Orang Jakarta cakapnya cepat-cepat (terkecuali Bunga, yalah teman kami Bunga, asalnya orang Jogja yang terkenal sangat berbudaya... keturunan ningrat-ningrat, bahasanya aduh... tertib dan lembut)
Orang Bandung lisannya halus, kata-katanya cermat...
Tetapi kedua-dua masyarakat Bandung dan Jakarta santunnya dengan tetamu terpuji.
Adakah kata-kata kaksu terlalu berlebihan sewaktu memuji dan berkata tentang orang luar?
Cerita Orang-Orang...
Sewaktu kami tiba di Bandung, matahari sudah lama tegak tetapi cuacanya panas dingin. Terasa bagaikan kita kembali ke Tapah (Perak) suatu waktu dulu. Nostalgik... !
Waktu Bandung lewat satu jam dari Kuala Lumpur, tetapi 'suasananya' terasa cepat dua jam... huh, macam masuk ke terowong waktu kan!
Pada saat Bandara Husein Sastranegara Bandung kami lepas pergi, terasa kami terperangkap dalam budaya Jawa dan Belanda serentak. Rumah-rumahnya bagaikan orang memakai kopiah tiga segi yang menutupi seluruh dahi. Berbumbung genting merah dan batu kawi, mobil boleh masuk sehingga di sebelah rumah dan bersembunyi dalam garaj bertutup. Itu cerita rumah orang-orang pertengahan di Bandung. Rumah golongan atasan, janganlah dikiralah, cantiknya dan agamnya. Terletak di atas tanah agak tinggi. Ramai Pak-Pak Menteri dari Jakarta membina rumah persinggahan mereka di Bandung ini. Cuacanya dingin... sekali. Rumah Barry Prima siap dengan parabola yang membuat NASA pun jadi cemburu itu, tersergam indah di pinggir tanah tinggi Cihedung.
Namun, bagi golongan yang marhaen... mereka masih aja sejuk bermalam dalam rumah kotak, pada lorong-lorong jalan. Hatiku terikat tak terucap!
Hmm, alhamdulillah... sampai juga kami ke Bandung. Kami meninggalkan buku cerita yang khusyuk diulang kaji tadi (kaksu memilih membaca Manikam Kalbu) dalam pesawat dan menatap langitnya yang cerah. Hati berdebar seribu rasa, perut sudah mulai berkeroncong irama Bengawan Solo... tetapi, otak tetap menyajikan dan mengarah pada keindahan alam yang memukau. Apatah lagi lemak-lemak dalam badan sudah cukup, memecahkan molekul-molekul protein untuk menggantikan tenaga yang hilang. Itulah lebihnya orang gemuk, kan? Huh, alasan yang paling tidak munasabah!
Orang-orang Bandung ramah, tetapi setiap keramahan itu dibayar dengan rupiah, tentu sahaja pada jumlah yang kita sudi hulurkan. Wan, terpaksa SMS Bunga, untuk mengetahui jumlah tip yang perlu dibayar pada si pengangkat koper: Ya, Rp 10000-15000 sudah lumayan.
Membaca angkanya, sudah buat jantung kita berdebar... namun setelah dirujuk pada sifir yang direka bentuk oleh Wan: huh, baru antara RM3.60 sehingga RM5.40 sahaja. Untuk koper-koper sebesar anak gajah yang baru lahir itu, wah, harganya murah sangat. Jumlah yang sebegitu sahaja, terasa tidak padan untuk koper kami berenam, apatah lagi mereka berkongsi pula dengan beberapa orang porter. Kaksu juga bawa buku yang berlebih untuk kenalan di sana: selain memperkenalkan produk Jemari Seni Publishing kepada teman-teman kaksu di sana, terutamanya pada Si Endah. Hmm, 8 kilogram lebih hanya untuk buku-buku...? Berbaloi kah?
Namun sewaktu pulang, kaksu dapati rupa-rupanya harga untuk porter (dicatatkan, sebagai perkolli: untuk seorang kuli???), cuma Rp 4000(RM1.44) sahaja. Murahnya tulang empat kerat mereka. Sedangkan duit sebanyak itu, dibuang percuma beberapa saat untuk anak-anak muda Malaysia berbual kosong lewat SMS sekadar untuk bertanya, "Pekabor." Melihat warga marhaen berusaha seperak demi seperak untuk mengumpul wang demi sesuap nasi, membuat kami berenam menghargai apa yang kita ada. Syukurnya dengan rezeki Allah berikan. Apatah lagi bagi kaksu, yang selama bertahun-tahun ini diberi rezeki sampai jadi gemuk sebesar paus biru, aduh melampaunya kaksu... oh tidak, bukannya di Malaysia fakir miskin itu sudah pupus, sayang... tetapi di Bandung ini orang miskinnya terlalu ramai.
Orang-orang yang ngamen ada di mana-mana, sang peria dan kanak-kanak menjual segala mak nenek melintasi jalan yang macet dan sibuk untuk mengisi perut bagi meneruskan hidup. Aduhai... aduhai.... Pernah sekali, kami ternampak 'lelaki metalik' ala-ala X-Men berdiri dengan gaya yang menyedihkan di tengah-tengah bulatan jalan hanya untuk ngamen. Di jalan-jalan terhulur jaring ala-ala orang menjaring ikan, para si peminta sedekah meminta sedikit rupiah untuk hidup. Aduhai, aduhai....
Kenalan kaksu, Endah, Pak Kris (CEO Bentang), Kurnia Effendi (Penulis), Hermawan Aksan (Wartawan di Bandung), Tanzil (ada laman resensi buku dan filem) ini, kenalan dari grup milis Buku Bentang. Beberapa tahun dahulu, kaksu pernah diajak untuk masuk kelab ulat ini (orang Indonesia panggil, kutu) buku ini oleh Endah: Klub Sastra Bentang. Tidak lama kemudiannya, kaksu sudah tidak lagi berkicau dengan mereka, malulah... bacaan kaksu tidak pernah seluas mereka. Buku-buku pelbagai bahasa di Indonesia diterjemahkan dengan cepat dan segala kutu-kutu buku ini, menikmati bacaan mereka dengan mudah. Sedangkan di sini, industri terjemahan buku tidak sepesat mereka. Buku-buku import mahalnya bukan main.
Di sini kaksu melihat sendiri Bandung dengan mata kepala, membuat kaksu lebih memahami novel-novel yang kaksu terjemahkan untuk PTS seperti Syahadat Cinta dan Musafir Cinta. Dan kini kaksu dalam proses untuk menterjemah Makrifat Cinta, dalam siri trilogi itu, dan ya... setelah ke Bandung, kaksu mula memahami sedikit lagi budaya mereka. Kaksu mula memahami sistem pengangkutannya dengan lebih mendalam. Opsss... berbalik pada cerita grup milis ini semula ya....
Dengan kesibukan masa, akhirnya kaksu sudah tidak lagi berkawan dengan grup mereka. Namun satu-satunya yang kekal menjadi teman kaksu sampai kini, tentu sahaja Endah si pemilik resensi buku itu. Malah sewaktu kaksu menulis Nyanyian Tanjung Sepi, Bab 72 – Mahadewi, Mbak Endah yang tolong edit bahasa Indonesia kaksu untuk watak Mbak Asih itu, dan kaksu juga abadikan nama Endah Sulewesi di dalamnya. Malah kami pernah bercadang dengan Antubuku (Brunei) secara bertiga, untuk menulis e-novel sama-sama, secara bergilir-gilir. Tapi seperti biasa, waktu itu masa kaksulah yang banyak disita, dan rancangan itu tidak tersimpul pun. Apatah lagi Si Antubuku pula seakan malu-malu pula.
Setelah sekian lama berkenalan dengan Endah, sebaik sahaja dia pasti yang kaksu (dan geng) akan datang, dia cepat-cepat sahaja... menghubungi empat bapak-bapak itu untuk turut bergabung. Dia juga meminta Mbak Rita (wartawan majalah Gatra) untuk turun, sayangnya Mbak Rita harus ke Belitung membuat liputan behind the scene, penggambaran filem Laskar Pelangi daripada adaptasi karya Andrea Hirata. Bagaimanapun pada saat akhir, Mbak Rita tidak jadi ke Belitung. Okey berhenti dulu bahagian ini. Nanti-nanti sambung lagi.
Selain tu, kaksu dan Em juga bawa sedikit-sedikit bawa buku untuk Nurul dan Bunga. Waktu pihak kastam sana panggil kaksu untuk membuka koper buku itu, kaksu dah tahu... aduh pasti aja kena cukai. Mulut dah mula membaca doa minta lembutkan hati Pak Kastam dan Ibu Kastam. Kemudian Em terpaksa pecah rahsia yang kaksu seorang penulis, dan kami membawa buku ini untuk kenalan-kenalan di sini (Indonesia), dan kami dalam perjalanan ke Jakarta untuk Pesta Buku Jakarta 2008. Alhamdulillah, terus mereka benarkan kami berlalu tanpa apa-apa pertanyaan lagi. Terima kasih ya.... dan mereka juga bilang, mereka faham bahasa Melayu. Ya Bu Haryani, kita kan serumpun.
Aduhai perjalanan kaksu belum pun sampai ke kereta api untuk ke Jakarta tengah hari, sudah panjang sebegini. Beginilah kalau nak lihat perjalanan cerita ini dengan detail, sila ke Wan Amalyn
Nota:
Esok kaksu sambung lagi, Berkereta Api ke Jakarta