & dahlia sambut puasa la plak..blh x k.su..
rozana
July 4, 2014   09:25 PM PDT
 
Rinduuu ngan alang...kak noor suraya...cpt lh kuar kn buku ni...
Noorul
July 4, 2014   03:30 PM PDT
 
Huhuhuhu rindunya dengan Nuha dan Alang :)
seera
July 4, 2014   02:08 PM PDT
 
terima kasih kak su.. ;)
hana
July 4, 2014   10:48 AM PDT
 
Terima kasih k.su, lusa kita pegi ke Langkawi la pulak ya???
Xenia Zidane
July 4, 2014   09:25 AM PDT
 
Alang ni lah..suka buat Nuha lemau..hahaha :)
Noorthie
July 4, 2014   08:30 AM PDT
 
Terima kasih k.sue... terubat rindu dekat alang rebus tak empuk dan misiku nuha.. hihi
 

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments




Previous Entry Home Next Entry