Sehari sebelum kaksu bertolak ke Bandung (khususnya, ke Jakarta untuk ke Pesta Buku Jakarta 2008), si gebu kelinci kaksu, Nurin telefon. Anak saudara kaksu yang akan genap umur 5 tahun, Ogos nanti itu bertanya, "Kenapa Bude' nak pergi Indonesia, Bude'?"
Opps, betul tu... kenapa hendak ke Indonesia.
Sudah lama kaksu bernyanyi nak ke Indonesia khususnya, Bandung dan Jogjakarta. Sewaktu kaksu merangka manuskrip Tanah Andriyana (novel kaksu yang kedua) beberapa tahun yang lalu, hasrat itu sudah tersimpan kemas. Apatah lagi, sewaktu melayari laman-laman web tentang sejarah Indonesia sewaktu penjajahan Belanda, hati kaksu sudah tertambat untuk melihatnya sendiri. Kaksu ingin sekali memandang sendiri bagaimana rupanya Keraton milik keluarga 'Andriyana' yang ceritanya kaksu lakar dalam novel itu. Novel yang membuat kaksu mengenali teman-teman di maya yang kemudiannya menjadi saudara akrab itu.
Kemudian apabila kaksu berura-ura menyiapkan naskhah Tanya Sama Angin, keinginan kaksu untuk ke Bandung melonjak lagi: nak ke sana! Kaksu mesti ke sana, itulah alasannya kenapa tujuan kaksu menukar latar Padang ke Bandung. Kaksu sudah teruja waktu itu, apatah lagi Bandung itu dijolok sebagai, Kota Kembang dan Kota Buku. Apatah lagi sewaktu di universiti hampir 20 tahun dulu, buku-buku cerita daripada penulis kesukaan kaksu mengambil latar Bandung sebagai tempat yang terindah untuk liburan.
Mujurlah, teman sekerja kaksu, Toh Puan Em mendukung cita-cita untuk ke sana juga, dan untuk memeriahkan lagi, kaksu mencadangkan agar kita pergi sewaktu Pesta Buku Jakarta. Jadiiii... bolehlah jadi bisnes trip ahaks merangkap cuti panjang, lalu bolehlah kami meninggalkan waktu ofis untuk seminggu tanpa rasa bersalah.
Lalu tabuh dipalu, rebana dipukul, anglung digetarkan... mengajak anak negeri ulat buku untuk turut serta... aduhai, kalau tiga hari mana cukup untuk menyusuri Jakarta sehingga Bandung, kan?
"Kita pergi lama la Kak Sue, mana cukup... rugi bayar tambang mahal-mahal, pergi sat chet saja." Kata PinkJambu. Maka ramai yang bersetuju, pergi lama-lama.
Lalu Si Wan mengatur acara, Em 'melamar' pesawat... oh, jadi... siapa yang ikut, ya?
Nacha awal-awal sudah kata "yes" sebelum bertanya pada Tuankunya.
Kaksu dan Em, pergi dengan urusan "Jemari Seni Publishing" jadi urusan kantor kan, tentulah "bos-bos" di rumah tidak menghalanginya.
Man, yang saling memahami tentu sahaja setuju sedia melepaskan isterinya tu berangkat bersama-sama kakak-kakak aja.
Bonda pula, sudah diizinkan pergi oleh ayahanda... jadi yang akhirnya cuma 5 orang? Geng ulat buku tinggal lima, mana asyik nak pergi cuma lima orang? Namanya, rombongan ke pesta buku ni.
Lalu akhirnya, kami berjaya menghasut dan meracun Syud untuk ikut juga. Yang lain-lain, tetap ada urusan yang lebih afdal, tentunya.
Mana Sang PinkJambu, dia kan yang beria-ia nak pergi sampai lama?
Si Bonda Puteri itu rupanya sedang akan berputera lagi...
Notei pula sudah terbang ke Sydney untuk kursus waktu itu.... Ulat-ulat buku yang lain pula kerja waktu itu... (dan nanti kaksu ceritakan apa kejutan yang tidak tersangka berlaku selepas itu).... Oh, jantungku bagaikan akan copot mengenangkannya.
Jadi walaupun kain rentang tidak sempat ditegangkan... kami bertolak pada:
2 Julai 2008 yang ditunggu-tunggu;
dengan pesawat Air Asia 10:55 pagi (yang kemudiannya, seperti sinonimnya @ slogannya, Air Asia Pasti Lewat...), bertukar pada waktu yang lebih lewat;
destinasi Kuala Lumpur – Bandung mengambil masa 2 jam 10 minit, kata pramugarinya lewat pembesar suara... dalam bahasa yang mereka agungkan!!!
Jom la ikut kaksu, Em, kaknoor, Nacha, Wan dan Syud ke Indonesia....
_____________
Nota:
1. sedihnya sebab sebelum pergi tidak sempat tata si keding sang kancilku, Deena :(