Rumah Kecil Tiang Seribu
usah merinjis awan dalam renyai yang merintik... usah menginai gelap malam dengan ungu warna pelangi





TANAH ANDRIYANA (2002) diterbitkan oleh CESB



Sebahagian dari cerita-cerita leluhur mereka Raden Andriyana - Ahmad Fitri diungkap semula pabila Aliya, terserempak semula secara tidak sengaja dengan saudara pupunya, Fitri Hadi... dalam suasana penuh dendam, curiga dan benci. Setelah berpuluh tahun berlalu, kenapa persengketaan keluarga ini tidak pernah luak?
Mungkinkah sejarah sedih bisa berulang ataupun cinta sebenarnya seindah pelangi yang terpamer selepas hujan



GURINDAM JIWA: HATI ANDRIYANA (2007) diterbitkan oleh Jemari Seni Publishing



Tetamu
ke



Rumah Kecil Tiang Seribu
sejak 18 Mei 2004



NOOR SURAYA



<< January 2012 >>
Sun Mon Tue Wed Thu Fri Sat
01 02 03 04 05 06 07
08 09 10 11 12 13 14
15 16 17 18 19 20 21
22 23 24 25 26 27 28
29 30 31

E-Novel
NYANYIAN TANJUNG SEPI (2005)

Oleh: Noor Suraya


NYANYIAN TANJUNG SEPI (2006) diterbitkan oleh CESB



Dang Bersaudara
[Amai][Anis][Ayang][Inoi][Jijah][Kalas][Sari][Nila]


Tukang Ulas Novel
antubuku
novelcintamelayu
perca
seribu satu malam
ANTOLOGI CERPEN
Buat Menyapu si Ayer Mata


E-Novel


KERANAMU AIN... (2001) diterbitkan oleh CESB


"Bagaimana aku nak berkahwin dengan orang yang aku tidak cintai, Ain? Fahamilah aku, Ain, jika mencintaimu membawa hukuman mati... aku sudah lama mati."
[Nik Ahmad Adam]




BIRU UNGU CINTA (2003) diterbitkan oleh CESB



"Seandainya terus mencintai Seera adalah suatu dosa... ampunilah keterlanjuranku itu, Tuhan. Sekiranya tak dapat mengasihani Dayang itu suatu kesalahan... ampunilah ketidakupayaanku itu, Tuhan."
[Abdul Fattah]


RINDUNYA KIAN MEMBARA (2004) diterbitkan oleh CESB



"Pabila berkata tentang cinta,
angin pun seakan-akan lupa melepaskan dinginnya; mentari seolah-olah cuba menyembunyikan pijarnya; bulan pula jadi malu-malu untuk mengintai bintang-bintang; angin silir jadi berhenti mendesir; dan kita?
Kita... bagaikan tidak teringin jadi dewasa...."
[Dr Farhana Haji Abu Bakar]



If you want to be updated on this weblog Enter your email here:



rss feed



 
Monday, May 30, 2011
Bukan Ku Klux Klan :O ya

Klan – as-Saadi

Amaran:
Pada yang tidak meminati hal asal-usul, ini semestinya bukan bacaan anda ya.

Orang tentu tidak percaya kalau kaksu katakan, kaksu ada darah Arab Yaman dari nasab sebelah abah. Kata arwah tok sebelah emak pula, muka kaksu ni macam Gurkha (sedih tau – sebab kaksu ni ada darah Gujarat mengikut  nasab sebelah emak kaksu... mana datangnya muka Gurkha tu pula).

Uya ni Gujarati, tok – dan perlu diingat... orang Gujarat ini banyak menerajui dunia begitu juga dengan beberapa pejuang kemerdekaan serta hak-hak kemanusiaan ahaks, contohnya Mahatma Ghandi dan Ravi Shankar. Ayah kepada Mohammed Ali Jinnah juga berasal dari Gujarat dan kerana itulah anak-anak saudagar itu boleh bertutur dalam bahasa Gujarati.    

TAPI... dulu-dulu waktu sekolah, orang selalu tanya sama ada kaksu ni DKK. Mak ai, bukan main depa tuduh kaksu ni DKK pula. Opps, DKK tu bukan maksudnya Darjah Kerabat Kedah tetapi merujuk kepada Darah Keturunan Keling!

Awas, sekarang ni bukannya suka-suka saja boleh sebut perkataan 'Keling' sebab akan ada yang nak samanlah, dan kalau ada perkataan ini dalam buku – bukunya akan dibakar. Kenapa pula tidak dibakar cerita Sejarah Melayu atau Hikayat Hang Tuah dan juga manuskrip-manuskrip lama yang  sebut serta gelar klan tersebut sebagai 'Keling'. Fikirlah secara positif, peristilahan yang diguna sejak berzaman itu bukannya bermaksud untuk menghina, walaupun kaksu sendiri tidak suka dikatakan DKK – sebab itu bukannya klan kaksu yang sebenarnya.

Sebab... tadaaaa, kaksu ini ialah as-Saadi!

Noor Suraya binti Adnan Sallehudin as-Saadi

Isy, isy, isy...

Jika abah ada (sekadar menyebut sahaja), tentulah abah gembira sebab kaksu sudah umumkan kaksu ini daripada Keluarga as-Saadi. Itulah, setiap kali abah ajak ke perjumpaan (perhimpunan) klan kaksu itu, kaksu akan mencipta pelbagai alasan untuk tidak pergi. Dan yang terakhir sekali ialah, nantilah Uya ada gelar doktor di depan tu, barulah Uya ikut perjumpaan itu (lebih kurang begitulah, kata kaksu).

As-Saadi

Inilah klan kaksu.

Waktu membeli-belah di Saffa Tower di Makkah baru-baru ni dengan keluarga Che' Pah, kaksu akhirnya terpaksa mengaku sebab ramai penjual di sana orang Yaman. Kaksu jarang hendak mengaku nasab sebelah arwah abah kaksu sebab – muka kaksu kan tak nampak Arab pun, tetapi lebih pada India, dan India pun taklah sangat... kan tok kata kaksu ni, Gurkha huhuhuhu (sudah berpuluh tahun, masih tak habis sedih lagi dituduh begitu ahaks).

Yalah, rasa rendah diri kaksu macam Inche Housemate yang ada darah Turki (generasi keempat) tidak mahu mengakuinya kerana wajah Inche Housemate lebih pada wajah Melayu atau Siam atau Cina. Cuma ketinggian itu sahaja yang menunjukkan secara genetiknya Inche Housemate itu bukan Melayu tulen. Seperti kaksu juga, dia berpendapat dia sudah jadi Melayu – nasab itu sekadar sejarah!    

Selain itu, kaksu jadi malu sebab klan as-Saadi ini banyak jugalah yang jadi orang besar-besar dan kaksu hanyalah daripada kumpulan marhaen saja. Oh ya, generasi kedua as-Saadi, Syeikh Mohd Jaafar tu adalah Mufti Sultan Kedah. Titik.

Yalah, mana taknya... Che' Pah yang Barakbah tu pun tidak dituduh Arab, inikan pula kaksu yang darahnya sudah bercampur-campur begitu banyak sekali, iaitu Yaman-Acheh-Jawa-Melayu sebelah abah, dan Gujarat-Palembang-Melayu+? sebelah emak. Tetapi gara-gara hendak dapat diskaun lebih, terpaksalah kata ada darah Yaman (as-Saadi). Nenek moyang kaksu datang dari Yaman, dan kaksu ini generasi ketujuh yang lahir di Malaysia (syyy, sebenarnya kira orang Melayu dah la).

[Kata Che' Pah, orang Yaman hidung besar? Maksud Che' Pah... kembang ya? Itu mengesahkan - hidung kaksu 'segar' seperti jambu air terlebih baja, walaupun waktu kecil ingin sekali ada hidung mancung seperti emak]

Kalau darah itu dilihat dari nilai molar (dalam Kimia), lepas tujuh kali tambah air – sirap pun tidak merah dan manis lagi. Hahaha mudahnya kaksu melihat nasab dari sudut kecairan minuman pula. Padahal, orang Arab sangatlah mengutamakan garis keturunan.

Kaksu yang sedang membaca Muhammad karya Martin Lings, melihat dengan jelas bagaimana garis keturunan itu bukannya sesuatu yang main-main. Dan kerana menjaga keturunan itulah, kita dapat melihat garis nasab Junjungan yang kita kasihi sejak Nabi Adam lagi.

Seperti kata Rasulullah tentang keturunannya:

Allah telah memilih aku daripada Kinanah, dan memilih Kinanah daripada suku Quraisy bangsa Arab. Aku berasal daripada keturunan orang baik-baik, daripada orang baik-baik, daripada orang yang baik. ~ diriwayatkan oleh at-Tirmidzi

 

Berbalik pada cerita membeli di Saffa Tower tu, semula...

Hmmm, umi Che' Pah, memang terserlah aja wajah Arabnya, begitu juga adik Che' Pah... Si Aliyah. Apatah lagi apabila umi kata dia al-Habshi (sebelah walidnya) dan as-Saggof (sebelah uminya), terus jubah daripada 90 riyal jadi 80 puluh riyal dan kaftan Che' Pah setelah diskaun... tinggal  30 riyal sahaja. Macam tu la ceritanya.

Tengok bagaimana orang Arab begitu mencintai garis nasabnya. Mereka dapat menyebut nama tok nenek sampai ke atas, macam yang pernah kaksu tonton dalam 13th Warrior lakonan Antonio Banderas sebagai Ahmed Fadlan. Filem itu berasaskan novel Michael Crichton, Eaters of the Dead. Novel itu masih 'comel' saja ada di rak buku dekat tangga rumah kaksu tu, tak pernah kaksu baca. Sebabnya, kata Inche Housemate, filemnya lebih bagus.  

Tengok kaksu ni kalau menulis, sahlah tak suka guna lebuh raya...

Beginilah, kaksu kalau hendak jejak suku-sakat as-Saadi pun susah. Katalog salasilah keluarga Mohammad Saad yang turun dari Yaman ke Malaysia melalui Myanmar ini hanya 'bercerita' fasal moyang kaksu Mohammad Saad (empat bersaudara yang dua orang turun di Tanah Melayu, dan dua orang lagi turun ke Singapura) sahaja. Ceritanya Moyang Mohammad Saad itu bermukim di Yan pada awalnya.

Kaksu adik-beradik ni pula generasi ketujuh as-Saadi. Salasilah dari Yaman hilang begitu sahaja, sebab 'kita' ni jenis malas ambil berat. Apatah lagi macam yang kaksu kata sejak awal, kesimpulannya... cair dah darah tu. Sebab tu kaksu lebih suka kata ada darah Limbalia sebab tok wan memang Limbalia totok, emak pula  campur Melayu dan kemudian dah masuk generasi kaksu – generasi yang ketiga sahaja J

Dulu-dulu waktu kaksu di IPSI, sewaktu kulit pun tak begitu cerah (sebab kurus sikit barangkali – warna kulit menjadi pekat sedikit ahaks), kawan-kawan Inche Housemate (yang juga rakan sekelas kaksu waktu buat KPLI) sudah tuduh kaksu DKK. Ada sorang tu, kata pada Inche Housemate (supaya jangan memilih kaksu), "Suraya tu anak mami, jaga-jaga mereka tu pandai bercakap." [Ala-ala menghasut dengan maksud literalnya, lidah kaksu tidak boleh dipercayai kut?]

Tengok, macam tu depa 'hina' orang yang ada darah India. Kaksu tidak malu untuk beritahu kaksu ada darah Gujarat sekarang ini. Tidak seperti Duha Hafa dalam Langsir Biji Remia yang malu bercerita garis nasabnya :p ... Duha yang terlebih Melayu berbanding Umair!

Tetapi kan...

Noor Suraya binti Adnan Sallehudin bin Samsudin bin Abu Bakar bin (Sulaiman Parsi + Salasiah binti  Mohd Jaafar) bin Mohd Saad.   

Masihkah nasab sebelah lelaki kalau Salasiah anak perempuan kepada Mohd Jaafar itu berkahwin dengan Sulaiman Parsi. Atau kaksu harus cari klan sebelah Sulaiman Parsi pula. Mendengar perkataan Parsi tu pun kaksu dah seram sejuk. Tetapi kalau 'Parsi yang itu'... anak mereka sudah tentu tidak diberi nama Abu Bakar, kan!

Okeylah, untuk sementara waktu biarlah kaksu perkenalkan diri sekali lagi sebagai: Noor Suraya as-Saadi (fuyooo) sungguhlah ada klan kaksu sekarang nih!

Siapa lagi daripada keturunan as-Saadi ni?

Allahyarham Zubir Ali, Senator Dato' Dr Mashitah Ibrahim, Tan Sri Razali Ismail ~ sekadar menyebut beberapa nama (sebab malas menilik katalog salasilah yang hurufnya sebesar  kutu beras baru menetas tu sahaja)

 Katalog susunan pertama tahun 2000

Dan akhir sekali... kaksu ini orang Melayu, tak kira tulen ke tak tulen, semuanya sudah termaktub dalam kad pengenalan serta perlembagaan J titik.


Posted at 01:40 am by noorsuraya
Comments (18)  

 
Friday, May 27, 2011
"Prince Charming" :)

Semalam Kak Eda kaksu yang sudah lebih 20 tahun menjadi pemastautin di Tanah Ratu telefon. Kaksu pun cakaplah, yang Mak Su Ti kaksu nampak gambar dia duduk makan donat dengan Nana (anak Kak Eda) berkelah sakan waktu Willian+Kate kahwin dalam akhbar The Star. Kak Eda ketawa-ketawa katanya artikel tu Nana yang tulis.

 

Teringat zaman kaksu masih muda-muda, kita suka sangat baca berita sensasi putera-puteri dalam surat khabar, khususnya dalam Utusan Malaysia. Banyaklah ceritanya, tentu yang paling sensasi cerita fasal kerabat diraja Britain dan kerabat Monaco. Kita kenal skandal dia mungkin mengalahkan penduduk negeri dia sendiri. Entah siapalah yang jadi penterjemahnya berita luar negara tu (*jeling ke sahabatku Zeehan*)

 

Waktu itu kita orang suka sangat (jatuh hati????) ke Putera Andrew. Mesti budak-budak zaman sekarang tak tahu siapa dia? Kononnya dia tu putera raja terkacak pada 'abad' kita orang la. Punyalah ambil fasal, macamlah dia kenal kita. Walaupun waktu tu tak ada Internet dan semua sumber, hanya daripada surat khabar dan majalah Wanita sahaja hahahah... tapi apabila fasal Andrew kita jadi profesor serba tahu.

 

Perkahwinan Andrew-Sarah
(dan... ramai geng budak 'pompuan kiciwa')

 

Kita orang konon-konon tak cerita kat orang kita suka Andrew, tapi apabila kaksu semak balik dekat kawan-kawan hampir seusia (sewaktu untuk menulis anekdot ini) rupanya… fuyooo putera raja kesukaan mereka memang Andrew, dan kalau di Malaysia… Raja Nazrin (dengan ampun) la.

 

Isy, isy, isy…cuma kita tak ada sampai peringkat gunting gambar dia simpan dalam dompet aja.

 

Sebenarnya, artikel (sebenarnya anekdot sahaja) ini sekadar ingin berbicara fasal betapa lebih berpuluh-puluh tahun selepas kena jajah, 'kecintaan' kita pada Tuan Jajah kita tidak pernah luntur. Kata Nanan, adik kaksu yang kerja dengan MAS, penerbangan ke UK 'fully booked' sehinggakan di ruang kokpit – padahal setakat hendak berbaris kibar bendera waktu pengantin berlalu sahaja.

 

Apa yang boleh kata, itulah ciri-ciri Penjajah Kelas Kedua – walaupun negara jajahannya sudah merdeka, taat setia anak jajahannya tidak berubah. Tapi mana boleh lawan Amerika, biar dia tidak pernah jajah kita – kita 'sayang sangat' dekat dia :p

Jadi kaksu secara peribadi sangatlah ralat, pabila penulis mula mengimport 'budaya Amerika' yang negatif (tidak sesuai dengan Islam dan orang Melayu) dalam penulisan mereka. Sedih tau, apabila kita terlibat juga dalam mereliasasikan usaha penjajahan Amerika itu. Nasihat kaksu, kembalilah ke tradisi... bukan bermakna kita harus bercerita fasal nenek kebayan dan Puteri Sekati Bunga sahaja.

________

Anekdot:

Ucapan tertunda - Selamat Hari Guru 


Posted at 12:01 pm by noorsuraya
Comments (8)  

 
Sunday, April 17, 2011
Andrea Hirata Datang Lagi...

Salam buat sahabat,

 

Waktu berlalu dengan cepat sekali. Selepas Andrea Hirata datang untuk promosi tiga daripada tetralogi bukunya yang pertama Lasykar Pelangi, Sang Pemimpi dan Edensor... penulis yang dengarnya sudah jadi jutawan dan kini sedang enak-enak menulis dengan tenang di kampung halamannya di Pulau Belitong itu sudah ada novel-novel terbaharu lagi.

 

Kaksu secara peribadi terlibat menterjemah dua novel beliau Edensor dan Maryamah Karpov. Hanya kerana tidak punya lagi terluang, Inche Housemate mengambil tugas menterjemah dengan jayanya Padang Bulan dan Cinta Dalam Gelas (yang dicantumkan dalam sebuah buku) untuk PTS Litera. Jadi rumah kami ini, bagaikan rumah terbitan untuk terjemahan penulis yang suka memakai baret ini.

 


         -- buku berkembar --

(Catatan: SN Muhammad Haji Salleh pernah menggunakan
konsep buku berkembar begini untuk karyanya)

 

Karya Andrea Hirata terasa akrab dengan kaksu kerana kami (kaksu dan penulis) pernah saling kenal waktu menjalankan kerja-kerja terjemahan itu. Bahasa Belitong seakan-akan bahasa Melayu, cuma bahasa mereka memiliki kosa kata yang lebih bersifat akaid yang buat sukar untuk mencari maksudnya pada peringkat awal.

 

Kaksu terpaksa mendapat khidmat 'bibik' Kak Em untuk menterjemah beberapa perkataan setelah cuba faham melalui latar belakang perenggan itu tidak berjaya, dan lebih-lebih perkataan itu tiada dalam Kamus Besar Bahasa Indonesia. Kaksu selalu berhati-hati menterjemah karya orang agar tidak lari maksudnya, dan menghilangkan korpus-korpus pentingnya.

 

Sebab itu kaksu rasa terharu, dengan memetik kata-kata Puan Ainon (Pengerusi PTS) – daripada editor PTS Litera waktu itu – suatu waktu dahulu, lebih kurang bunyinya begini – ... kalau Noor Suraya yang menterjemah, bau ketiak Indonesia itu masih ada. 

 

Setelah menterjemahnya, terasa kosa kata kaksu bertambah. Itu yang membuat kaksu menyenangi kerja-kerja terjemahan – kerana pengetahuan bahasa akan bertambah Bermula dengan diberi penghargaan menulis kredit luar sampul kulit Lasykar Pelangi; kaksu diminta membaca pruf  Sang Pemimpi  dan  diberi kepercayaan menterjemah Edensor dan Maryamah Karpov dan itulah yang mendorong kaksu akrab dengan tulisan Andrea Hirata.

 

Sekiranya membandingkan dengan karyanya yang terdahulu – sudah pasti penulisannya dua buku Andrea Hirata yang terakhir adalah tidak sama. Bahasanya masih serupa (walaupun ada beberapa teknik baharu digunakan), namun kedua-dua buku terbaharu semakin kuat mengkritik perihal sikap orang Melayu dan 'ketidakadilan pemerintah' dalam agihan ekonomi serta menyedia infrastruktur di Tanah Belitong.  Justeru, dengarnya karyanya tidak begitu disenangi oleh sebahagian orang Melayu sana.

 

Inche Housemate juga pernah menterjemah karya-karya A. Fuadi. Jadi ini promo untuk kedua-dua penulis juga. Jadi, sahabat kaksu Cik Faslin dan Puan Asma di PTS Litera, kaksu bukannya sekadar meletakkan poster ini... tetapi siap tulis 'artikel' lagi :) Cuma ingin kaksu nyatakan di sini pada Faslin dan Asma -- kaksu senang menulis promo ini kerana Andrea Hirata antara penulis yang kaksu baca tulisannya, dan senangi bahasanya :) ... dan dia juga seorang sahabat.     

 

Sila lihat waktu bertemu dengan penulis yang mendapat nama baik di Indonesia dan Malaysia ini ya.

 


Posted at 12:18 pm by noorsuraya
Comments (6)  

 
Wednesday, April 06, 2011
SI MANIS 17 - Mukadimah

Budi tuan saya tak lupa

    Sudah terpaku di dalam hati

 

Salam manis buat yang masih mengunjungi Rumah Kecil Tiang Seribu ini...

 

Sudah lama kaksu ingin bercerita fasal 'anak terbaharu' JS Adiwarna (anak saudara Jemari Seni, tentunya) – Si Manis 17 ini J Nama sahaja Si Manis 17, tetapi novelnya bukan untuk golongan remaja sahaja. Tolonglah jangan salah faham ya. Kita letakkan Si Manis 17 untuk menunjukkan idea yang 'muda', 'segar' dan 'indah'.

 

Yalah, kalau letak Si Manis 47, siapa yang percayakan?

 

Dalam masyarakat Melayu, umur 17 itu lambang menuju kedewasaan dan waktu kemahiran berkembang dengan pesat sangat. Itulah rahsianya kenapa siri baharu JS Adiwarna dinamakan sebegitu. Genrenya khusus untuk orang yang pandai menghargai bahawa cerita yang baik sahaja tidak mencukupi jika tidak 'disandingkan' dengan bahasa yang sempurna! Apatah lagi, orang Melayu selalu berkata – budi bahasa. Maknanya, 'budi' itu datang daripada masyarakat yang dapat 'berbahasa' dengan sempurna. Begitulah juga sebaliknya. Sudah terserlah bukan, bahawa...

 

Bunga melati bunga di darat,

     Bunga seroja di tepi kali;

Hina besi kerana karat,

     Hina manusia tidak berbudi.

 

Justeru, setelah berbincang... kami merasakan sudah menjadi tanggungjawab JS mendidik masyarakat mengutamakan bahasa untuk membina budi dalam kalangan golongan muda; dan mengilap budi dalam golongan yang sudah 'matang'. Insya-Allah. Frasa ini juga merujuk kepada diri sendiri yang serba kekurangan ini. 

 

[Artikel ini sudah ala-ala cerita Seri Mersing ni]. 

 

Masih ingat waktu kaksu kecil dahulu, untuk membahasakan diri sebagai 'aku' pun takut bukan kepalang. Kata 'aku' itu tabu untuk dituturkan oleh anak-anak. Tidak sabar sungguh untuk bebaskan diri dari rumah, dan mula membahasakan diri sebagai 'aku' di universiti. Kata 'aku' memang membuat kita rapat dengan teman-teman. Sebab kalau kita bercakap aku, sering dikatakan, "Siapa cakap 'aku' anak hantu paku." Sekarang dengan sebegitu banyak filem hantu, siapa yang hairan dengan 'anak hantu paku' kan?

 

Yalah, apatah lagi kata 'saya' itu kependekan daripada kata 'sahaya' yang sangatlah berkaitan dengan darjat dan kasta. Jadi apabila sebut ganti nama 'aku' terasa sangatlah 'Jebat'... namun apabila usia semakin bertambah, mula terasa... manisnya waktu menyebut nama diri dan 'saya' semula, kan?

 

Di pejabat Jemari Seni, kaksu selalu kagum dengan pekerja-pekerja di situ yang membahasakan nama sendiri. Mula-mula kaksu dan Inche Housemate selalu tersenyum apabila staf lelaki menyebut diri mereka sebagai 'Soleh', 'Fahmi' waktu berbicara dengan bos dan rakan yang lebih senior... walaupun kelihatan manja tetapi sebutan itu sebenarnya sungguh manis.

 

Dulu-dulu kaksu selalu beri amaran pada Inche Housmate, ada dua perkara yang menjadi 'kepantangan' kaksu (macamlah orang takut amaran kaksu itu); kaksu tak suka lelaki membahasakan nama mereka apabila bercakap dan tidak suka tengok lelaki pakai kain batik (kalau duduk di Bali dan Hawaii bolehlah diterima pakai). Hal ini kerana kaksu selalu aja pening dengan budak-budak kelas kewartawanan kaksu dahulu.

 

Aduhai dah sampai ke Madagascar dah cerita kaksu ni... okey dipendekkan cerita. 

 

Bagaikan perawan, Si Manis 17 sungguh istimewa.

Panjang ceritanya cuma antara lebih kurang 250 sehingga 350. Harganya cuma RM17 sahaja. Genrenya pelbagaikan. Untuk si kembar empat – keluaran sulung untuk Pesta Buku Antarabangsa 2011 ini, ada empat penulis; empat zaman; empat latar belakang pendidikan; empat plot; empat gaya dan teknik... dan yang menyatukan mereka hanyalah, mereka sedaya mungkin menggunakan bahasa yang baik.

 

Bahasa yang baik?

Ya, bahasa itu budaya bangsa! Bahasa itu lambang ketamadunan bangsa.

 

Duha,
pandanglah mataku yang berbisik...

 

Bacalah Langsir Biji Remia, dan fahami kenapa kita harus cinta pada bahasa sendiri. Ewah sempat sahaja kaksu promo buku sendiri (tak malunya). Kaksu sudah selamat menjahit Langsir Biji Remia, alhamdulillah. Terima kasih buat yang memberi semangat dan mendoakan kaksu menulis cerita ini.

 

---------

Notei: terima kasih, menjadi satu-satunya pembaca blurb di sini ahaks :p


Posted at 11:43 pm by noorsuraya
Comments (23)  

 
Tuesday, April 05, 2011
SI MANIS 17 - LANGSIR BIJI REMIA

= Blurb =

 

LANGSIR BIJI REMIA

 

Kalau hati ini memang sebatang pena, tintanya tentulah daripada pelangi tujuh warna

lalu kenapa tidak saja dikirimkan sepucuk surat cinta pada dia?  

 

 

Duha Hafa anak tunggal Dr. Hud Othman dan Puan Taslima. Dia cantik dengan mata bundar sayu seperti mata unta di padang pasir. Umair terpikat sejak dia masih kecil lagi.

 

Sepuluh tahun berlalu dan mereka bertemu semula. Kini Duha Hafa sudah memakai purdah hitam, dan dia bukan lagi gadis periang dan ramah. Kenapa dia berubah? Apa yang tersembunyi di sebalik purdah hitam itu?

 

Langsir Biji Remia mengajar kita bersyukur dengan nikmat daripada Dia.

 

* * * *

Kelebihan karya NOOR SURAYA terletak pada bahasanya yang lembut berserta ceritanya yang memikat. Pemegang ijazah Sarjana Linguistik daripada Universiti Malaya ini menulis dengan hatinya. Disiplin menulisnya diterap sejak menjadi pelajar Komunikasi di Universiti Sains Malaysia lagi. Munsyi Dewan ini pernah memenangi beberapa hadiah penulisan antaranya Hadiah Utama Sayembara Cerpen Esso-Gapena IX (1992) dan Hadiah Penghargaan Menulis Cerita Kanak-kanak Mobil-DBP (1998). 


Posted at 04:14 pm by noorsuraya
Comments (5)  

 
Thursday, February 24, 2011
1/2 Jengkal Surat Cinta?

Assalamualaikum

 

Tajuk di atas tu gimik sahaja... nak suruh orang baca entri ni aja, ahaks. Kan dah lama rumah kecil kaksu ni tak berkata-kata.

 

 

(I)

 

Siang tadi ke PWTC, ada cabutan undi untuk Pesta Buku Antarabangsa KL 2011. Jemari Seni akan berada di Dewan Tun Hussein Onn, dan nombor gerai kita A5-A8 (di sisi PTS). Jumpa di sana nanti tau. Tarikhnya, 22 April-1 Mei. Catatkan dalam diari tau!

 

Balik dari situ singgah jumpa kawan kat Berita Harian. Biasalah kawan-kawan kaksu selalunya lebih muda banyak daripada kaksu. Itu rahsia awet muda kaksu, berkawan dengan orang-orang muda. Jadi PinkJambu, sekarang kaksu dah cerita kenapa kaksu nampak muda remaja... Ewah, perasan awet mudalah pulak!

 

Melangkah ke Balai Berita yang sudah moderen, membuat kaksu terkenang suatu waktu dahulu. Satu hari dalam tahun 1986...

 

Macam yang adik-adik sedia tahu, kaksu ni kalau bab jumpa orang (untuk ditemu duga) kaku sikit, macam tak reti nak bercakap, berbanding kalau menulis. Padahal waktu sekolah dulu, kaksu ni tergolong dalam kumpulan yang masuklah juga bahas la, pidato la, baca sajak la. Tambah pula waktu tingkatan enam dan universiti macam okey sahaja apabila kaksu kena bentangkan kertas kerja. Macam dalam diri kaksu ada dua watak la. Watak pemalu dan berani!

 

Sebab tu dulu, zaman sekolah rendah... pernah bila kita nak bergaduh dengan rakan sekelas, kita main balas-balas surat la. Suatu hari tu, surat balasan pergaduhan kita tu, kaksu letak dalam poket baju sekolah. Masa tok basuh baju sekolah tu, dia jumpa surat daripada Shida anak polis tu hantar ke kaksu, langsung la kaksu kena basuh (*baca marah*) sebab pergi sekolah duk bergaduh dengan orang; bukan pergi belajar. Sedih tau, kita bukan kaki gaduh kat sekolah, sekali-skala sahaja kita bergaduh pakai surat... itukan aktiviti yang sihat. Sebab kita sedang asah kemahiran menulis.

 

Waaa, sebut fasal surat. Minggu lalu kaksu kemaskan kotak-kotak buku di stor belakang sebab nak cari manuskrip kesayangan kaksu – Kelab Sarjana: Misteri Rumah Api di Pulau Pandan yang dah lama hilang. Cerita tu kaksu tulis masa tahun 1994, ingat nak gilap untuk JS Adiwarna, segmen Buat Orang Muda. Dah lama kaksu tak ada buku baharu untuk kanak-kanak. Alhamdulillah, mujur jumpa dan....

 

... jeng jeng jeng... dalam salah sebuah kotak itu, kaksu jumpa setengah jengkal surat cint* daripada dua-dua pihak.

 

Bukan main jugalah zaman dulu, kita menyalahgunakan kayu (*baca sebagai kertas)... untuk tulis surat cint* kan? Tapi surat cint* kita tu, bincang hal politik, ekonomi dan negara. Kita bukannya cerita fasal hati dan perasaan. Jadi surat cint* itu adalah manuskrip ilmiah tau. Macam kertas kerja pun ye la juga, Jadi tak adalah pipi kita panas kerana malu tatkala menjeling sebahagian surat-surat itu. Kita sudah sorok surat-surat tu, daripada Enche Housemate... fuh lega, buatnya dia ambil surat bab kita tulis dan ubah suai jadi bahan novel dia pula, mahu pengsan kita.

 

Tapi dalam satu surat tu, ada satu sajak Enche Housemate itu, kaksu ada letak dalam halaman akhir dalam Surat Ungu untuk Nuha. Sebab kaksu suka sajak tu sangat. Mulanya kaksu ingat dia jiplak kat mana-mana sajak tu, rupanya dia tulis khusus untuk kaksu. Isy, isy... terharunya, romantis juga Enche Housemate kita tu. Isy, isy...! Tapi awas ya, Enche Housemate itu bukannya Alang kepada Nuha itu!

 

Oppps, sebenarnya hendak cerita fasal Balai Berita di New Straits Times Press (NSTP) tu la. Kaksu ni kalau tulis entri selalu sahaja kalau nak pergi Changloon siap melintas sampai Kodiang, terbabas di Sintok, sesat di Kuala Nerang segala... uwaaaa.

 

Lalu hatiku berkata, kalau guna touch n go terus via lebuh raya kenapa, Suraya?

 

 

(II)

 

Okey, betulkan semula tali pinggang anda... kaksu cerita semula fasal ke NSTP...

 

Ha laa, sekarang Balai Berita tu sudah baharu banyak, berbanding lebih 20 tahun dahulu waktu kaksu masuk ke sana untuk temu duga Hadiah Biasiswa NSTP. Waktu tu kaksu sudah di tahun dua, kat USM la. Dalam surat temu duga itu dicatatkan, '... daripada 2000 pemohon yang diterima, saudari ialah 20 orang yang di senarai pendek terpilih untuk temu duga...' Macam tu la bunyinya, surat itu.

 

Waaah, hati sudah berbunga daisi, camelia, kasturi dah ni J

 

Dari USM cuma dua orang yang terpilih; kaksu dan ada adik tahun satu (Cina). Waaah, hati semakin yakin la ni, sebab menjadi dasar NSTP akan pilih seorang daripada 5 universiti yang ada – yang menawarkan kursus Komunikasi Massa. Waktu tu kalau tidak salah, Kadir Jasin (sekarang Datuk) yang jadi Ketua Pengarangnya. Dan Datuk Kadir Jasin, pernah dijemput oleh pensyarah kelas Kewartawanan kita orang dan beliau tu, kawan baik pensyarah kita orang tu, Mansor Mohd Saman (sekarang Dr, dan sudah bersara). Manalah tahu, kalau pensyarah kaksu tu rekomen kaksu... wah ada semangat kroni la pula waktu itu.

 

Hati kaksu sudah kembang segala jenis bunga dahlia, kekwa, bunga raya dah.

 

Waktu itu, kaksu dah dapat pinjaman MARA, sebenarnya. Yang menariknya kalau dapat biasiswa NSTP ni, nanti boleh kerja dengan anak syarikat NTSP la. Kaksu mengidamkan kerja dengan Berita Harian la. Lama tau rasa terkilan tu hilang dari hati ini, kerana tidak memilih kerjaya wartawan lepas habis sekolah. TAPI... hahaha, bila tak bekerja dengan akhbar pun, kaksu bekerja juga dengan 'Biru Ungu Cinta' sebagai wartawan. Seronok kan jadi penulis, kita boleh jadi apa sahaja dalam cerita yang kita tulis... lalalala. Nak jadi PM pun boleh tau!

 

Suraya, tolonglah bercerita dengan serius sikit, boleh tak? hatiku berperi lagi!

 

Okeylah...

Waktu tu anak syarikatnya ada, Berita Publishing la, majalah Jelita la. Kalau untuk paper omputih memanglah kaksu tak reti.

 

Jadi pergilah kaksu ke temu duga yang 'amat' penting itu di KL. Mamak (bapa saudara kaksu yang paling bongsu) dah janji akan ambil kaksu dekat Puduraya pada subuh itu. Yalah, pergi dengan bas, apa susahnya... duduk dalam bas dari Butterworth, lepas selepas 6, 7, 8 jam sampailah KL. Dulu tak ada lebuh raya lagi tau.

 

Itulah kali pertama datang KL sorang-sorang. Itulah kali pertama kaksu akan ke Jalan Riong. Waktu itu, surat khabar perdana hanya ada dua sahaja, Utusan Malaysia dan Berita Harian sahaja. Waktu zaman gagak berwarna putih itu, tidak sah hidup kita hari-hari kalau tidak baca surat khabar. Sekarang orang baca versi online untuk berjimat cermat... apatah lagi, kalau kita malas dengan segala sepak terajang politik, kita rela tidak membeli dan membaca juga. Kaksu suka membaca berita yang telus, itu yang pensyarah kaksu ajar dalam Bilik Berita lebih 20 tahun dahulu. Jadi kaksu suka artikel dalam surat khabar berbanding berita!

 

Okey, kaksu sambung lagi...

 

Kaksu sedia dah dengan baju yang cantik, warnanya pastel – biru muda campur warna ros muda serta sedikit warna abu-abu. Kainnya tu, duitnya tok yang beri, waktu tok dapat hebahan harta pusaka. Mahal jugalah harganya, kalau dikira taraf hidup waktu itu. Yalah, kiranya waktu itu, rasa segak dah la. Walaupun kaksu tahu, susahnya nak kerja di surat khabar kalau kita bertudung mahupun berskarf dan suka pula berbaju kurung tika itu, tetapi menjadi wartawan kan cita-cita kaksu! Hmmm, bertudung waktu itu macam menjadi batu penghalang untuk budak perempuan terpilih ke kerjaya yang melibatkan media ni.

 

Kaksu sampai Puduraya tersangatlah pagi. Subuh pun lambat lagi. Tahulah Puduraya tu macam mana kan? Orang macam-macam ada. Hati dah takut-takut sebenarnya. Mamak kaksu sengaja tak nak tegur kaksu awal (walaupun dia dah nampak kaksu) sebab dia nak tengok kaksu panik tak kalau dia tak datang. Uwaaa tak patut tau.

 

Jadi kaksu pergi ke rumah sewa mamak sekejap, mandi, solat dan kemudian pergi temu duga dekat Jalan Riong tu. Dan seperti yang kaksu kata... kaksu memanglah tidak pandai bercakap. Apatah penemu duga tu bukannya orang biasa, ada juga ahli lembaga pengarah. Ramai, kalau tidak 3 mungkin 5 orang, bab ni kaksu ingat-ingat lupa.

 

 

(III)

 

Errr... kaksu ini kan pemalu sangat, walaupun cuba tunjuk berani; kaksu kan waktu tu, hanya... 'Kampong Girl' (wah, kalau Datuk Lat buat kartun  Kampung Girl macam mana ek). Jadi... biar sudah lama berlalu, tapi sampai sekarang kaksu ingat insiden memalukan itu.

 

Sebab:

(a)  Kaksu tak ada tas tangan, jadi kaksu bawalah dompet daripada kulit kuda dari Filipina tu (Mak Su Ti yang bagi) – biarpun tidak sesuai untuk ke temu duga. Kasutnya bukan jenis bertutup. Salah dah dari segi markah untuk ke temu duga.

 

(b) Lepas tu, kaksu tertinggal pula dompet panjang tu dalam bilik penemu duga – di kerusi yang kaksu duduk. Hmmm, jadi kaksu kena patah balik dan ketuk bilik tu semula dan kena cakap, "... maaf saya tertinggal purse." Uwaaa, wartawan mana boleh pelupa macam tu. Sudahlah waktu itu, orang tengah duk diskus markah untuk temu duga kaksu tadi tu L

 

(c)   Salah seorang penemu duga tu ada tanya, "Boleh tak malam ni kita keluar makan?" (lebih kurang begitulah ayat dia). Kaksu dah panik (macam la orang sungguh-sungguh ajak) dan cepat-cepat jawab. "Saya tak keluar makan dengan lelaki." Uwaaa tapi memang pun kaksu macam tu waktu itu. Almaklumlah, kaksu kan umpama gadis berhati salju waktu itu ahaks.

 

(d)  Kemudian mereka suruh kaksu beri pendapat (define) tentang politik wang dalam kalangan orang kampung – uwaaa itulah bab yang kaksu tak bersedia pun. Kaksu goreng mi mamak jadi char keow teow la L

 

Sudah begitu banyak uwaaa kaksu taip ni, rasanya kaksu tidak perlu cerita keputusan temu duga itu kan? Semua orang sudah dapat menduga kan.

 

Keluar saja ke pintu pagar kawalan waktu tu, mamak kaksu yang dah sedia tunggu dalam kereta ajak makan di sebuah restoran mewah di PWTC. Bufet la. Waktu tu ada persidangan UMNO kalau tak salah. Orangnya ramai sekali.

 

Makanannya dia pun mahal juga, rasanya satu kepala dalam RM50++ kut, zaman tu. Hendak dijadikan cerita... siapa kata hidup ini tiada kebetulan?

 

Itulah yang terjadi pada kaksu, ceritanya menjadi lebih dramatik lagi simpatik ialah, penemu duga yang ajak kaksu dating malam tu, sedang makan di situ juga dengan kawan-kawannya. Dan kami terserempak. Dia pandang kaksu...

 

Jadi, kaksu rasa dalam fikiran dia, tentu terlintas: '... budak perempuan yang jual mahal tadi, yang hanya dia sorang sahaja yang tutup kepala tadi tu, keluar makan dengan seorang lelaki di restoran mewah... jadi... oh, begitulah perangainya dia sebenarnya...'

 

Tragik kan kisah kaksu, mesti orang buat spekulasi tak elok pada kaksu... uwaaaa, sedih! Waktu tu mahu sahaja kaksu lekat kertas ke dahi:

 

Lelaki hensem di sebelah saya ini ialah bapa saudara saya. Tolonglah, mengerti! Dia adik emak saya, dan kami memang rapat sejak kecil, sebab beza umur kami agak  rapat – tak lebih 6 tahun.

 

Tapi, panjangnya nak lekatkan kat dahi, muat ke dahi kaksu yang tidak luas mana ni?

 

Jadi, memanglah kaksu tidak terpilih untuk biasiswa bernilai RM4000 setahun itu, sudah la siap ada tambahan duit buku juga. Rasanya macam RM200 setahun kut. Kemusykilan kaksu, adakah kaksu gagal kerana:

 

(a)   tertinggal dompet

(b)   tak tahu fasal politik wang di kampung-kampung

(c)    tak mahu dating dengan penemu duga

(d)   dijumpai di restoran mewah di PWTC bersama lelaki hensem lagi muda belia L

 

atau apa?     

 

Kerja wartawan bukannya sesuai sangat dengan fitrah kaksu? Apa bezanya dapat pinjaman MARA (yang kemudiannya alhamdulillah ditukarkan menjadi biasiswa) berbanding dengan Biasiswa NSTP.

 

Atau jodoh kaksu sudah tertulis yang kaksu akan jumpa Enche Housemate di IPSI... wahh, melankolik pula bunyinya tu.

 

_________

Catatan:

Sebenarnya, kaksu bangun awal sebab nak tulis Langsir Biji Remia – tiba-tiba nak tamatkan 'acara' berkabung seni kaksu la pula. Doakan ya!

 


Posted at 04:25 am by noorsuraya
Comments (18)  

 
Sunday, November 28, 2010
Hasil 'e-culik': Sajak Saudara Imaen

 

........

 

(rasa solider dengan noor suraya yang sedang berkabung seni)

 

apa lagi yang indie

kalau menulis menurut hati sudah jadi buah terlarang

apa lagi yang seni

kalau bukan lagi ekspresi rasa sang persona

gejolak rasa yang membuak minta bebas

bukan cari imbalan

menzahirkan yang meloya untuk yang melata

 

apa lagi yang bening

kalau kebendaan sudah jadi karat

jadi kurap

pada hati-hati yang tidak semurni seni.

--------------------------------------------------------------------------

ps: 
         (1) Sajak ini kaksu culik di http://imaen.blogdrive.com

(2) Kaksu suka sajak-sajak Imaen, kaksu pernah 'culik' lima buah untuk dimuatkan dalam Surat Ungu untuk Nuha :p

 


Posted at 02:09 pm by noorsuraya
Comments (6)  

Next Page